Monday, September 20, 2010

Peguam: Penemuan Terbaru 'Nota Misteri' Beng Hock Seolah-Olah Dirancang

SHAH ALAM 20 Sept 2010 - Peguam keluarga Teoh Beng Hock, Gobind Singh Deo menyifatkan kahadiran bukti baru berhubung kematian Teoh Beng Hock yang mati ketika berada dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan seolah-olah sesuatu yang dirancang.

Ini berikutan seorang anggota polis penyiasat memberitahu koroner inkues hari ini bahawa beliau menemui 'nota misteri' pada beg sandang Beng Hock yang mati pada 17 Julai lalu dan nota itu ditemui sehari selepas Beng Hock didapati mati di Plaza Masalam, Shah Alam.

Katanya, beliau amat kecewa atas apa yang berlaku kerana bukti itu sepatutnya dikemukakan sebelum bermulanya prosiding.

Gobind juga mengesahkan bahawa pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal menemui nota kontroversi itu.

Bagaimanapun, kehadiran bukti baru di saat akhir inkues kematian Beng Hock itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peguam yang mewakili keluarga bekas setiausaha politik kepada exco itu dan kerajaan Selangor.

Bukti berkenaan dikhabarkan sebagai nota bunuh diri dikemukakan kepada mahkamah semasa Ahmad Nazri dipanggil untuk memberi keterangan hari ini.

“Hanya ada satu nota, yang dikemukakan sebagai bukti,” katanya.

Menurut Gobind, nota itu ditulis dalam Bahasa Malaysia dan Cina dengan ada kesan cakaran.

Pegawai penyiasat itu memberitahu mahkamah bahawa beliau menyenaraikan nota itu sebagai antara bahan yang ditemui dalam beg milik Beng Hock.

Kewujudan nota misteri itu hanya dimaklumkan di mahkamah koroner pada 10 Ogos lalu.

Pada hari yang sama, pejabat Peguam Negara mengeluarkan kenyataan yang antara lain menyebut bahawa pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan nota itu oleh Ahmad Nazri pada 7 Oktober lalu iaitu lebih dua bulan selepas kematian Beng Hock.

Berikutan keadaan ini, Gobind memohon supaya inkues dibicarakan menerusi Suruhanjaya Diraja dan berharap Peguam Negara dapat memberi penjelasan berhubung bukti baru tersebut.

Beng Hock, 30, Setiausaha Politik Kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di sini selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu dan kematiannya sehingga kini masih menjadi misteri.

Tulisan tangan pada nota Teoh tak disiasat

Oleh Norhashimah Mohd Radzali

2010/09/21
Pegawai penyiasat tidak tahu pemilik semua dokumen

SHAH ALAM: Seorang pegawai penyiasat polis memberitahu Mahkamah Koroner semalam, beliau tidak menyiasat sama ada tulisan tangan pada nota yang dikatakan ditulis Teoh Beng Hock sebelum kematiannya, adalah tulisan mangsa.

Asisten Superintendan Ahmad Nazri Zainal berkata, beliau ada menghantar nota itu dan empat sampel tulisan lain kepada pengkaji dokumen, Wong Kong Yong di Jabatan Kimia bagi tujuan perbandingan pada 9 Oktober 2009. Menjawab soalan peguam pemerhati bagi pihak keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, Ahmad Nazri mengakui tidak tahu pemilik tulisan pada semua dokumen itu. Beliau juga mengakui menghantar satu sampul mengandungi baucar dalam tulisan Cina bagi tujuan perbandingan pada 20 Oktober 2009, tetapi tidak menyiasat pemiliknya.

Katanya, empat sampel itu adalah 10 salinan pernyataan dalam percakapan dirakam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditulis Beng Hock, salinan kad pengenalan dan kad kredit Visa Public Bank milik mangsa serta buku catatan ringkas pejabat Dewan Undangan Negeri Selangor.

Disoal Gobind, Ahmad Nazri mengakui beliau tidak tahu perbandingan yang dijalankan itu membabitkan tulisan siapa dengan siapa.

Terdahulu, jurubahasa Cina, Ting Chin Kin, 29, berkata, beliau menerima arahan Mahkamah Koroner untuk menterjemahkan nota itu yang mengandungi tulisan Cina dan Rumi pada 4 September lalu.
Chin Kin kemudian diminta membacakan semula nota terjemahannya: Ou Yang, dalam keadaan tidak menyalin fail dalam komputer saya, mereka telah mengambil semua komputer itu. Mereka asyik menyalahkan kamu.

Minta maaf, tidak mengerti tapi pura-pura mengerti, akhirnya menyusahkan kamu. Saya kata: mendapat kelulusan YB. Mereka berdegil menaip jadi: mengikut arahan YB. Saya tidak dapat membantu kamu, maaf. Minta maaf, saya penat, selamat tinggal.

Teoh, 30, Setiausaha Politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor dan ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di lobi aras lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama, dalam siasatan penyelewengan peruntukan kerajaan negeri.

Perbicaraan di depan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung 14 dan 22 Oktober ini

Wednesday, September 1, 2010

Nota 'terakhir' Teoh dikemukakan 20 Sept

Aidila Razak
Sep 1, 10
4:27pm

Kongsi 0Nota itu dikatakan 'wasiat terakhir' mendiang Teoh Beng Hock Beng akan dikemukakan sebagai bahan bukti dalam inkues kematiannya pada 20 September ini, bersama dengan terjemahannya serta bebebapa buku.

Juga akan dipanggil pada hari berkenaan ialah pegawai menyiasat dan pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia, Wong Kong Yau.

Hari ini, koroner turut menetapkan pendengaran inkues tersebut disambung pada 22 Oktober.

Nota yang berada dalam simpanan peguam negara sejak Oktober lalu, pada mulanya hendak dikemukakan di mahkamah bulan lalu.

Bagaimanapun, ia dibantah peguam Gobind Singh Deo dan Malik Imtiaz Sarwar, yang masing-masing mewakili keluarga Teoh dan kerajaan Selangor, dengan mendakwa bukti itu tidak dimaklumkan kepada mereka hingga ke hari berkenaan.

Teoh, 30, dijumpai mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas sepanjang malam disoalsiasat sebagai saksi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pejabat SPRM terletak di tingkat 14 bangunan berkenaan.

Teoh ketika itu merupakan pembantu kepada pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah, yang disiasat berhubung dakwaan penyelewengan dalam pemberian peruntukan kerajaan negeri.