Friday, October 22, 2010

Inkues Teoh: Penulis 'nota terakhir' masih misteri

Aidila Razak
Okt 22, 10
1:18pm

Kongsi 0Identiti penulis yang didakwa menulis 'nota terakhir' yang dijumpai di beg sandang Teoh Beng Hock masih menjadi misteri.

Mahkamah Koroner Shah Alam bagi menentukan inkues kematian Teoh dimaklumkan hari ini bahawa tulisan pada nota misteri berkenaan - yang ditulis bercampur-campur dalam bahasa Cina dan Melayu - adalah tulisan yang sama yang dijumpai di buku catatan yang dijumpai di beg Teoh.


Bagaimanapun, penganalisis dokumen daripada Jabatan Kimia Malaysia, Wong Kong Yong, berkata beliau tidak dapat memberikan kepastian sama ada tulisan dalam bahasa Cina itu menyerupai contoh tulisan yang dijumpai di buku catatan berkenaan.

Menurut beliau, dia hanya boleh mengatakan bahawa nota itu “besar kemungkinan ditulis oleh orang yang sama”.

Berikutan perkembangan itu, koroner Azmil Muntapha Abas berkata perkara berkenaan masih belum merungkai misteri berhubung penulis nota tersebut.

Wong, yang mengkaji tulisan yang didakwa ditulis oleh Teoh sebagai 'wasiat terakhirnya' itu berkata kebanyakan sampel tulisan yang ditemui dalam beg sandang Teoh ketika disoal siasat di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 16 Julai 2009.


Teoh disoal-siasat pada malam tarikh berkenaan sebelum dijumpai mati di tempat mendarat tingkat lima bangunan yang sama.

Kenyataan 10 helai SPRM juga digunakan sebagai sampel untuk analisis tulisan berkenaan.

“Tulisan (Melayu) pada nota itu hampir sama dengan huruf tulisan BM.

“Tulisan ini ditulis oleh orang yang sama,” kata Wong ketika memberikan penerangannya.

Tambahanya, huruf awal yang terdapat di nota itu juga sama dengan apa yang ditulis oleh Teoh dalam kenyataannya kepada SPRM.

Tetapi Wong tidak boleh berkata perkara yang sama berhubung tulisan Cina. Dia hanya membuat kesimpulan, “kemungkinan besar” ia ditulis oleh orang yang sama.

Thursday, October 14, 2010

Inkues Teoh Beng Hock: Pegawai penyiasat nafi sembunyi nota tulisan Teoh

2010/10/15
SHAH ALAM: Pegawai penyiasat dalam inkues kematian Teoh Beng Hock semalam, menafikan beliau menyembunyikan sekeping nota yang dikatakan ditulis mangsa sebelum kematiannya dan hanya mendedahkannya selepas setahun prosiding inkues itu berjalan di Mahkamah Koroner di sini.

Asisten Superintendan (ASP) Ahmad Nazri Zainal berkata, beliau menyerahkan nota itu kepada Pejabat Peguam Negara pada 8 Oktober tahun lalu, sebaik menyedari kepentingannya dalam siasatan inkues berkenaan. Menjawab soalan peguam pemerhati keluarga Beng Hock, Gobind Singh Deo, Ahmad Nazri berkata beliau menjumpai nota bertulisan Cina dan Rumi itu pada Julai 2009, namun hanya mengetahui isi kandungannya pada 7 Oktober 2009.
“Sebaik menyedari kepentingan nota itu, saya terus menyerahkannya kepada Pejabat Peguam Negara. Saya sudah memaklumkan kepada pihak atasan termasuk pegawai atasan saya, pihak polis, Pejabat Peguam Negara dan Timbalan Pendakwa Raya tetapi saya tidak mendapat arahan untuk menyiasat mengenai isi kandungan nota itu.

“Arahan yang saya terima hanya untuk menghantar nota itu ke Jabatan Kimia untuk dianalisa,” katanya.

Ahmad Nazri berkata, jika beliau berniat untuk menyembunyikan nota itu, sudah pasti tiada siapa pun yang akan tahu mengenainya.

“Ketika jumpa surat ini pada Julai 2009 tiada siapa pun dalam dunia ini yang tahu mengenainya, tetapi saya jujur dan ada membuat laporan sebaik mengetahuinya,” katanya.
Gobind: Setuju, saya katakan punca nota itu tidak dikemukakan lebih awal kerana ia jelas menunjukkan peranan sebenar pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sememangnya menggunakan tekanan ketika menyiasat sehingga menyebabkan kematian Teoh?

Ahmad Nazri: Saya tidak tahu, sebab saya percaya nota itu akan dikemukakan di mahkamah ketika saya memberikan keterangan.

Gobind: Siapa yang buat keputusan penting supaya surat ini tidak dikemukakan, adakah Pejabat Peguam Negara?

Ahmad Nazri: Ya.

Gobind: Jadi ini bermaksud Pejabat Peguam Negara cuba hendak menutup dan menyembunyikan nota itu?

Ahmad Nazri: Seperti saya tahu, saya tidak boleh bagi penjelasan bagi pihak Pejabat Peguam Negara. Saya tahu nota itu akan dikemukakan di mahkamah. Mungkin saya tak dapat beri penjelasan lebih awal (mengenai nota itu) kerana ia belum dikemukakan sehinggalah saya memberikan keterangan di mahkamah.

Teoh, 30, Setiausaha Politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor dan ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di lobi aras lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama, dalam siasatan penyelewengan peruntukan kerajaan negeri.

Perbicaraan di depan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung pada 22 Oktober ini