Thursday, June 23, 2011

RCI Teoh: Terpulang kepada Agong untuk umum

Hafiz Yatim
Jun 22, 11
12:22pm

Kongsi 14
Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian pembantu politik DAP Teoh Beng Hock hari ini menyerahkan laporan setebal 124 halaman kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Terengganu di Kuala Lumpur.
Sesalinan laporan oleh lima anggota panel itu juga akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang ini, kata pengerusinya, Tan Sri James Foong.

Menurut Foong, terpulang kepada Seri Paduka untuk menentukan sama ada laporan suruhanjaya itu akan didedahkan kepada umum.
Katanya, semua ahli panel telah mencapai keputusan sebulat suara mengenai punca kematian Teoh tetapi tidak boleh mendedahknnya.

Selain Foong, suruhanjaya turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk TS Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Najib pada 26 Januari lalu, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

Sepanjang persidangan, pelbagai saksi dipanggil termasuk pakar patologi, psikiatri, anggota keluarga dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain terdapat beberapa fakta baru yang tidak didedahkan pada inkues mengenai kematiannya di Mahkamah Koroner Shah Alam sebelum ini.

Teoh, 30, setiausaha politik exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan berkenaan.