SHAH ALAM 22 Sept. - Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan terbuka oleh Mahkamah Koroner bagi inkues menyiasat kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.
Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup mengemukakan permohonan untuk menarik balik semakan itu semasa kes itu disebut di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, Khairul Nizam Abu Bakar.
Tindakan tersebut dilakukan dengan alasan semakan berkenaan difailkan sebelum suruhanjaya bagi menyiasat kematian Beng Hock ditubuhkan.
Katanya, ia tidak lagi perlu diteruskan kerana suruhanjaya telah membuat keputusan iaitu Beng Hock meninggal dunia akibat membunuh diri dengan terjun dari tingkat 14, Plaza Masalam di sini.
Khairul Nizam kemudiannya membenarkan permohonan untuk menarik balik semakan tersebut.
Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Beng Hock bagaimanapun memberitahu bahawa semakan tersebut masih diteruskan kerana beliau telah memfailkan hujahan semasa kes itu disebut sebelum ini.
Katanya, beliau juga telah memaklumkan perkara tersebut kepada Mahkamah Tinggi di sini dan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki yang sepatutnya mendengar semakan itu memberitahu permohonan bertulis tidak perlu dibuat untuk meneruskan semakan tersebut.
Sehubungan itu, Khairul Nizam turut menetapkan 6 Oktober ini untuk pengurusan kes bagi memutuskan sama ada permohonan semakan tersebut masih berjalan atau sebaliknya.
Pada 5 Januari lalu, Mahkamah Koroner mengesahkan Beng Hock menemui ajal bukan akibat dibunuh dan Koroner Azmil Muntapha Abas turut menolak kemungkinan lelaki itu membunuh diri serta merumuskan ia sebagai keputusan terbuka.
Dua hari selepas itu, Abdul Gani memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi berikutan kebimbangan yang dilahirkan daripada keputusan prosiding inkues tersebut.
Beng Hock, 30, Setiausaha Politik kepada Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 Plaza Masalam.
Friday, September 23, 2011
Subscribe to:
Posts (Atom)