Tuesday, March 9, 2010

Inkues: Teoh tak diliwat tapi tertusuk tulang

Hafiz Yatim
Mac 10, 10
10:39am

Inkues bagi menyiasat punca kematian pegawai politik kepada seorang exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock bersambung semula pada jam 10 pagi ini.

Perbicaraan bermula dengan ketua pendakwa dan bahagian perundangan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Razak Musa menyoal Dr Shahidan Md Noor (kiri).

Dr Shahidan adalah ahli patologi yang melakukan bedah siasat kedua pada 22 Nov lalu.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata tidak mungkin Teoh dipukul atau dijerut sebelum jatuh.

Menjawab soalan daripada Abdul Razak, Shahidan berkata walaupun ada kesan tekanan pada leher, namun lebam kebiruan pada bibir dan kuku, serta bintik-bintik merah pada muka tidak ditemui bagi mencadangkan bahawa mangsa dibunuh.

"Terdapat kesan lebam di leher tetapi tidak ada kesan asphyxia.

"Mungkin terdapat tekanan yang digunakan (di bahagian leher). Bagaimanapun bintik-bintik merah itu di leher tidak menyebabkan kematian Teoh.”

Shahidan juga berkata kecederaan di kawasan dubur Teoh bukan akibat diliwat tetapi konsisten dengan kecederaan akibat terjatuh.

"Kawasan tulang pinggul retak sebelum patah semasa dia jatuh dan akibat itu ia tertusuk di belakang."

Tidak dipukul objek tumpul

Shahidan juga berpendapat tiada kesan kecederaan menunjukkan Teoh dipukul atau dilemaskan.

"Ini kerana tiada tanda seperti lebam di bibir, bintik kemerahan pada muka dan lebam kebiruan di hujung jari," katanya lagi.

Beliau juga menolak laporan oleh Dr Pornthip Rojasunanand (kanan) - seorang ahli patologi dari Thai yang mewakili kerajaan negeri Selangor - yang kepala Teoh dipukul dengan objek yang tumpul.

"Retak di bahagian kanan badan dan tengkorak juga konsisten dengan kesan jatuh.”

"Lagipun, jatuh juga boleh dianggap sebagai satu pukulan oleh objrek yang tumpul.”

Selepas Shahidan mengakhiri kenyataannya, Abdul Razak meminta dua ahli patologi yang membuat bedah siasat pertama untuk tampil memberi keterangan.

Pornthip beri keterangan 20 April

Peguam kerajaan Tan Hock Chuan berkata beliau akan menimbangkan permintaan itu dan berkata permohonan itu mempunyai asas.

Bagaimanapun, Malik Imtiaz Sarwar (kiri) yang mewakili kerajaan Selangor membantah permohonan memanggil kedua-dua ahli patologi berkenaan.

Katanya, membenarkan mereka berbuat demikian akan memberi peluang kepaad mereka memperbetulkan kenyataan awal mereka.

Inkues kemudian ditangguhkan pada tengahari tadi dan Pornthip akan dipanggil memberi keterangan pada 20 April ini.

Ahli patologi yang mewakili SPRM, Dr Peter Venezis pula akan memberi keterangan pada 26 dan 27 April.

Tiada kesan lemas akibat dicekik pada mayat Beng Hock

10/03/2010 1:33pm


SHAH ALAM 10 Mac 2010 – Pakar patologi forensik, Dr. Shahidan Md. Noor hari ini mengesahkan tiada sebarang kesan lemas akibat dicekik ditemui pada mayat Teoh Beng Hock semasa bedah siasat kedua yang dilakukan pada 22 November tahun lalu.

Katanya, walau ada kesan tekanan pada leher, namun lebam kebiruan pada bibirdan kuku, serta bintik-bintik merah pada muka tidak ditemui bagi mencadangkan bahawa setiausaha politik Exco Selangor itu dibunuh.

Prosiding inkues bersambung pada 20 April ini, yang mana pakar patologi forensik dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand akan memberi keterangan untuk kali kedua. – Utusan

Monday, March 1, 2010

Laporan bedah siasat kedua lebih terperinci

SHAH ALAM 1 Mac 2010 - Pakar Forensik Patologi, Dr. Shahidan Md. Noor yang mengendalikan bedah siasat kedua terhadap Teoh Beng Hock mengakui laporan yang disediakan oleh beliau lebih terperinci berbanding laporan bedah siasat pertama.

Beliau yang merupakan Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh berkata, hasil pemeriksaan ke atas kesan kecederaan terutama pada bahagian leher lebih terperinci kerana beliau dibantu oleh maklumat awal daripada pegawai penyiasat.

Selain berpeluang meneliti laporan bedah siasat pertama, katanya, hasil pemeriksaan beliau lebih jelas berikutan kehadiran dua pakar yang menjalankan bedah siasat pertama, Dr. Khairul Azman Ibrahim dan Dr. Prashant Naresh Samberkar.

Meskipun bersetuju bahawa laporan pertama kekurangan beberapa butiran dalam penelitian terhadap kesan kecederaan di bahagian leher Beng Hock serta kecederaan otot akibat dipukul, beliau menolak cadangan peguam Gobind Singh Deo bahawa ia tidak lengkap.

Sebaliknya Shahidan berpendapat, kedua-dua pakar tersebut telah mengambil kira semua fakta yang mungkin menjadi penyebab kepada kematian setiausaha politik exco Selangor itu sebelum membuat pemeriksaan dan kesimpulan.

"Dua rakan saya yang buat pemeriksaan terhadap Beng Hock buat pertama kali fikir apa yang saya fikirkan, tetapi kecederaan yang dialami mencadangkan bahawa dia masih hidup semasa dia jatuh.

"Mereka juga lihat pada fakta kemungkinan dia ditolak, terjun sendiri, dicederakan atau berlaku kemalangan. Tetapi setelah semua fakta diambil kira, kecederaan pada leher tidak nampak. Ia biasa dalam forensik kerana kecederaan pada bahagian itu akan lebih jelas dalam masa 24 jam,'' katanya.

Bagi kes kematian dalam tahanan, Shahidan mengakui bahawa fokus bedah siasat adalah untuk mencari kecederaan yang membawa kepada kematian seperti kesan pukulan, tekanan pada leher dan kecederaan dalaman yang tidak konsisten dengan maklumat.

Semasa memeriksa mayat Beng Hock, beliau mengesahkan menemui kesan kemerahan di bahagian leher seakan-akan satu jalur pada kulit yang tidak dapat dipastikan secara terperinci.

Sehubungan itu, Shahidan berpendapat kemungkinan kesan tersebut lebih jelas pada bedah siasat kedua kerana kedudukannya yang kadang-kadang sukar untuk dilihat semasa bedah siasat pertama.

Bagaimanapun setelah disoal bertubi-tubi oleh peguam yang mewakili keluarga Beng Hock, Shahidan bersetuju bahawa kecederaan di bahagian leher Beng Hock mungkin akibat dicekik.

Bagaimanapun beliau menolak ia mengakibatkan kematian kerana tiada tanda-tanda lemas ditemui selain kesan pendarahan dalaman di bahagian leher sama dengan kesan di bahagian lain.
Sebaliknya, beliau tetap bersetuju dengan pandangan Khairul Azman dan Prashant bahawa kecederaan berganda akibat terjatuh dari tempat tinggi sebagai punca kematian.

Beliau juga berpendapat Beng Hock terjatuh dalam keadaan kaki kanan mencecah lantai dahulu sebelum badan bahagian kanan terhempas dan terbaring dalam keadaan mengiring berdasarkan kecederaan yang dialami.

"Saya juga melakukan simulasi ke atas mayat Beng Hock dengan imbasan CT dengan bantuan pakar radiologi untuk mengesan tulang-tulang yang patah,'' jelasnya.

Beng Hock, 30, ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung 10 Mac ini.

Ada 'kemungkinan' Teoh dicekik sebelum jatuh

Hafiz Yatim
Mac 1, 10
7:37pm

Ketua Patologi Hospital Sungai Buloh Dr Shahidan Md Noor hari ini disoal bertubi-tubi oleh dua peguam berhubung terdapat kemungkinan Teoh Beng Hock dicekik atau dijerut sebelum jatuh daripada Plaza Masalam pada 16 Julai tahun lalu.

Beliau disoal oleh peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo dan peguam yang dilantik kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar sama ada terdapat kemungkinan itu bagi merungkai misteri seputar kematiaannya, sehari sebelum perkahwinannya.

Menjawab soalan Gobind yang juga ahli parlimen Puchong, Dr Shahidan bersetuju bahawa Teoh kemungkinan beliau dicekik atau diseksa sebelum jatuh dari tingkat 14 plaza tersebut.

"Senario itu kemungkinan boleh berlaku, tetapi kebarangkaliannya rendah," katanya, yang melakukan pembedahan kali kedua pada 22 November lalu.

Shahidan diminta oleh Malik dan Gobind supaya menjelaskan kesan tanda merah (yang tercalar di leher Teoh dari kiri kekanan) selepas ditunjukkan sekeping gambar daripada bedah siasat yang pertama. Kesan itu jelas seperti yang dinyatakan dalam laporannya.