SHAH ALAM 1 Mac 2010 - Pakar Forensik Patologi, Dr. Shahidan Md. Noor yang mengendalikan bedah siasat kedua terhadap Teoh Beng Hock mengakui laporan yang disediakan oleh beliau lebih terperinci berbanding laporan bedah siasat pertama.
Beliau yang merupakan Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh berkata, hasil pemeriksaan ke atas kesan kecederaan terutama pada bahagian leher lebih terperinci kerana beliau dibantu oleh maklumat awal daripada pegawai penyiasat.
Selain berpeluang meneliti laporan bedah siasat pertama, katanya, hasil pemeriksaan beliau lebih jelas berikutan kehadiran dua pakar yang menjalankan bedah siasat pertama, Dr. Khairul Azman Ibrahim dan Dr. Prashant Naresh Samberkar.
Meskipun bersetuju bahawa laporan pertama kekurangan beberapa butiran dalam penelitian terhadap kesan kecederaan di bahagian leher Beng Hock serta kecederaan otot akibat dipukul, beliau menolak cadangan peguam Gobind Singh Deo bahawa ia tidak lengkap.
Sebaliknya Shahidan berpendapat, kedua-dua pakar tersebut telah mengambil kira semua fakta yang mungkin menjadi penyebab kepada kematian setiausaha politik exco Selangor itu sebelum membuat pemeriksaan dan kesimpulan.
"Dua rakan saya yang buat pemeriksaan terhadap Beng Hock buat pertama kali fikir apa yang saya fikirkan, tetapi kecederaan yang dialami mencadangkan bahawa dia masih hidup semasa dia jatuh.
"Mereka juga lihat pada fakta kemungkinan dia ditolak, terjun sendiri, dicederakan atau berlaku kemalangan. Tetapi setelah semua fakta diambil kira, kecederaan pada leher tidak nampak. Ia biasa dalam forensik kerana kecederaan pada bahagian itu akan lebih jelas dalam masa 24 jam,'' katanya.
Bagi kes kematian dalam tahanan, Shahidan mengakui bahawa fokus bedah siasat adalah untuk mencari kecederaan yang membawa kepada kematian seperti kesan pukulan, tekanan pada leher dan kecederaan dalaman yang tidak konsisten dengan maklumat.
Semasa memeriksa mayat Beng Hock, beliau mengesahkan menemui kesan kemerahan di bahagian leher seakan-akan satu jalur pada kulit yang tidak dapat dipastikan secara terperinci.
Sehubungan itu, Shahidan berpendapat kemungkinan kesan tersebut lebih jelas pada bedah siasat kedua kerana kedudukannya yang kadang-kadang sukar untuk dilihat semasa bedah siasat pertama.
Bagaimanapun setelah disoal bertubi-tubi oleh peguam yang mewakili keluarga Beng Hock, Shahidan bersetuju bahawa kecederaan di bahagian leher Beng Hock mungkin akibat dicekik.
Bagaimanapun beliau menolak ia mengakibatkan kematian kerana tiada tanda-tanda lemas ditemui selain kesan pendarahan dalaman di bahagian leher sama dengan kesan di bahagian lain.
Sebaliknya, beliau tetap bersetuju dengan pandangan Khairul Azman dan Prashant bahawa kecederaan berganda akibat terjatuh dari tempat tinggi sebagai punca kematian.
Beliau juga berpendapat Beng Hock terjatuh dalam keadaan kaki kanan mencecah lantai dahulu sebelum badan bahagian kanan terhempas dan terbaring dalam keadaan mengiring berdasarkan kecederaan yang dialami.
"Saya juga melakukan simulasi ke atas mayat Beng Hock dengan imbasan CT dengan bantuan pakar radiologi untuk mengesan tulang-tulang yang patah,'' jelasnya.
Beng Hock, 30, ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.
Prosiding inkues di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung 10 Mac ini.
Monday, March 1, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment