2010/04/20
KUALA LUMPUR: Pakar Patologi dari Thailand Dr Pornthip Rojanasunand tidak hadir pada inkues kematian Teoh Beng Hock bukan atas sebab keselamatan dirinya diancam malah alasan itu dianggap tidak munasabah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ini kerana meskipun jaminan keselamatan paling optimum telah ditawarkan kepada pakar tersebut namun beliau tetap tidak memberi respons untuk hadir memberi keterangan pada inkues hari ini. "Saya sudah kata berulang kali, saya beri jaminan keselamatan terbaik, pihak polis akan lakukan segala yang patut bagi menjamin keselamatannya sejurus beliau tiba di negara ini hinggalah beliau kembali ke negaranya. "Beliau akan dijemput dengan kenderaan polis di lapangan terbang sebelum dibawa ke tribunal dan kita juga akan tempatkan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) di biliknya. Kita akan pastikan beliau selamat balik ke Thailand," katanya kepada pemberita di Pameran dan Persidangan Pertahanan Perkhidmatan Asia (DSA2010) di sini hari ini.
Beliau berkata dakwaan bahawa jaminan keselamatan yang diberi terhadap Pornthip bersyarat adalah tidak benar memandangkan keselamatan setiap individu yang memasuki Malaysia dilindungi tanpa mengira status kerakyatan masing-masing.
"Saya tidak letak sebarang syarat, jika beliau benar-benar tidak mahu datang maka soal keselamatan bukanlah penyebabnya, hanya beliau seorang yang tahu.
"Kita cuma minta beliau membuktikan dakwaan kononnya beliau telah menerima tekanan dan bimbang dengan keselamatan dirinya hingga menarik diri daripada memberi keterangan pada inkues supaya kita dapat jalankan siasatan," katanya.
Sementara itu, mengenai gambar bertindih (superimpose) beliau dan keluarganya yang tersebar di internet, beliau berkata ia permainan kotor yang biasa berlaku dalam arena politik.
Hishammuddin berkata beliau menyedari gambar-gambar berkenaan sudah berada di blog-blog lebih lapan tahun yang lalu, namun sejak akhir-akhir ini, isu itu seakan-seakan sengaja dimainkan dan dibangkitkan semula.
"Ini semua fitnah, selama ini saya malas melayan perkara sebegini dalam internet, jika mereka mahu terus-terusan memfitnah, terserah, kerana sedikit pun tidak akan menggugat keselamatan negara.
"Tetapi yang menjadi persoalan sekarang, mengapa mereka menggelabah dan melatah dalam konteks tuduhan yang dibuat terhadap pemimpin dan calon mereka di Hulu Selangor serta mengapa baru sekarang gambar ini dibangkitkan selepas lapan tahun," katanya.
Beliau berkata antara gambar yang tersebar termasuklah gambar seorang wanita berbogel yang didakwa sebagai anak beliau sedangkan beliau langsung tidak mengenali wanita itu.
Tambah menyedihkan, katanya, apabila isterinya turut menjadi mangsa apabila gambarnya ditindih dengan tangan seakan-akan makhluk asing selain gambar yang mendakwa Hishammuddin kaki botol dan kaki perempuan.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan memastikan anggota polis ditempatkan di kawasan Parlimen Hulu Selangor mencukupi bagi mengawal keadaan terutamanya pada hari pengundian 27 April depan.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan keadaan di Hulu Selangor terkawal sepanjang tempoh pilihan raya dan tidak sepanas berbanding pilihan raya kecil tempat lain sebelum ini.
"Contohnya pada hari penamaan calon, kalau hendak bandingkan dengan Ijok dan yang lain, jauh berbeza dan terkawal malah insiden yang dilaporkan hingga sekarang, tidak serius," katanya. - Bernama
Tuesday, April 20, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment