Ogos 9, 10 11:44pm
Kongsi 13Pejabat Peguam Negara menafikan sebarang penyekatan bukti dalam inkues kematian Teoh Beng Hock selepas mengemukakan sekeping nota yang ditemui tahun lepas dalam beg sandang Beng Hock, yang mungkin mengandungi petunjuk tentang kematiannya.
Penemuan bukti baru itu menyebabkan prosiding inkues itu yang sepatutnya didengar semalam ditangguh kepada 18 Ogos.
Kenyataan pejabat Peguam Negara itu malam tadi menjelaskan, pejabat Peguam Negara dimaklumkan mengenai penemuan nota itu oleh pegawai penyiasat ASP Nazri Zainal pada 7 Oktober tahun lepas, lebih dua bulan selepas kematian Beng Hock.
Beng Hock, 30, Setiausaha Politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, pada mulanya Ahmad Nazri tidak menemui nota tersebut ketika beliau memeriksa beg sandang Beng Hock sebaik insiden berlaku.
Bagaimanapun, ia berkata, Ahmad Nazri baru-baru ini mengaku yang dia menjumpai nota tersebut ketika memeriksa beg sandang simati pada 17 Julai tahun lepas tetapi tidak menyedari kepentingannya kerana turut menjumpai dokumen lain dan ia ditulis dalam tulisan Cina dan Rumi.
Kenyataan itu menjelaskan penemuan bukti itu mengejutkan pejabat Peguam Negara dan ia mengarahkan siasatan dijalankan.
Katanya, nota itu dengan segera diterjemahkan, dan terdapat cukup fakta untuk nota itu dianalisa oleh pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia pada 9 Oktober dan kemudiannya pada 20 Oktober tahun lepas.
Menurutnya, pemeriksa dokumen menyediakan laporan mereka, dan ia kemudiannya dipertimbang oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, yang tidak yakin dengan ketulenan nota itu disebabkan kekurangan contoh untuk mengesahkan tulisan tangan berkenaan, khususnya tulisan Cina.
Tambahan pula, nota itu ditemui selepas dua bulan kematian Teoh dan ini akan menimbulkan syak wasangka tentang ketulenan dan penemuannya.
"Setelah mempertimbangkan faktor-faktor ini, Abdul Gani berpendapat nota itu tidak perlu dikemukakan sehingga, dan melainkan, pegawai penyiasat boleh menyediakan penjelasan yang memuaskan,” kata kenyataan itu.
Katanya, terdahulu pejabat itu diberi penjelasan oleh pegawai penyiasat berkenaan bahawa beliau menjalankan pemeriksaan rapi selepas dinasihatkan oleh pakar psikologi iaitu kebiasaannya sekeping nota akan ditinggalkan dalam kes bunuh diri.
"Berikutan itu, Peguam Negara memutuskan untuk mengemukakan nota tersebut dan mengarahkan pegawai penyiasat untuk menjelaskan perkara ini di mahkamah untuk mengelak sebarang akibat pada masa depan dan biarlah ia diputuskan oleh koroner selepas menimbangkan penjelasan pegawai penyiasat dan laporan oleh pemeriksa dokumen,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut pejabat itu merasakan bahawa tidak ada penyekatan atau penyembunyian bukti, dan keputusan untuk tidak menawarkan nota itu pada awalnya dibuat berdasarkan laporan pemeriksan dokumen serta penemuan nota yang boleh menimbulkan syak wasangka.
"Pejabat Peguam Negara akan mengemukakan dokumen sebagai bukti hanya apabila pejabat itu telah berpuas hati tiada lagi kemusykilan,” katanya.
- Bernama
Monday, August 9, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment