Monday, May 23, 2011

Teoh: Mahkamah benar permohonan AG untuk penangguhan

Teoh: Mahkamah benar permohonan AG untuk penangguhan

Mei 23, 11 9:03pm

Kongsi 6
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menangguhkan kepada 14 dan 15 Julai untuk mendengar permohonan semakan oleh Peguam Negara terhadap keputusan terbuka Mahkamah Koroner berhubung kes kematian Teoh Beng Hock.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki berkata Suruhanjaya Siasatan kematian pembantu politik itu sudah tentu telahpun menyelesaikan tugas mereka ketika itu, dan mahkamah boleh meneliti kesemua nota prosiding dan bahan bukti yang kini berada dengan suruhannya berkenaan.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengemukakan permohonan untuk penangguhan itu. Beliau diwakili di mahkamah oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar yang berkata permohonan itu dibuat agar permohonan semakan boleh didengar selepas Suruhanjaya Siasatan menyelesaikan prosidingnya.

"Kami bukanlah cuba melengahkan masa atau menghalang keluarga daripada mencari keadilan tetapi permohonan ini dimulakan oleh AG (Peguam Negara) sendiri dengan hasrat untuk mencari kebenaran dalam perkara ini," kata Mohd Dusuki.

Suruhanjaya itu mengumumkan bahawa keputusan laporan itu akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 24 Jun ini.

Peguam Karpal Singh, yang mewakili keluarga Teoh, membantah permohonan Gani untuk penangguhan itu, dengan berkata Peguam Negara telahpun memfailkan permohonan semakan sebelum pun pengumuman dibuat mengenai penubuhan suruhanjaya berkenaan dan perbicaraan mesti diteruskan demi keadilan.

"Keadilan perlu ada buat keluarga ini. Permohonan AG di peringkat ini adalah mala fide (berniat jahat). Hakikatnya, tiada sebarang tanda dari pejabat beliau bahawa beliau akan memohon penangguhan sejak perkara ini dibangkitkan untuk pengurusan kes pada 17 Februari," katanya.

Gani memfailkan permohonan semakan pada 5 Januari, pada hari yang sama Koroner Azmil Muntapha Abas membuat keputusan terbuka dan memutuskan bahawa kematian Teoh pada 2009 bukanlah membunuh diri atau dibunuh.

Teoh, setiausaha politik anggota exco kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai, 2009, di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Selangor di tingkat 14 bangunan yang sama.

Hakim Mohtarudin berkata beliau bersetuju dengan Karpal bahawa perbicaraan mengenai permohonan semakan semula itu perlu diteruskan, namun menambah mahkamah memerlukan semua nota prosiding dan bahan bukti inkuiri yang ketika ini berada dengan suruhanjaya berkenaan.

"Saya sememangnya bersetuju untuk meneruskan permohonan ini secepat mungkin tetapi mahkamah ini memerlukan kesemua rekod dan tanpanya, kita tidak boleh meneruskan perbicaraan dan oleh itu, saya membenarkan permohonan untuk penangguhan," katanya.

- Bernama

Wednesday, May 18, 2011

Nota terakhir Teoh akan diperiksa semula

Nota terakhir Teoh akan diperiksa semula

Joseph Sipalan
Mei 18, 11
11:33am

Kongsi 13
Suruhanjaya diraja bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini memerintahkan pemeriksaan semula dibuat terhadap nota kematian yang dijumpai dalam beg bekas pembantu politik itu.

Pemeriksaan semula itu akan akan dibuat ekoran terdapat kesan ronyokan padanya.

Pengerusi suruhanjaya Tan Sri James Foong berkata, nota itu patut dihantar kepada Jabatan Kimia dengan segera untuk mengenalpasti perkataan yang tidak dapat dibaca itu.

"Jika ia dalam bahasa selain bahasa Malaysia, ia akan diterjemah kepada bahasa Malaysia oleh penterjemah bertauliah Mahkamah," katanya apabila mendengar permohonan Peguam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Shafee Abdullah.
Muhammad Shafee membuat permohonan itu pada 11 Mei lalu dan prosiding tergempar hari ini dijalankan untuk mendengar permohonan itu secara terbuka.

Prosiding suruhanjaya selesai pada 10 Mei lepas setelah mendengar keterangan 70 saksi.

Sementara itu, Bernama melaporkan Muhammad Shafee berhujah bahawa analisis semula itu perlu dilakukan bagi menentukan keadaan minda Teoh sebelum mati dan apa perkataan yang telah dipadamkannya.

"Siapa jua yang memadamkan perkataan di bawahnya mestilah orang yang sama yang menulis nota itu. Perkataan yang dipadamkan akan membantu dalam membuat interpretasi. Saya meminta ahli kimia supaya memeriksa semula nota dan mendapatkan semula perkataan yang dibatalkan itu," katanya.

Nota 'selamat tinggal' yang dijumpai di dalam beg sandang Teoh telah dianalisis pertama kali di Jabatan Kimia ketika prosiding inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam dan disahkan bahawa tulisan tangan pada nota itu milik Teoh.

Teoh, 30, setiausaha politik Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk TS Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 26 Jan lalu, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka'.

Tuesday, May 10, 2011

Psikiatri: Teoh dalam kumpulan berisiko rendah

S Pathmawathy
Mei 10, 11
7:27pmJika Teoh Beng Hock membunuh diri, ia ada kaitan dengan usaha menjejaskan kestabilan psikologinya ataupun cuba menakut-nakutkannya sehingga mengakibatkan kematian, kata seorang pakar psikiatri hari ini.

Menurut laporan oleh Dr Paul E Mullen, yang dikemukakan kepada Suruhajaya Diraja yang menyiasat kematian Teoh, mangsa diklasifikan sebagai “kumpulan berisiko rendah”.

Mullen, seorang profesor psikiatri forensik di Universiti Monash, Melbourne, Australia, dibawa oleh Majlis Peguam bagi menentukan ciri-ciri keperibadian Teoh dan keadaan mindanya bagi membantu RCI menyiasat punca dan faktor-faktor yang menyuumbang kepada kematiannya.

"Soalan kepada mereka yang diwawancara menunjukkan Teoh seorang yang teratur, kemas dan menpunyai kecederungan untuk menjadi sempurna.

"Tiada bukti yang dijumpai bagi menunjukkan mangsa mengalami perasaan pilu atau sedih keterlaluan atau juga ketegangan yang luar biasa.

"Personaliti Teoh dan kelakuannya tidak menunjukkan sebarang cadangan bahawa beliau mempunyai risiko untuk membunuh diri.

"Justeru, pendapat saya, Teoh Beng Hock jelas dalam kumpulan berisiko rendah untuk bunuh diri apabila beliau dibawa dalam tahanan SPRM,” kata Mullen.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) juga mendapatkan pendapat sendiri dengan melantik perunding psikiatri forensik Dr Badi'ah Yahya dan psikiatri komuniti Dr Nor Hayati Ali.

Badi'ah iberkhidmat di Hospital Permai di Johor manakala Nor Hayati adalah dari Hospital Selayang, Selangor.

Kedua-dua Badi'ah dan Nor Hayati dalam laporan mereka tidak memberikan kesimpulan yang menyeluruh.

"Pada pendapat kami, Teoh mempunyai risiko untuk membunuh diri dan faktor melindungi dirinya yang mengurangkan risikonya bagi berbuat demikian,” kata mereka.

Teoh dibawa ke ibu pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14, Plaza Masalam Shah Alam pada 15 Julai 2009 untuk disoal-siasat berhubung dakwaan salah guna dana oleh majikannya ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah.

Beliau dijumpai mati pada koridor tingkat kelima bangunan yang sama pada keesokan harinya.

Keterangan oleh pegawai kanan SPRM semasa prosiding telah melepaskan Ean Yong daripada sebarang kesalahan.

Suruhanjaya yang bersidang sejak 14 Februari lalu, berakhir hari ini selepas saksi ke-70, iaitu Dr Ba'diah selesai memberi keterangannya.

Monday, May 9, 2011

RCI: Ketua pendakwa bimbing saksi jawab soalan?

S Pathmawathy
Mei 9, 11
8:08pm

Kongsi 4
Ketua pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abdul Razak Musa hari ini dituduh membimbing para saksi bagaimana hendak menjawab soalan dari suruhanjaya siasatan diraja (RCI) yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

Pegawai kanan penguatkuasa Azian Umar, yang dipanggil semula oleh Majlis Peguam untuk memberi keterangan dalam siasatan hari ini berkata, Abdul Razak (kiri) telah mengarahkannya untuk hanya menjawab bila ditanyakan dan jangan jawab jika tidak ditanya".

Perkara itu dibangkit ketika peguam Majlis Peguam, Cheow Wee (kiri) menyoal Azian mengenai SMS antara beliau dengan pegawai atasannya, Hairul Ilham Hamzah.

Kandungan SMS itu menjadi perhatian.

Azian pada 17 Julai 2009 - sehari selepas kematian Teoh - nampaknya merayu kepada Hairul supaya tidak mengarahkan para pegawai bawahannya "membuat kenyataan palsu".

Cheow bertanya kepada Azian - yang sebelum ini telah memberi keterangan kepada RCI pada 28 Februari - mengapa dia tidak memaklumkan maklumat mengenai SMS tersebut.

Selepas berhenti seketika, dia berkata: "Ia bukan satu isu (dan) saya tidak mahu menjadikannya satu isu."

Jawapannya berhubung peranan Abdul Razak'menyebabkan pengerusi RCI, Datuk James Foong bertanya kepada peguam SPRM Muhammad Shafee Abdullah sama ada beliau sedar tentang arahan tersebut.

Isteri sebak cerita kenangan bersama Teoh

Isteri sebak cerita kenangan bersama Teoh

S Pathmawathy
Mei 9, 11
8:08pm

Kongsi 0
Isteri Teoh Beng Hock - Soh Cher Wei - sebak serta menitiskan air mata ketika memberi keterangan kepada suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung kematian suaminya.

Air matanya tidak dapat ditahan menitis di pipinya ketika dia menceritakan secara panjang lebar mengenai personaliti Teoh dan tentang hubungan mereka.

Pesuruhjaya Mohamad Hatta Shaharom meminta Soh menceritakan mengenai hubungannya dengan Teoh dan "apakah makna cinta mereka" kepadanya

Soh yang sebak dan terpaksa menunggu seketika sebelum menjawab soalan tersebut, kelihatan mengesat air matanya sambil berkata, dia menganggap Teoh sebagai lelaki untuknya berkongsi hidup hingga ke akhir hayat.

"Dia seorang yang baik. Dia menyayangi saya dan keluarganya," kata
guru berusia 30 tahun itu dari Batu Pahat, Johor, ketika menjawab soalan Hatta mengenai apa yang disukainya tentang diri Teoh.

"Bila saya baru mengenali dia, saya mendapat tahu yang dia seorang yang amat menyayangi keluarganya dan dia akan menghubungi ibunya hampir setiap hari. Dia akan pulang ke Melaka setiap minggu," kata soah ketika menjawab soalan pegawai pengendali, Awang Armadajaya Awang Mahmud. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan pengerusi suruhanjaya yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini mengingatkan adik perempuan Teoh supaya tidak mengeluarkan kenyataan salah berhubung prosiding siasatan.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen berkata tindakan tegas akan diambil sekiranya Teoh Lee Lan berbuat demikian.

"Kami telah bertugas hingga larut malam dan lebih masa untuk mencari kebenaran. Kami tersinggung dengan tuduhan sedemikian. Malah peguam Majlis Peguam Christopher Leong sendiri telah menyatakan secara terbuka tidak ada yang dapat menyokong perkara (dakwaan) sedemikian. Kami tidak akan biarkan ini mengganggu dan merosakkan prosiding ini," katanya.

Arahan Foong itu timbul setelah sebuah lamanweb menyiarkan artikel yang memetik kata-kata Lee Lan dalam satu sidang media pada 28 April lalu bertajuk "RCI sekongkol dengan SPRM".

Lee Lan yang disoal Foong berhubung artikel tersebut pada awalnya kelihatan tercengang dan menyatakan tidak tahu apa yang ditulis sehinggalah ditunjukkan artikel itu.

Bagaimanapun beliau tidak memberi jawapan (selepas membaca artikel) sama ada ada menyebutnya (dakwaan tentang prosiding) atau tidak.

Sementara itu, Lee Lan yang memberi keterangan dalam bahasa Kantonis yang diterjemah oleh seorang jurubahasa berkata beliau amat rapat dengan Teoh tetapi tidak dapat cam tulisan tangan abangnya bagi memastikan kesahihan nota 'selamat tinggal' yang dijumpai dalam beg Teoh.

Tambahnya, Teoh bukan seorang yang kuat agama dan hanya sekali ke kuil iaitu pada Tahun Baru Cina.

Ketika prosiding, Lee Lan gagal menjawab soalan dengan tepat dan kelihatan sebak apabila menceritakan karektor Teoh.

Selain Lee Lan, abang Teoh iaitu Meng Kee, tunang Teoh Soh Cher Wei dan bapa Teoh, Leong Hwee turut dipanggil memberi keterangan hari ini.

Teoh, 30, setiausaha politik Ean, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S. Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner, pada akhir siasatannya, membuat keputusan terbuka.

Prosiding disambung esok.

Tuesday, May 3, 2011

'Tak mungkin Teoh mencangkung dan lompat'

'Tak mungkin Teoh mencangkung dan lompat'S Pathmawathy
Mei 3, 11
1:21pmKongsi 108Adalah tidak mungkin bagi Teoh Beng Hock mencangkung di belebas tingkap dan melompat keluar, kata laporan seorang pakar pada keterangannya kepada Suruhajaya Diraja yang menyiasat kematian Teoh.

Dalam laporannya, Profesor Sallehuddin Muhamad, dari Bahagian Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata kesimpulan itu adalah berdasarkan beberapa rumusannya yang melakonkan semula cara-cara kemungkinan Teoh jatuh.

Katanya, terdapat sembilan kemungkinan.

"Mencangkung di birai tingkap dan melompat keluar tidak mungkin kerana saiz tingkap yang terbuka itu. Kepala mangsa akan terhantuk panel tingkap jika beliau melompat dari kedudukan itu,” kata Sallehuddin dalam laporannya.

Sallehuddin, yang mengkhusus dalam siasatan kemalangan kapalterbang dibawa oleh penyisat persendirian yang dilantik RCI, iaitu Michael Leslie Squires selepas suruhanjaya berkenaan mengarahkan lakonan semula kemungkinan kejatuhan itu melalui animasi komputer pada Februari lalu.

Katanya, suruhanjaya tersebut melawat lokasi kejadian pada Mac lalu dengan diiringi oleh beberapa anggota Jabatan Kimia dan pegawai polis.

Tolakan ke bawah

Katanya, berdasarkan analisis itu berkemungkinan bahawa Teoh jatuh dari tempat tinggi selepas keputusan menunjukkan tiada sebarang kesan halangan udara yang berlaku kerana tolakan secara melintang dan tolakan ke bawah dari ketinggian tiga meter.

Beliau berkata, kejadian itu juga berkemungkinan Teoh yang duduk di birai tingkap dan berkemungkinan jatuh dengan jatuhan bebas dari sudut 4.75 darjah.

"Sekiranya Teoh dalam keadaan itu, mustahil Teoh boleh terjun dengan laju berdasarkan bukaan tingkap yang kecil dan menyebabkan kepalanya terhantuk dengan kuat pada panel tingkap" katanya ketika disoal oleh Pegawai Pengendali, Amarjeet Singh.

Beliau yang juga pakar penyiasat dalam kemalangan yang membabitkan pesawat udara, berkata keadaan tolakan secara melintang berlaku boleh dikategorikan sebagai membunuh manakala keadaan sekiranya Teoh jatuh secara jatuhan bebas, dikategorikan sebagai bunuh diri.

Teoh, 30, setiausaha politik exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya itu dianggotai Hakim Mahkamah Tingi, Tan Sri James Foong, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk TS Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh, serta Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 26 Jan lalu, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka