Wednesday, May 18, 2011

Nota terakhir Teoh akan diperiksa semula

Nota terakhir Teoh akan diperiksa semula

Joseph Sipalan
Mei 18, 11
11:33am

Kongsi 13
Suruhanjaya diraja bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini memerintahkan pemeriksaan semula dibuat terhadap nota kematian yang dijumpai dalam beg bekas pembantu politik itu.

Pemeriksaan semula itu akan akan dibuat ekoran terdapat kesan ronyokan padanya.

Pengerusi suruhanjaya Tan Sri James Foong berkata, nota itu patut dihantar kepada Jabatan Kimia dengan segera untuk mengenalpasti perkataan yang tidak dapat dibaca itu.

"Jika ia dalam bahasa selain bahasa Malaysia, ia akan diterjemah kepada bahasa Malaysia oleh penterjemah bertauliah Mahkamah," katanya apabila mendengar permohonan Peguam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Shafee Abdullah.
Muhammad Shafee membuat permohonan itu pada 11 Mei lalu dan prosiding tergempar hari ini dijalankan untuk mendengar permohonan itu secara terbuka.

Prosiding suruhanjaya selesai pada 10 Mei lepas setelah mendengar keterangan 70 saksi.

Sementara itu, Bernama melaporkan Muhammad Shafee berhujah bahawa analisis semula itu perlu dilakukan bagi menentukan keadaan minda Teoh sebelum mati dan apa perkataan yang telah dipadamkannya.

"Siapa jua yang memadamkan perkataan di bawahnya mestilah orang yang sama yang menulis nota itu. Perkataan yang dipadamkan akan membantu dalam membuat interpretasi. Saya meminta ahli kimia supaya memeriksa semula nota dan mendapatkan semula perkataan yang dibatalkan itu," katanya.

Nota 'selamat tinggal' yang dijumpai di dalam beg sandang Teoh telah dianalisis pertama kali di Jabatan Kimia ketika prosiding inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam dan disahkan bahawa tulisan tangan pada nota itu milik Teoh.

Teoh, 30, setiausaha politik Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk TS Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 26 Jan lalu, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka'.

No comments:

Post a Comment