Sunday, January 30, 2011

Beng Hock: Prosiding bermula 14 Feb.

KUALA LUMPUR 29 Jan. 2011 - Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kematian mendiang Teoh Beng Hock yang diumumkan penubuhannya oleh kerajaan awal bulan ini akan memulakan prosiding pertamanya pada 14 Februari nanti.
Pengerusi Suruhanjaya itu, Tan Sri James Foong Cheng Yuen berkata, prosiding yang mengambil masa tiga bulan itu dijangka selesai sebelum 25 April.
Beliau yang juga Hakim Mahkamah Persekutuan berkata, persidangan akan diadakan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat di Kompleks Mahkamah Jalan Duta bermula pukul 9 pagi dan berakhir kira-kira pukul 4 petang.
"Setelah laporan itu siap, ia akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 25 April yang kemudiannya akan membuat keputusan mengenai siasatan itu.
"Saya percaya, suruhanjaya ini mampu menyelesaikan siasatan sebelum tarikh tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat membabitkan panel Suruhanjaya Diraja di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.
Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan senarai panel Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kematian mendiang Teoh Beng Hock setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Selain Cheng Yuen, suruhanjaya tersebut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk T. Selventhiranathan; Pakar Perunding Patologi Forensik Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Bhupinder Singh.
Ia juga dianggotai oleh Pakar Perunding Psikiatri Forensik/Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saripuddin Kasim yang dilantik sebagai Setiausaha Suruhanjaya itu.
Pada masa sama, tiga pegawai kerajaan juga dilantik sebagai pegawai pengendali suruhanjaya iaitu Amarjeet Singh a/l Serjit Singh, (Timbalan
Ketua Bahagian Guaman I); Awang Armadajaya Awang Mahmud (Timbalan Pendakwa Raya) dan Kwan Li Sa (Timbalan Pendakwa Raya).
Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga menetapkan terma rujukan Suruhanjaya Diraja seperti berikut;
n Untuk menyiasat sama ada wujud atau tidak apa-apa ketidakwajaran dalam perjalanan pemeriksaan Teoh Beng Hock dalam perjalanan penyiasatan Laporan Shah Alam Nombor 0052/2009 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dengan Perintah-Perintah Tetap dan amalannya dan untuk mengesyorkan apa-apa tindakan yang sesuai, jika perlu.
n Untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock dan hal keadaan yang menyelubungi dan membawa kepada kematiannya.
Sementara itu, Cheng Yuen memberitahu, satu lagi mesyuarat membabitkan panel dan pegawai pengendali Suruhanjaya Diraja akan diadakan 9 Februari ini bagi membincangkan perkembangan suruhanjaya tersebut.
Selain itu, katanya, pengendali suruhanjaya juga akan bermesyuarat pada Isnin ini (31 Jan) bagi membincangkan mengenai jumlah saksi yang perlu dipanggil sepanjang prosiding itu berlangsung.
"Suruhanjaya juga melakukan tinjauan terhadap kamar yang akan digunakan sepanjang prosiding ini berlangsung dan kita berpuas hati dengan bilik itu," katanya

No comments:

Post a Comment