Wednesday, January 19, 2011

Semakan inkues Beng Hock didengar 31 Januari

SHAH ALAM 19 Jan. 2011 - Permohonan semakan yang difailkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail terhadap keputusan inkues siasatan kematian Teoh Beng Hock akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Januari ini.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Khairul Nizam Abu Bakar hari ini dan permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki.

Pada 5 Januari lalu, Mahkamah Koroner di sini mengesahkan Setiausaha Politik kepada seorang Exco Selangor itu menemui ajal bukan akibat dibunuh.

Koroner Azmil Muntapha Abas turut menolak kemungkinan lelaki itu membunuh diri serta merumuskan ia sebagai keputusan terbuka.

Dua hari selepas itu, Abdul Gani memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi berikutan kebimbangan yang dilahirkan daripada keputusan prosiding inkues tersebut.

Beng Hock, 30, Setiausaha Politik kepada Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 Plaza Masalam di sini.

Inkues bagi menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock bermula pada 29 Julai 2009 ekoran kematiannya menimbulkan tanda tanya kerana beberapa jam sebelum itu dia dipanggil ke SPRM untuk disoal berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri Selangor.

Walaupun pada peringkat awal inkues dijangka selesai dalam tempoh sebulan, namun ia berlarutan selama 15 bulan tujuh hari dengan 37 saksi termasuk pakar patologi dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand dipanggil memberi keterangan.

No comments:

Post a Comment