Thursday, November 4, 2010

IO tak tolak pegawai SPRM mungkin suspek

Aidilla Razak
Nov 4, 10
2:19pm

Kongsi 0Pegawai penyiasat kes kematian setiausaha politik exco negeri Selangor, Teoh Beng Hock memberitahu mahkamah hari ini bahawa beliau tidak boleh menolak kemungkinan beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai suspek dalam kes tersebut.


Ini kerana seorang saksi, yang juga pegawai SPRM, telah melihat mereka di tingkat 14 di mana Teoh disoalsiasat sehingga awal pagi 16 Julai tahun lalu, iaitu pada hari yang sama, Teoh ditemui mati.

Menurut ASP Ahmad Nazri Zainal, pegawai SPRM Mohd Nazri Ibrahim dibenarkan pulang selepas merakam kenyataan Teoh pada jam 3.45 pagi.

Beliau berkata, rakaman CCTV menunjukkan saksi meninggalkan bangunan tersebut kira-kira jam 4 pagi, tetapi dilihat oleh seorang lagi pegawai SPRM Raymond Nyion melewati pejabatnya sekitar jam 5 pagi.

Raymond juga ternampak pegawai penyiasat SPRM Mohd Anwar Ismail dan pengarah jabatan Hishamuddin Hashim lalu di situ.

Dalam keterangannya sebelum ini, Anwar berkata dia tidur di bilik solat dari jam 5 pagi hingga 8.30 pagi, manakala Hishamuddin berkata dia nampak Teoh kira-kira jam 5.45 pagi.

Teoh, 30, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam pada 16 Julai 2009, selepas disoalsiasat oleh SPRM di pejabat suruhanjaya itu di tingkat 14 bangunan yang sama.

Selepas 37 saksi dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Koroner Shah Alam, prosiding inkues kematian Teoh berakhir hari ini.

Inkues tersebut bermula Julai tahun lalu. Koroner Azmil Muntapha Abas menetapkan 10 Disember ini untuk memfailkan hujahan bertulis.

Azmil juga menetapkan 17 Disember untuk mendengar hujahan lisan sebelum membuat keputusan.

Inkues Beng Hock berakhir, 17 Disember hujahan lisan

04/11/2010 2:03pm


SHAH ALAM 4 Nov 2010 - Selepas 37 saksi dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Koroner di sini, prosiding inkues menyiasat kematian Setiausaha Politik Exco Negeri Selangor, Teoh Beng Hock yang bermula Julai tahun lalu berakhir hari ini.

Koroner Azmil Muntapha Abas menetapkan 10 Disember ini untuk pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis.

Beliau turut menetapkan 17 Disember bagi mendengar hujahan lisan sebelum membuat keputusan. - Utusan

Friday, October 22, 2010

Inkues Teoh: Penulis 'nota terakhir' masih misteri

Aidila Razak
Okt 22, 10
1:18pm

Kongsi 0Identiti penulis yang didakwa menulis 'nota terakhir' yang dijumpai di beg sandang Teoh Beng Hock masih menjadi misteri.

Mahkamah Koroner Shah Alam bagi menentukan inkues kematian Teoh dimaklumkan hari ini bahawa tulisan pada nota misteri berkenaan - yang ditulis bercampur-campur dalam bahasa Cina dan Melayu - adalah tulisan yang sama yang dijumpai di buku catatan yang dijumpai di beg Teoh.


Bagaimanapun, penganalisis dokumen daripada Jabatan Kimia Malaysia, Wong Kong Yong, berkata beliau tidak dapat memberikan kepastian sama ada tulisan dalam bahasa Cina itu menyerupai contoh tulisan yang dijumpai di buku catatan berkenaan.

Menurut beliau, dia hanya boleh mengatakan bahawa nota itu “besar kemungkinan ditulis oleh orang yang sama”.

Berikutan perkembangan itu, koroner Azmil Muntapha Abas berkata perkara berkenaan masih belum merungkai misteri berhubung penulis nota tersebut.

Wong, yang mengkaji tulisan yang didakwa ditulis oleh Teoh sebagai 'wasiat terakhirnya' itu berkata kebanyakan sampel tulisan yang ditemui dalam beg sandang Teoh ketika disoal siasat di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 16 Julai 2009.


Teoh disoal-siasat pada malam tarikh berkenaan sebelum dijumpai mati di tempat mendarat tingkat lima bangunan yang sama.

Kenyataan 10 helai SPRM juga digunakan sebagai sampel untuk analisis tulisan berkenaan.

“Tulisan (Melayu) pada nota itu hampir sama dengan huruf tulisan BM.

“Tulisan ini ditulis oleh orang yang sama,” kata Wong ketika memberikan penerangannya.

Tambahanya, huruf awal yang terdapat di nota itu juga sama dengan apa yang ditulis oleh Teoh dalam kenyataannya kepada SPRM.

Tetapi Wong tidak boleh berkata perkara yang sama berhubung tulisan Cina. Dia hanya membuat kesimpulan, “kemungkinan besar” ia ditulis oleh orang yang sama.

Thursday, October 14, 2010

Inkues Teoh Beng Hock: Pegawai penyiasat nafi sembunyi nota tulisan Teoh

2010/10/15
SHAH ALAM: Pegawai penyiasat dalam inkues kematian Teoh Beng Hock semalam, menafikan beliau menyembunyikan sekeping nota yang dikatakan ditulis mangsa sebelum kematiannya dan hanya mendedahkannya selepas setahun prosiding inkues itu berjalan di Mahkamah Koroner di sini.

Asisten Superintendan (ASP) Ahmad Nazri Zainal berkata, beliau menyerahkan nota itu kepada Pejabat Peguam Negara pada 8 Oktober tahun lalu, sebaik menyedari kepentingannya dalam siasatan inkues berkenaan. Menjawab soalan peguam pemerhati keluarga Beng Hock, Gobind Singh Deo, Ahmad Nazri berkata beliau menjumpai nota bertulisan Cina dan Rumi itu pada Julai 2009, namun hanya mengetahui isi kandungannya pada 7 Oktober 2009.
“Sebaik menyedari kepentingan nota itu, saya terus menyerahkannya kepada Pejabat Peguam Negara. Saya sudah memaklumkan kepada pihak atasan termasuk pegawai atasan saya, pihak polis, Pejabat Peguam Negara dan Timbalan Pendakwa Raya tetapi saya tidak mendapat arahan untuk menyiasat mengenai isi kandungan nota itu.

“Arahan yang saya terima hanya untuk menghantar nota itu ke Jabatan Kimia untuk dianalisa,” katanya.

Ahmad Nazri berkata, jika beliau berniat untuk menyembunyikan nota itu, sudah pasti tiada siapa pun yang akan tahu mengenainya.

“Ketika jumpa surat ini pada Julai 2009 tiada siapa pun dalam dunia ini yang tahu mengenainya, tetapi saya jujur dan ada membuat laporan sebaik mengetahuinya,” katanya.
Gobind: Setuju, saya katakan punca nota itu tidak dikemukakan lebih awal kerana ia jelas menunjukkan peranan sebenar pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sememangnya menggunakan tekanan ketika menyiasat sehingga menyebabkan kematian Teoh?

Ahmad Nazri: Saya tidak tahu, sebab saya percaya nota itu akan dikemukakan di mahkamah ketika saya memberikan keterangan.

Gobind: Siapa yang buat keputusan penting supaya surat ini tidak dikemukakan, adakah Pejabat Peguam Negara?

Ahmad Nazri: Ya.

Gobind: Jadi ini bermaksud Pejabat Peguam Negara cuba hendak menutup dan menyembunyikan nota itu?

Ahmad Nazri: Seperti saya tahu, saya tidak boleh bagi penjelasan bagi pihak Pejabat Peguam Negara. Saya tahu nota itu akan dikemukakan di mahkamah. Mungkin saya tak dapat beri penjelasan lebih awal (mengenai nota itu) kerana ia belum dikemukakan sehinggalah saya memberikan keterangan di mahkamah.

Teoh, 30, Setiausaha Politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor dan ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di lobi aras lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama, dalam siasatan penyelewengan peruntukan kerajaan negeri.

Perbicaraan di depan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung pada 22 Oktober ini

Monday, September 20, 2010

Peguam: Penemuan Terbaru 'Nota Misteri' Beng Hock Seolah-Olah Dirancang

SHAH ALAM 20 Sept 2010 - Peguam keluarga Teoh Beng Hock, Gobind Singh Deo menyifatkan kahadiran bukti baru berhubung kematian Teoh Beng Hock yang mati ketika berada dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan seolah-olah sesuatu yang dirancang.

Ini berikutan seorang anggota polis penyiasat memberitahu koroner inkues hari ini bahawa beliau menemui 'nota misteri' pada beg sandang Beng Hock yang mati pada 17 Julai lalu dan nota itu ditemui sehari selepas Beng Hock didapati mati di Plaza Masalam, Shah Alam.

Katanya, beliau amat kecewa atas apa yang berlaku kerana bukti itu sepatutnya dikemukakan sebelum bermulanya prosiding.

Gobind juga mengesahkan bahawa pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal menemui nota kontroversi itu.

Bagaimanapun, kehadiran bukti baru di saat akhir inkues kematian Beng Hock itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peguam yang mewakili keluarga bekas setiausaha politik kepada exco itu dan kerajaan Selangor.

Bukti berkenaan dikhabarkan sebagai nota bunuh diri dikemukakan kepada mahkamah semasa Ahmad Nazri dipanggil untuk memberi keterangan hari ini.

“Hanya ada satu nota, yang dikemukakan sebagai bukti,” katanya.

Menurut Gobind, nota itu ditulis dalam Bahasa Malaysia dan Cina dengan ada kesan cakaran.

Pegawai penyiasat itu memberitahu mahkamah bahawa beliau menyenaraikan nota itu sebagai antara bahan yang ditemui dalam beg milik Beng Hock.

Kewujudan nota misteri itu hanya dimaklumkan di mahkamah koroner pada 10 Ogos lalu.

Pada hari yang sama, pejabat Peguam Negara mengeluarkan kenyataan yang antara lain menyebut bahawa pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan nota itu oleh Ahmad Nazri pada 7 Oktober lalu iaitu lebih dua bulan selepas kematian Beng Hock.

Berikutan keadaan ini, Gobind memohon supaya inkues dibicarakan menerusi Suruhanjaya Diraja dan berharap Peguam Negara dapat memberi penjelasan berhubung bukti baru tersebut.

Beng Hock, 30, Setiausaha Politik Kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di sini selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu dan kematiannya sehingga kini masih menjadi misteri.

Tulisan tangan pada nota Teoh tak disiasat

Oleh Norhashimah Mohd Radzali

2010/09/21
Pegawai penyiasat tidak tahu pemilik semua dokumen

SHAH ALAM: Seorang pegawai penyiasat polis memberitahu Mahkamah Koroner semalam, beliau tidak menyiasat sama ada tulisan tangan pada nota yang dikatakan ditulis Teoh Beng Hock sebelum kematiannya, adalah tulisan mangsa.

Asisten Superintendan Ahmad Nazri Zainal berkata, beliau ada menghantar nota itu dan empat sampel tulisan lain kepada pengkaji dokumen, Wong Kong Yong di Jabatan Kimia bagi tujuan perbandingan pada 9 Oktober 2009. Menjawab soalan peguam pemerhati bagi pihak keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, Ahmad Nazri mengakui tidak tahu pemilik tulisan pada semua dokumen itu. Beliau juga mengakui menghantar satu sampul mengandungi baucar dalam tulisan Cina bagi tujuan perbandingan pada 20 Oktober 2009, tetapi tidak menyiasat pemiliknya.

Katanya, empat sampel itu adalah 10 salinan pernyataan dalam percakapan dirakam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditulis Beng Hock, salinan kad pengenalan dan kad kredit Visa Public Bank milik mangsa serta buku catatan ringkas pejabat Dewan Undangan Negeri Selangor.

Disoal Gobind, Ahmad Nazri mengakui beliau tidak tahu perbandingan yang dijalankan itu membabitkan tulisan siapa dengan siapa.

Terdahulu, jurubahasa Cina, Ting Chin Kin, 29, berkata, beliau menerima arahan Mahkamah Koroner untuk menterjemahkan nota itu yang mengandungi tulisan Cina dan Rumi pada 4 September lalu.
Chin Kin kemudian diminta membacakan semula nota terjemahannya: Ou Yang, dalam keadaan tidak menyalin fail dalam komputer saya, mereka telah mengambil semua komputer itu. Mereka asyik menyalahkan kamu.

Minta maaf, tidak mengerti tapi pura-pura mengerti, akhirnya menyusahkan kamu. Saya kata: mendapat kelulusan YB. Mereka berdegil menaip jadi: mengikut arahan YB. Saya tidak dapat membantu kamu, maaf. Minta maaf, saya penat, selamat tinggal.

Teoh, 30, Setiausaha Politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor dan ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di lobi aras lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama, dalam siasatan penyelewengan peruntukan kerajaan negeri.

Perbicaraan di depan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung 14 dan 22 Oktober ini

Wednesday, September 1, 2010

Nota 'terakhir' Teoh dikemukakan 20 Sept

Aidila Razak
Sep 1, 10
4:27pm

Kongsi 0Nota itu dikatakan 'wasiat terakhir' mendiang Teoh Beng Hock Beng akan dikemukakan sebagai bahan bukti dalam inkues kematiannya pada 20 September ini, bersama dengan terjemahannya serta bebebapa buku.

Juga akan dipanggil pada hari berkenaan ialah pegawai menyiasat dan pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia, Wong Kong Yau.

Hari ini, koroner turut menetapkan pendengaran inkues tersebut disambung pada 22 Oktober.

Nota yang berada dalam simpanan peguam negara sejak Oktober lalu, pada mulanya hendak dikemukakan di mahkamah bulan lalu.

Bagaimanapun, ia dibantah peguam Gobind Singh Deo dan Malik Imtiaz Sarwar, yang masing-masing mewakili keluarga Teoh dan kerajaan Selangor, dengan mendakwa bukti itu tidak dimaklumkan kepada mereka hingga ke hari berkenaan.

Teoh, 30, dijumpai mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas sepanjang malam disoalsiasat sebagai saksi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pejabat SPRM terletak di tingkat 14 bangunan berkenaan.

Teoh ketika itu merupakan pembantu kepada pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah, yang disiasat berhubung dakwaan penyelewengan dalam pemberian peruntukan kerajaan negeri.

Wednesday, August 18, 2010

Inkues Teoh: Kekecohan juga di luar mahkamah

Ogos 18, 10 4:26pm

Kongsi 0Satu kekecohan kecil berlaku di luar mahkamah selepas selesai prosiding kes inkues Teoh Beng Hock di Shah Alam hari ini.

Seorang lelaki yang memegang poster Teoh didakwa bertindak menghalang kereta yang dinaiki Ketua pendakwa SPRM, Abdul Razak Musa dan menjatuhkan dirinya sendiri beberapa kali tetapi kemudian memberitahu media bahawa pemandu Abdul Razak cuba melanggarnya.


Kejadian yang disaksikan berpuluh anggota media dan orang ramai itu berakhir apabila seorang lelaki yang tidak dikenali menarik lelaki itu untuk memberi laluan bagi membolehkan Abdul Razak beredar.

Terdahulu, pada jam 8.45 pagi, seramai 30 orang hadir di hadapan bangunan mahkamah bagi memberi sokongan kepada keluarga Teoh.

Mereka berkumpul secara aman dan bersurai sejurus selepas prosiding berakhir empat jam selepas itu.

Pada satu sidang akhbar Gobind Singh Deo, peguam yang mewakili keluarga Teoh, berkata tindakan ketua pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mempersoalkan taraf pendidikan pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand menunjukkan ketidakmatangan Datuk Abdul Razak Musa.

Katanya Abdul Razak tidak fokus kepada isu utama dalam prosiding.

Malik Imtiaz Sarwar, peguam yang mewakili kerajaan Selangor, pula menyatakan tindakan mempersoalkan taraf pendidikan saksi itu, adalah memalukan.


Ketika prosiding, Abdul Razak telah mengemukakan soalan mengenai taraf pendidikan Pornthip yang diperoleh dari Universiti Mahidol di Thailand yang tidak diiktiraf di negara ini tetapi Pornthip berkata universiti itu merupakan antara lima universiti terbaik di Asia.

Sementara itu, Bernama melaporkan beberapa individu yang hadir pada kes inkues hari ini menjadikan mahkamah seolah-olah tempat mendengar ucapan ahli politik dengan bertindak menepuk tangan dan membuat bising.

Menurut Bernama, keadaan itu berlaku dari awal prosiding sehinggalah ketika Abdul Razak menyoal Pornthip.

Mereka didakwa melontarkan kata-kata kesat apabila Abdul Razak bertanyakan soalan kepada Pornthip dan apabila Pornthip memberi kenyataan yang tidak memihak kepadanya (Abdul Razak), mereka bertepuk tangan.


Situasi itu didakwa bukan sahaja mengganggu prosiding tetapi juga menyebabkan pihak media gagal mendengar dengan jelas.

Ada individu berkenaan diminta keluar daripada mahkamah setelah melontar kata-kata kesat kepada Abdul Razak.

Anggota exco kerajaan Selangor Ronnie Liu dilihat seperti merakamkan prosiding itu menggunakan telefon bimbitnya tetapi kemudiannya ditegur oleh anggota polis.

Tuesday, August 17, 2010

Inkues Teoh: Bukan bunuh diri, ulang Pornthip

Aidila Razak
Ogos 18, 10
9:57am

Kongsi 0Ahli patologi forensik Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand mula memberi keterangan di bangunan mahkamah di Shah Alam, jam 9.31 pagi bagi menyambung keterangan inkues kematian Teoh Beng Hock.

I


a merupakan sambungan kepada keterangan yang diberikannya hujung tahun lalu, yang tidak dapat diteruskannya ketika itu apabila beliau tidak hadir di Mahkamah Koroner, dikatakan berikutan terdapat ancaman terhadap keselamatan dirinya.

Pada keterangannya tahun lalu, Pornthip menyuarakan pendapat terdapat 80 peratus kemungkinan bahawa Teoh mati akibat dicekik dan didera, dan mahkamah kemudiannya membenarkan mayat Teoh dibedah siasat kali kedua oleh Ketua Unit Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Nor, pada 22 November lalu.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.
Pornthip, sebelum ini menimbulkan kontroversi dengan mendakwa hasil pemerhatiannya mendapati kemungkinan 80 peratus kematian Teoh adalah kerana dibunuh manakala 20 peratus lagi akibat bunuh diri.

Kehadirannya di mahkamah pagi ini disambut tepukan gemuruh oleh penyokong Teoh yang memenuhi bilik perbicaraan hari ini.




Aktivis telah berkumpul bagi menghadiri inkues ini bukan sahaja sebagai sokongan kepada Teoh dan mendengar keterangan terbaru Pornthip tetapi juga untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada pejabat Peguam Negara berhubung sekeping 'nota misteri'.

Bekas ketua forensik Unit Siasatan Lokasi Jenayah, Amidon Anan, juga berada di mahkamah hari ini. Beliau hadir atas kapasiti peribadi.

Saksi pertama

Koroner Azmil Munthapa Abas memulakan prosiding dengan memanggil Pornthip sebagai saksi pertamanya.

Beliau kemudian disoal oleh peguam, Malek Imtiaz Sarwar, yang mewakili kerajaan negeri Selangor dengan meneliti laporannya dan beberapa gambar yang diambil pada bedah siasat kedua.

Pornthip berkata beliau mendapati pendarahan di tengkuk Teoh sehingga ke bahagian otot mangsa. Kesan berkenaan juga, katanya lebih luas daripada kesan dicekik kerana cengkaman fizikal di bahagian leher adalah lebih kuat.




Menurut Pornthip berdasarkan 34-35 kes kajiannya hasil jatuh daripada tempat tinggi sebelum ini, - tidak ada yang mempunyai kesan seumpama itu.

Katanya, dia berpendapat tidak mungkin lebam adalah kerana impak akibat jatuh.

Pornthip juga menolak kemungkinan lebam itu disebabkan keretakan tulang belakang. Beliau mempertahankan pemerhatiannya sebelum ini bahawa ia adalah kecederaan sebelum jatuh yang dilakukan dengan “tekanan dan kuasa yang lebih besar” berbanding dicekik.

Katanya, ia mungkin “ seseorang meletakkan sesuatu di tengkuk Teoh atau menekan kepalanya ke atas sesuatu”.

Tak sependapat dengan Dr Vaneziz

Merujuk laporan bedah siasat pertama, pakar patologi Thailand itu berkata dia tidak boleh menolak kemungkinan Teoh tidak sedarkan diri semasa jatuh kerana laporan menunjukan berlaku 'cerebral edema'.

Ia menunjukkan Teoh mengalami hypoxia, di mana otak tidak menerima oksigen untuk tempoh sekurang-kurangnya 5 minit. Hypoxia berlaku akibat salur darah, arteri atau trakea yang tersumbat.




Pornthip tidak bersetuju dengan Dr Peter Vaneziz bahawa tanda pendarahan di tengkuk adalah akibat keretakan pada dagu. Katanya, keretakan dagu hanya membabitkan pendarahan di kawasan kecil dan tidak merebak hingga ke dada. Juga tidak terdapat salur darah besar di dagu yang boleh menyebabkan pendarahan berlebihan.

Pada keterangannya itu, Pornthip juga memberitahu inkues bahawa tiada keretakan pada pergelangan tangan, yang lazimnya berlaku dalam kes apabila seseorang cuba melindungi diri mereka daripada kejatuhan dengan tangan.

Terdapat keretakan dan luka di atas satu daripada pergelangan kaki Teoh tetapi tiada dikesan pada dasar tengkorak mangsa. Justeru, Pornthip berkata dia tidak bersetuju dengan Vaneziz bahawa Teoh mendarat dengan kedua-dua kakinya dan mangsa sedar semasa jatuh.

Pornthip berkata kesan koyak di bahagian dubur dan kecederaan pada bahagian punggung adalah disebabkan akibat kejatuhan dan bukan kerana dipukul seperti yang disangkanya sebelum ini.

'Ini adalah protokol'

Sehubungan itu, Pornthip mempertahankan pendapatnya berhubung kecederaan sebelum kejatuhan tetapi tidak dapat mengesahkan bahawa Teoh sedar semasa jatuh. Beliau juga tidak mahu memberi peratusan punca kematian kerana kesimpulan berdasarkan laporan bedah siasat. Namun Porhthip pasti, kejadian itu bukan percubaan bunuh diri.



Malik (kanan) selesai menyoal pakar patologi Thailand itu pada jam 10.45 pagi dan perbicaraan disambung dengan giliran peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili keluarga Teoh pula untuk bertanyakan soalan.

Pornthip berkata berdasarkan pengalamannya sebagai penyiasat lokasi jenayah dan juga ahli sains forensik, sebarang nota yang dijumpai mesti diuji untuk DNA, cap jari dan cetakan tapak tangan pada kadar segera dan kemudiannya dihantar untuk ujian analisis tulisan. “Ini adalah protokol.”

Bagaimanapun bota sedemikian tidak memberi kesan ke atas siasatan kerana ia dianggap bersifat emosi. Justeru, katnya, beliau lebih gemar bergantung kepada sains.

Ketua pendakwa SPRM, Abdul Razak Musa memulakan sessinya dengan cuba mempersoalkan kelayakan Pornthip sebagai saksi yang mempunyai kewibawaan.




Abdul Razak mencadangkan bahawa keterangan Pornthip adalah bersarkan imaginasinya. Pornthip menafikan perkara itu dan berkata kesimpulannya adalah berdasarkan pemerhatian dan kerjanya.

Abdul Razak berkata berdasarkan kelayakan Pornthip, ahli patologi Thailand itu tidak layak bergelar pakar di Malaysia kerana universiti di mana beliau belajar tidak diiktiraf di negara ini. Pornthip menjawab bahawa universiti tempat beliau belajar adalah satu daripada lima yang terbaik di Thailand - mereka yang berada di mahkamah memberikan tepukan.

Cekik diri sendiri

Razak kemudiannya mencadangkan kepada Pornthip bahawa Teoh mencekik dirinya sendirinya. Katanya, ini kerana empat daripada doktor telah mendapati bahawa tiada bukti menunjukkan Teoh dicekik.




Gobind bangkit dan mengarahkan Razak (kanan) menunjukkan bagaimana seseorang mencekik diri sendiri. Razak menyahut cabaran itu dan cuba mencekik diri sendiri sambil digelakan daripada mereka di mahkamah itu.

"Saya cadangkan bahawa anda datang ke mari untuk serang SPRM,” katanya.

Beliau memberi beberapa kesilapan yang didakwa dilakukan oleh Pornthip tetapi dinafikan oleh pakar patologi Thailand itu. Menurut Pornthip, laporan yang dikemukakannya disokong dengan bukti saintifik.

Razak: Awak kata 80 peratus pembunuhan.

Pornthip: Saya telah terangkan. Awak mesti terima...

Razak: Apabila awak beri keterangan 80 peratus adalah kes pembunuhan, ia dilaporkan di semua media negara ini.

Pornthip berulang-kali menggesa Razak supaya membaca laporannya, tetapi ketua pendakwa SPRM itu berkata: “Saya habiskan masa tiga hari membacanya.”




Orang ramai yang mengikuti perbicaraan kemudian mula berbisik yang menunjukkan rasa tidak puas hati mereka dengan cara soalan Razak.

Razak kemudiannya bertanya sama ada objek tumpul yang dirujuk oleh Porthip pada awal inkues pagi ini merujuk kepada kerusi atau benda lain.

Pornthip: Saya ingin tanya sama ada awak seorang peguam?

Razak: Mungkin, saya lebih muda daripada awak tetapi saya telah berkhidmat sebagai peguam untuk 24 tahun.

Ini disambutan dengan cemuhan 'wah' daripada mereka yang hadir.

Pengalaman terjun bangunan

Razak kemudian mengajukan soalan kepada Pornthip, bagaimana Teoh boleh mati pada tingkat 14 (lokasi pejabat SPRM Selangor yang terletak di Plaza Masalam, Shah Alam) tetapi masih bernyawa apabila sampai di bawah.




Soalan Razak semakin bercelaru dan menyebabakan koroner terketawa kecil. Azmil kemudian menjelaskan kepada Razak apa yang Pornthip maksudkan ialah Teoh berkemungkinan sedar semasa jatuh dan belum mati.

Razak: Dari Tingkat 14, 99 kaki dari atas tanah - dia tidak sedarkan diri, jadi badannya semestinya lebih berat.

Pornthip: Tiada perbezaan. Secara saintifik, bagaimana boleh berlaku kehilangan berat berdasarkan tahap kesedaran?

Razak juga bertanya kepada Pornthip sama ada dia mempunyai pengalaman terjun dari bangunan. Ini kerana ahli patologi itu dalam keterangannya berkata mayat yang dijumpai itu didadapti lebih jauh daripada bangunan berkenaan berbanding kes lazim membunuh diri dengan melompat.

Satu lawan empat

Malik bangkit dan berkata Razak cuba 'memasukkan perkatan' dalam mulut Pornthip. “Cara dia mengajukan soalan seolah-olah mahu kami sendiri terjun!”

Razak kemudiannya mengulangi soalan kepada Pornthip bahawa pendapatnya adalah berlainan dengan empat orang doktor yang hadir pada bedah siasat kedua.

Razak: Satu lawan empat...

Pornthip: Awak perlu hormat hakim (koroner) yang akan membuat keputusan.

Razak: Kita bekerja berdasarkan majoriti.




Selepas Razak, giliran kerajaan yang dilantik oleh kerajaan Tan Hock Chuan memulakan soalannya.

Menjawap soalan Tan, Pornthip memaklumkan beliau tidak sependapat dengan keterangan Dr Shahidan bahawa kecederaan pada tengkuk Teoh adalah konsisten dengan kejatuhan.

Mahkamah koroner selesai menyoal-balas Porntip sebagai saksi pada jam 12.25 tengah hari.

Koroner Azmil Munthapa kemudiannya mengumumkan perbicaraan ditangguhkan sehingga 1 September ini.

MCA, Gerakan diminta kotakan janji di kubur Teoh

Siah Chong Yan
Ogos 17, 10
3:45pm

Kongsi 0Keluarga Teoh Beng Hock dilaporkan amat tidak berpuas hati dengan perkembangan inkues bagi menentukan kematian pembantu politik itu dan menunutut suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan.


Adiknya, Teoh Lee Lan, sehubungan itu mendesak pemimpin MCA dan Gerakan untuk mengotakan janji-janji mereka bagi menumbuhkan suruhanjaya berkenaan.

“Janji-janji itu dibuat di kubur Beng Hock; satu hari nanti kami mahu anda memenuhinya.

“Presiden MCA, Ong Tee Keat, timbalannya Liow Tiong Lai, dan presiden Gerakan Koh Tsu Koon, semasa memberi penghormatan terakhir mereka, tahun lalu menyatakan sokongan agar suruhanjaya diraja ditubuhkan. Saya telah mengesahkannya dengan mereka dan mereka menyatakan sokongan kepada kami,” katanya.

Lee Lan berkata demikian pada forum 'Ketidakadilan untuk 1 tahun: Apa kata anda, rakyat Malaysia' yang dianjurkan menerusi kempen 'Rakyat Malaysia bersama Beng Hock' bersama CRC-KLSCAH malam semalam.


Bercakap kepada kira-kira 200 hadirin, Lee Lan melahirkan rasa kecewanya kerana MCA dan Gerakan tidak pernah menjemput keluarga Teoh untuk menghadiri sebarang upacara perkabungan ataupun forum.

Beliau memohon rakyat supaya bangkit dan menuntut keadilan untuk Beng Hock dan membantu agar kejadian seumpama itu yang berlaku kepada abangnya tidak berulang kepada rakyat lain.

“Adakah anda mahu melihat seorang lagi saksi mati secara misteri?” soalnya.


Seorang lagi penceramah pada malam semalam, Haris Ibrahim, meminta rakyat memakai kemeja-T 'Malaysians for Beng Hock' pada setiap Sabtu bagi meluahkan sokongan mereka kepada keluarga Teoh dan juga tanda protes ke atas ketidak-adilan kerajaan BN.

“Ini bagi memberi mesej yang jelas bahawa rakyat tidak dapat menerima ketidak-adilan. Rakyat adalah ketua dan mereka mampu membawa perubahaan,” kata Haris.

Ng Yap Hwa, yang menganjurkan forum itu juga meminta rakyat Malaysia mengambil cuti sehari esok bagi menghadiri inkues esok dengan memakai kemeja-T khas itu sebagai tanda sokongan kepada pakar patologi Thai, Dr Pornthip dan Teoh

Monday, August 16, 2010

Pornthip tiba diselubungi kerahsiaan, kawalan ketat

Hafiz Yatim dan Lee Way Loon
Ogos 17, 10
1:37pm

Kongsi 0Pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, yang dibawa oleh kerajaan Selangor bagi memberi keterangan pada inkues Teoh Beng Hock, tiba di negara ini dengan kawalan ketat pihak keselamatan yang dibekalkan oleh kerajaan negeri dan cuba dirahsiakan.

Dr Pornthip tiba pada jam 12.30 tengah hari tadi. Pada April lalu, beliau membuat kejutan dengan mengumumkan bahawa beliau tidak akan hadir bagi meneruskan untuk memberi keterangan. Ia berikutan 'nasihat' daripada majikannya, Kementerian Undang-undang Thailand supaya membatalkan kehadirannya kerana terdapat 'tekanan politik' daripada kerajaan Malaysia.

Pakar patologi Thailand itu juga memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa beliau juga dinafikan melawat Kelantan awal tahun ini bagi menyiasat pembunuhan di selatan Thailand.

Pada Oktober tahun lalu, Dr Pornthip berkata berdasarkan pemantauannya pada bedah siasat pertama, beliau dapati ada 80 peratus kemungkinanTeoh mati akibat dibunuh

Thursday, August 12, 2010

Nota akhir: Keluarga nafi tulisan, tandatangan Teoh

Ogos 12, 10 5:13pm

Kongsi 0Keluarga mendiang Teoh Beng Hock melahirkan “rasa tidak puas hati, marah dan kecewa” berhubung tindakan Peguam Negara untuk mengemukakan satu nota misteri sebagai bukti ketika inkues bagi menentukan kematian pembantu politik itu hampir kepada penghujungnya.


Dalam satu kenyataan keras yang dikeluarkan di Melaka, keluarga Teoh berkata tindakan Peguam Negara itu amat dicurigai dan menggesa kerajaan mendapatkan pakar tulisan bagi menentukan ketulenan nota berkenaan.

"AG tidak melihat penderitaan kami. Hampir lebih setahun, kami terpaksa berulang-alik dari Melaka ke Shah Alam untuk menghadiri inkues berkenaan,” petik kenyataan itu.

"Jika inkues dimulakan semula, bagaimana kami sebagai satu keluarga mampu melalui penderitaan ini sekali lagi? Adakah AG sengaja cuba menghalang kami daripada menjalani kehidupan seharian?”

Menurut keluarga Teoh, AG memaklumkan bahawa pejabatnya telah memiliki nota berkenaan sejak Oktober tahun lalu tetapi mengapa nota itu tidak dirujuk kepada ahli keluarga Teoh, mahupun peguam mereka.


"Kami menghadiri inkues itu sepanjang tahun. Mengapa mereka tidak memohon bantuan kami? AG hanya mencari alasan (untuk melenggah-lenggah),” kata keluarga itu.

Keluarga Teoh juga mengulangi dakwaan bahawa tulisan dan tandatangan pada nota itu adalah berlainan berbanding yang dimiliki Teoh.

Pada 9 Ogos lalu, inkues yang sedang berlangsung ditangguhkan kepada 18 Ogos, selepas perbincangan semua pihak terbabit di kamar koroner.

Ia dipercayai berhubung spekulasi terdapat nota yang didakwa tinggalan daripada Teoh yang merupakan 'bukti terakhir'.

Tuesday, August 10, 2010

Kit Siang sangsi bukti terbaru ‘Nota Teoh’

LFG
KUALA LUMPUR, 10 Ogos 2010: Kemunculan bukti terbaru yang dipercayai satu 'nota' telah menimbulkan lebih banyak kecurigaan dari memberikan penjelasan ke atas punca kematian Teoh Beng Hock.

Teoh Beng Hock, bekas setiausaha politik kepada Exco Kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah yang ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai tahun lepas.

Beliau mati ketika disoalsiasat sebagai saksi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan yang sama.

“Twist terkini dalam inkues Tan Hock Beng's (adalah) yang amat mengejutkan dan belum pernah terjadi sebelum ini,” kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menulis di laman Twitternya mengenai perkembangan terkini inkues Teoh.

Kit Siang juga mendakwa kehadiran ‘bukti baru’ tersebut telah menjejaskan keyakinan dan kepercayaan awam bahawa punca sebenar kematian Teoh akan dibongkar melalui inkues.

Semalam, semasa inkues, SPRM telah mengemukakan sebuah bukti "baru" yang berupa nota yang ditemui pada tahun lalu di dalam beg sandang Teoh yang mungkin mengandungi petunjuk tentang kematian bekas setiausaha politik pemimpin DAP itu.

Kehadiran bukti baru di saat akhir inkues kematian Teoh menyebabkan ketidakpuasan di kalangan peguam yang mewakili keluarga Teoh dan kerajaan Selangor. Akibat daripada perkembangan tersebut, sidang inkues ditunda kepada 18 Ogos, Isnin depan.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh melahirkan rasa kecewa beliau terhadap perkembangan tersebut, dan menuntut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk memberikan penjelasan terhadap ‘bukti terbaru’ tersebut yang didakwanya disembunyikan pihak pendakwaraya kerana ‘bukti’ sudahpun dimiliki pihak pendakwaraya sejak Oktober tahun lepas.

“Bukti itu sepatutnya dikemukakan sebelum bermulanya prosiding,” beliau dipetik sebagai berkata.

Sebagai respon kepada dakwaan Gobind, pejabat Peguam Negara telah mengeluarkan satu kenyataan lewat petang semalam menjelaskan bahawa Peguam Negara hanya akan mengemukakan dokumen sebagai bukti jika pejabat itu berpuas hati tiada lagi kemusykilan terhadap sesuatu bukti.

Menurut kenyataan tersebut, pejabat Peguam Negara telah dimaklumkan mengenai penemuan nota pada 7 Oktober lalu iaitu lebih dua bulan selepas kematian Teoh oleh pegawai penyiasat ASP Nazri Zainal walaupun pada mulanya Ahmad Nazri tidak menemui nota tersebut ketika beliau memeriksa beg sandang Teoh sebaik insiden berlaku.

Kenyataan itu turut mendakwa bahawa Ahmad Nazri baru-baru ini mengaku yang dia menjumpai nota tersebut ketika memeriksa beg sandang simati pada 17 Julai tahun lepas tetapi tidak menyedari kepentingannya kerana turut menjumpai dokumen lain dan ia ditulis dalam tulisan Cina dan rumi.

Bagaimanapun, ‘nota’ tersebut tidak dikemukakan ke inkues kerana ketika itu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, tidak berasa yakin dengan ketulenan nota itu disebabkan kekurangan contoh untuk mengesahkan tulisan tangan berkenan, khususnya tulisan Cina.

Beliau juga berpendapat nota itu tidak perlu dikemukakan sehingga, dan melainkan, pegawai penyiasat boleh menyediakan penjelasan yang memuaskan, menurut kenyataan itu lagi.

Namun, selepas pegawai penyiasat berkenaan menjelaskan kepada pejabat Peguam Negara bahawa beliau menjalankan pemeriksaan rapi selepas dinasihatkan oleh pakar psikologi iaitu kebiasaannya sekeping nota akan ditinggalkan dalam kes bunuh diri, Peguam Negara telah memutuskan untuk mengemukakan nota tersebut.

Beliau juga mengarahkan pegawai penyiasat untuk menjelaskan perkara ini di mahkamah untuk mengelak sebarang akibat pada masa depan dan membiarkan perkara itu diputuskan oleh koroner selepas menimbangkan penjelasan pegawai penyiasat dan laporan oleh pemeriksa dokumen.

"Inkues Teoh Beng Hock – semakin banyak perkembangan luar biasa. Boleh percaya tak?” soal Kit Siang ketika mengulas penjelasan pejabat Peguam Negara sambil menambah beliau sangsi dengan usaha saat-saat terakhir oleh Peguam Negara di dalam mencari kebenaran dalam inkues Teoh.

Nota terakhir, banyak persoalan daripada jawapan

Aidila Razak
Ogos 10, 10
7:20pm

Kongsi 0Spekulasi berhubung nota yang didakwa tinggalan daripada Teoh Beng Hock yang merupakan 'bukti terakhir' yang muncul awal bulan lalu, kini meninggalkan pelbagai tandatanya.


Pengerusi DAP Selangor Ean Yong Hian Wah yang juga merupakan majikan kepada bekas pembantu politik itu dakwaan nota itu wujud seawal bulan lalu tetapi hanya disahkan oleh pejabat peguam negara semalam menimbulkan banyak persoalan berbanding jawapan.

"Kenapa berita tersebut keluar daripada pihak Umno secara tiba-tiba, (iaitu) melalui blog dan Utusan (Malaysia) dan bukannya daripada pejabat peguam negara atau daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?" soalnya.

Kandungan dokumen tersebut yang pertama kali dilaporkan oleh Utusan Malaysia susulan daripada satu sidang akhbar oleh sebuah NGO - Jaringan Melayu Malaysia (JMM).


Pada 24 Julai lalu, dilaporkan JMM menuduh dengan kewujudan 'surat penting' tersebut membuktikan bahawa Teoh - yang berumur 30 tahun ditemui terbunuh selepas menjalani soal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 16 tahun lalu - adalah disebabkan tekanan yang kuat.

Ketika dihubungi, setiausaha agung JMM Tengku Amaluddin Sani berkata kumpulan itu difahamkan mengenai kewujudan dokumen tersebut "tiga atau empat hari" sebelum ia dilapor oleh media.

"Ia adalah satu perkara yang baik, untuk dijadikan sebagai bahan bukti (dalam inkues). Sekiranya dokumen itu benar, maka ia sesuai (dikemukakan) dalam mahkamah," katanya.

Blog pro-Umno memfokuskan banyak perbincangan mengenai dokumen tersebut dan menuduh peguam Tan Hock Chuan - yang mewakili kerajaan persekutuan - 'menyembunyikan bukti berkenaan.


Bekas ketua pemuda PKR yang berpaling tadah, Ezam Mohd Nor pula meminta polis dan SPRM supaya menyiasat nota itu.

“Saya percaya Ezam juga telah membuat laporan polis berhubung perkara itu,” kata Ean Yong yang juga adalah ADUN Seri Kembangan.

Dokumen yang dpercayai 'nota terakhir' itu dijumpai dua bulan selepas kematian Teoh dan sepatutnya dikemukakan di mahkamah koroner semalam, tetapi ia dicabar oleh peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo.

Menurut Gobind, ia bercanggah dengan peraturan kerana dokumen itu telah disimpan sehingga pada pagi semalam

Libya bina 1,250 rumah di Gaza

2010/08/11
GAZA: Libya akan menanggung kos pembinaan semula 1,250 rumah untuk penduduk Gaza selepas kediaman mereka musnah dalam serangan Israel ke atas wilayah itu, tahun lalu.

Ia berdasarkan perjanjian luar biasa dengan seteru utama, Israel, selepas Libya setuju membebaskan seorang jurugambar Yahudi, kata pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam. Dalam kenyataan terhadap musuhnya sejak sekian lama, Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman, yang membantu pembebasan jurugambar Rafael Hadad dengan bantuan pengantara Austria, menyifatkan Libya sebagai rakan kongsi dipercayai.
Israel dan Libya secara teknikalnya masih berperang dan negara utara Afrika itu adalah antara pengkritik paling lantang Tel Aviv pada peringkat antarabangsa.

Agensi Kerja dan Bantuan PBB (UNRWA) yang menjaga pelarian Palestin, berkata mengikut perjanjian itu, Israel akan membenarkan Libya membiayai pembinaan semula rumah di sini dengan kos AS$50 juta (RM157.60 juta).

Lieberman dan pembantunya enggan mengulas perincian perjanjian membebaskan Hadad, 34, yang ditahan sebagai pengintip Mac lalu selepas berkunjung ke Libya menggunakan pasport dikeluarkan Tunisia, negara kelahirannya.
Rakan sekerjanya berkata, Hadad mengambil gambar tapak warisan Yahudi di Libya dan Israel menafikan jurugambarnya melakukan intipan.

Selepas membawa pulang Hadad kelmarin, Lieberman berkata: Saya fikir perjanjian dengan kerajaan Libya amat berjaya. Kami tahu mereka adalah rakan yang boleh dipercayai dan kami akan hormati tuntutan mereka dalam beberapa isu Palestin.

Rundingan pembebasan Hadad berlangsung ketika sebuah kapal disewa Libya bulan lalu membawa kargo bantuan untuk Gaza yang dikenakan sekatan Israel serta menjadi subjek perdebatan antarabangsa sejak sembilan aktivis dibunuh apabila tentera Israel menyerbu kapal bantuan Turki, Mavi Marmara, Mei lalu.

Peter Ford, wakil Ketua Pesuruhjaya UNRWA, berkata pada majlis menandatangani perjanjian dengan Yayasan Gaddafi Libya bahawa beratus-ratus keluarga Palestin akan mendapat manfaat daripada perjanjian itu.

Monday, August 9, 2010

Inkues Teoh: Peguam tinggalkan kamar koroner

Ogos 9, 10 12:20pm

Kongsi 38Misteri menyelubungi sambungan inkues kematian Teoh Beng Hock dengan para peguam menemui koroner Azmi Mustapha Abas dalam kamarnya.


Difahamkan, perjumpaan tersebut adalah untuk menyelesaikan beberapa isu yang berkaitan dengan dokumen.

Bagaimanapun, 15 minit kemudiannya, peguam Gobind Singh Deo meninggalkan bangunan tersebut dan kelihatan berang.

Apabila ditanya, beliau enggan mendedahkan apa yang dibincangkan, kecuali berkata: "Ini adalah salahguna proses mahkamah..."

Gobind tidak mahu mengulas lanjut tetapi berkata beliau perlu masa untuk bercakap dengan keluarga Teoh. Difahamkan ia ada kaitan dengan nota yang ditemui dalam beg sandang Teoh.

Beliau kemudian pergi berbincang dengan anggota keluarga Teoh yang diwakilinya.

Sementara itu, seorang penyokong yang memegang gambar Teoh, menjerit "Bunuh!" dan enggan bergerak untuk memberi laluan kepada laluan kenderaan di situ.

Pada jam 11.45 pagi, para peguam lain kelihatan keluar dari kamar koroner.


Inkues tersebut telah ditangguhkan kepada 18 Ogos, manakala koroner pula telah memutuskan untuk tidak memanggil dua saksi yang dijadual memberi keterangan hari ini.

Mereka ialah Lee Wye Weng dan Mohd Harun Abdullah, yang telah disoalsiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada petang yang sama Teoh disoalsiasat.

Bagaimanapun, koroner dikatakan telah memutuskan bahawa "tidak perlu" untuk memanggil mereka sebagai saksi.

Ini bermakna pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand dijangka memberi keterangan apabila inkues itu disambung.

Pejabat AG nafi sekat bukti inkues Teoh

Ogos 9, 10 11:44pm

Kongsi 13Pejabat Peguam Negara menafikan sebarang penyekatan bukti dalam inkues kematian Teoh Beng Hock selepas mengemukakan sekeping nota yang ditemui tahun lepas dalam beg sandang Beng Hock, yang mungkin mengandungi petunjuk tentang kematiannya.

Penemuan bukti baru itu menyebabkan prosiding inkues itu yang sepatutnya didengar semalam ditangguh kepada 18 Ogos.

Kenyataan pejabat Peguam Negara itu malam tadi menjelaskan, pejabat Peguam Negara dimaklumkan mengenai penemuan nota itu oleh pegawai penyiasat ASP Nazri Zainal pada 7 Oktober tahun lepas, lebih dua bulan selepas kematian Beng Hock.

Beng Hock, 30, Setiausaha Politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pada mulanya Ahmad Nazri tidak menemui nota tersebut ketika beliau memeriksa beg sandang Beng Hock sebaik insiden berlaku.

Bagaimanapun, ia berkata, Ahmad Nazri baru-baru ini mengaku yang dia menjumpai nota tersebut ketika memeriksa beg sandang simati pada 17 Julai tahun lepas tetapi tidak menyedari kepentingannya kerana turut menjumpai dokumen lain dan ia ditulis dalam tulisan Cina dan Rumi.

Kenyataan itu menjelaskan penemuan bukti itu mengejutkan pejabat Peguam Negara dan ia mengarahkan siasatan dijalankan.

Katanya, nota itu dengan segera diterjemahkan, dan terdapat cukup fakta untuk nota itu dianalisa oleh pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia pada 9 Oktober dan kemudiannya pada 20 Oktober tahun lepas.

Menurutnya, pemeriksa dokumen menyediakan laporan mereka, dan ia kemudiannya dipertimbang oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, yang tidak yakin dengan ketulenan nota itu disebabkan kekurangan contoh untuk mengesahkan tulisan tangan berkenaan, khususnya tulisan Cina.

Tambahan pula, nota itu ditemui selepas dua bulan kematian Teoh dan ini akan menimbulkan syak wasangka tentang ketulenan dan penemuannya.

"Setelah mempertimbangkan faktor-faktor ini, Abdul Gani berpendapat nota itu tidak perlu dikemukakan sehingga, dan melainkan, pegawai penyiasat boleh menyediakan penjelasan yang memuaskan,” kata kenyataan itu.

Katanya, terdahulu pejabat itu diberi penjelasan oleh pegawai penyiasat berkenaan bahawa beliau menjalankan pemeriksaan rapi selepas dinasihatkan oleh pakar psikologi iaitu kebiasaannya sekeping nota akan ditinggalkan dalam kes bunuh diri.

"Berikutan itu, Peguam Negara memutuskan untuk mengemukakan nota tersebut dan mengarahkan pegawai penyiasat untuk menjelaskan perkara ini di mahkamah untuk mengelak sebarang akibat pada masa depan dan biarlah ia diputuskan oleh koroner selepas menimbangkan penjelasan pegawai penyiasat dan laporan oleh pemeriksa dokumen,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut pejabat itu merasakan bahawa tidak ada penyekatan atau penyembunyian bukti, dan keputusan untuk tidak menawarkan nota itu pada awalnya dibuat berdasarkan laporan pemeriksan dokumen serta penemuan nota yang boleh menimbulkan syak wasangka.

"Pejabat Peguam Negara akan mengemukakan dokumen sebagai bukti hanya apabila pejabat itu telah berpuas hati tiada lagi kemusykilan,” katanya.


- Bernama

Wednesday, July 14, 2010

Inkues Teoh: Pornthip beri keterangan - 18 Ogos

Hafiz Yatim
Jul 14, 10
10:28am

Pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand akan ke Kuala Lumpur bagi menyambung memberi keterangannya pada inkues bagi menentukan kematian pegawai khas, exco DAP - Teoh Beng Hock pada 18 Ogos ini.


Koroner Azmil Muntapha Abas juga menetapkan 23 Julai sebagai tarikh penyambungan semula inkues dengan memanggil empat saksi termasuk ahli mahlis Kajang, Tan Boon Wah dan pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal.

"Jika tiada bantahan daripada pihak lain dan ada surat daripada Kementerian Keadilan Thailand, jadi keperluan untuk kita membuat persidangan video ini tiada lagi dan Gobind bagi pihak kerajaan Selangor dan peguam Malik Imtiaz Sarwar telah menarik balik permohonan. Kita benarkan," katanya.

Koroner juga akan membuat keputusan berhubung tindakan ketua perundangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Abdul Razak Musa untuk memanggil enam saksi.

Mereka adalah dua kontraktor yang diarahkan ke SPRM, pada malam yang sama Teoh dipanggil untuk memberi keterangan, iaitu pada 16 Julai tahun lalu.

Empat lagi adalah mereka yang nama tersenarai dalam invois yang terdapat di komputer riba Teoh.

Menurut Abdul Razak, keempat-empat saksi berkenaan penting untuk memberikan gambaran sebenar keadaan minda Teoh.


Gobind (pertama dari kiri) membantah permohonan itu dan berkata saksi berkenaan tidak relevan.

Bagaimanapun, Azmil mengarahkan Ahmad Nazri untuk mengambil keterangan daripada empat saksi berkenaan sebelum memutuskan sama ada mereka akan dipanggil ataupun tidak.

Katanya, beliau akan juga meneliti keterangan yang diberikan oleh dua kontraktor itu sebelum memutuskan sama ada mereka akan dipanggil.

Peguam Gobind Singh Deo yang bertindak bagi keluarga Teoh kemudiannya memaklumkan bagi pihak peguam kerajaan negeri Selangor - Malik Imtiaz Sarwar bahawa mereka menerima surat daripada Pornthip semalam menyatakan kesediaannya ke Malaysia untuk memberi keterangan.

"Dia sudah dapat lampu hijau dari Kementerian Keadilan dan bersetuju datang untuk beri keterangan,” kata Gobind.

"Berikutan ini, kerajaan Selangor menarik balik permohonan bagi Pornthip memberi keterangan melalui sidang video.”

Te
oh, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Sebelum ini, semasa memberi keterangan pada inkues itu, Pornthip berpendapat Teoh tidak membunuh diri, sebaliknya beliau yakin bahawa 80 peratus lelaki itu dibunuh.

Berikutan keterangan itu, mahkamah membenarkan mayat Teoh dibedah siasat kali kedua oleh Ketua Unit Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Nor, pada 22 Nov tahun lalu.

Proses bedah siasat kedua itu turut dihadiri Pornthip yang mewakili kerajaan negeri Selangor manakala SPRM diwakili oleh pakar Britain, Prof Peter Vanezis.

Pada 11 April lalu, Pornthip memberitahu bahawa beliau telah "dinasihatkan" oleh pegawai-pegawai tinggi Jabatan Kehakiman Thailand - tempat beliau bertugas sebagai ketua pengarah Institut Sains Forensik Pusat - supaya jangan ke Malaysia untuk menghadiri inkues tersebut.

Beliau berkata, kementerian kehakiman telah menerima maklumat daripada kementerian luar Thailand bahawa beliau mungkin menghadapi masalah jika ke Malaysia, termasuk kemungkinan dihalang memasuki negara ini.

Menurutnya, kementerian luar Thailand telah menerima "isyarat" dari kerajaan Malaysia melalui "saluran tidak rasmi" bahawa kehadiran beliau dalam inkues tersebut, adalah tidak disenangi.

Mengulas perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz pada Apri lalu berkata Pornthip berbohong berhubung dakwaannya yang kerajaan Malaysia menggunakan "tekanan politik" untuk menghalangnya daripada memberi keterangan.


"Dia seorang pembohong! dia berbohong dalam inkues dan dia berbohong sekarang," katanya.

Tindakan itu menyebabkan Nazri dirujuk bagi dikenakan tindakan menghina mahkamah tetapi usul mengheretnya itu ditolak pada 21 Mei lalu.

Sehubungan itu juga, kerajaan negeri Selangor membuat persediaan untuk membantu pakar patologi Thailand itu bagi memberi keterangan secara langsung dari Bangkok.

Ahli patologi yang dilantik oleh kerajaan Selangor itu sebelum ini membuat kejutan dan mendakwa dari pemerhatiannya berpendapat lebam di leher Teoh adalah akibat dicekik dan kecederaan di duburnya pula akibat ditembus.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa kemungkinan 80 peratus Teoh dibunuh manakala kemungkin pembantu politik DAP membunuh diri adalah hanya 20 peratus.

Sehubungan itu, mahkamah memutuskan bedah siasat kedua dijalankan pada 22 Nov lalu dengan pemerhatian oleh Pornthip manakala Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula melantik Dr Peter Venezis sebagai pemerhati mereka.

Wednesday, May 19, 2010

Inkues: Permohonan sidang video - 11 Jun

Hafiz Yatim
Mei 20, 10
11:08am

Inkues kematian pembantu politik, Teoh Beng Hock akan mendengar permohonan daripada kerajaan negeri Selangor yang mahu pakar patologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand diberi kebenaran memberi keterangan menerusi sidang video.


Koroner, Azmil Muntapha Abas menetapkan 11 Jun ini bagi mendengar permohonan itu sebelum menangguhkan inkues hari ini.

"Mahkamah perlu mengetahui sebab sebenar Pornthip tidak boleh hadir,” katanya.

Pagi tadi, peguam Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili kerajaan negeri Selangor memberitahu mahkamah bahawa Pornthip tidak dapat hadir bagi memberi keterangan.

Bagaimanapun, pakar patologi yang bekerja di Bangkok itu menerusi sepucuk surat Isnin lalu berkata beliau bersedia memberi keterangan menerusi sidang video.

Peguam Tan Hock Chuan, yang mewakili pejabat peguam negara berkata permohonan itu mesti dibuat dengan cara yang teratur dan ia perlu disokong oleh affidavit.

Azmil berkata inkues juga akan mendengar keterangan daripada dua lagi saksi - ahli majlis perbandaran Kajang, Tan Boon Wah dan peguam M Manoharan - apabila inkues itu bersambung bulan depan

Inkues: Pornthip tak hadir, S'gor sedia sidang video

Mei 19, 10 2:54pm

Kerajaan Selangor telah membuat persediaan untuk membantu pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand memberi keterangan secara langsung dari Bangkok dalam inkues kematian Teoh Beng Hock.

"Kerajaan negeri telah membuat persediaan tersebut setelah mendapat kelulusan dari kementerian kehakiman Thailand yang membenarkan Dr Pornthip memberi keterangan melalui sidang video secara langsung," kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu akhbar selepas mesyuarat exco hari ini.

Dr Pornthip tidak akan hadir untuk memberi keterangan dalam inkues kematian Teoh esok.

Isnin lalu, katanya, peguam yang mewakil kerajaaan Selangor telah membuat permohonan kepada mahkamah koroner untuk mengadakan sidang video itu di dewan acara di I-City, Seksyen 7 Shah Alam esok.

Bagaimanapun, mahkamah koroner belum lagi memberi keputusan rasmi untuk membenarkan sidang video tersebut diadakan, tambahnya.

Kerajaan negeri, katanya, difahamkan bahawa mahkamah koroner hanya boleh membuat keputusan setelah mendapat maklum balas dari Ketua Hakim Negara Tan Sri Zaki Azmi.

"Kami berharap pihak mahkamah dapat memberi keputusan positif bagi kepentingan semua pihak.

"Jika sidang video ini dapat diteruskan bukan sahaja Dr Pornthip dapat memberi keterangan, malah isu keselamatan Dr Pornthip tidak perlu timbul lagi.

"Kerajaan Selangor berharap bantuan yang dibuat ini dapat melancarkan prosiding inkues bagi mencari kebenaran dan keadilan dalam kes kematian Teoh," tambahnya

Thursday, May 6, 2010

Keputusan sama ada Nazri dikena tindakan pada 20 Mei: Koroner

2010/05/06
SHAH ALAM: Mahkamah Koroner menetapkan 20 Mei ini untuk keputusan sama ada membenarkan dimulakan prosiding untuk mengenakan tindakan menghina mahkamah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kerana mendakwa pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, berbohong.

Koroner Azmil Muntapha Abas membuat keputusan itu sebentar tadi. Permohonan itu kemukakan abang Teoh Beng Hock, Meng Kee. Sebelum ini, Mohamed Nazri dilaporkan sebagai berkata pakar patologi Thailand itu berbohong selepas Pornthip mendakwa menghadapi tekanan politik supaya tidak memberikan keterangan

Tuesday, April 27, 2010

Prosiding hina mahkamah: AG pohon jadi pencelah

Hafiz Yatim
Apr 27, 10
8:36pm

Pejabat Peguam Negara (AG) telah memfailkan permohonan - pada saat-saat akhir - untuk menjadi pencelah dalam permohonan abang Teoh Beng Hock untuk memulakan tindakan menghina mahkamah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz.

Ianya dibuat sewaktu inkues kematian Beng Hock - sewaktu Koroner Azmi Muntapha Abas hendak mengumumkan keputusannya sama ada akan membenarkan permohonan Meng Kee (abang Beng Hock) itu didengar.

Peguam kanan persekutuan, Amarjeet Singh memaklumkan kepada mahkamah bahawa Pejabat Peguam Negara mahu menjadi pencelah.

Ia juga mahu permohonan tersebut didengar sebelum koroner mengumumkan keputusannya.

Dalam afidavit sokongannya, Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail menyatakan beliau percaya ia menjadi tugasnya untuk mencelah, kerana sebagai peguam negara, beliau perlu memastikan kepentingan awam dan kepentingan dasar dilindungi.

Abdul Gani juga menegaskan bahawa sebagai pelindung kepentingan awam, beliau harus dibenarkan mencelah dalam permohonan tersebut, kerana apa-apa perkara yang dipertikaikan dalam prosiding menghina mahkamah, boleh diputus dan dihakimi oleh mahkamah

Monday, April 26, 2010

'Ugutan melalui emel', pakar British buat aduan polis

Apr 27, 10 10:30am

Pakar patologi British, Peter Veneziz mendakwa telah menerima ugutan melalui emel terrhadap dirinya dan keluarganya.

Vanezis mula memberi keterangan dalam inkues kematian Teoh Beng Hock, semalam.

Berikutan itu, beliau telah membuat satu laporan polis malam tadi di balai polis Shah Alam pada jam 11 malam tadi.

Ketua pendakwaraya di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa, memberitahu mahkamah demikian apabila inkues tersebut disambung pagi ini.

Abdul Razak berkata e-mel itu "menakutkan dan mengancam keselamatan" pakar British itu yang memberi keterangan untuk kali pertama semalam, lapor Bernama.

Dr Vanezis tidak senang dengan e-mel ancaman terhadap beliau dan keluarganya itu, kata Abdul Razak.

Ahli patologi British itu, yang dilantik SPRM dan pakar patalogi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand yang dilantik oleh kerajaan negeri Selangor, telah menjalankan bedah siasat kedua ke atas mayat Teoh yang digali semula dari kubur pada November tahun lepas.

Semalam, beliau memberitahu inkues bahawa Teoh berada dalam keadaan sedar semasa jatuh dan beliau tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan Teoh telah dicekik sebelum kematiannya.

Dr Vanezis, hari ini dijadual disoalbalas oleh peguambela Gobind Singh Deo, yang mewakili keluarga Teoh.

Pada 17 Julai tahun lepas, Teoh ditemui mati di koridor di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat oleh SPRM Selangor di pejabat suruhanjaya itu yang terletak di bangunan yang sama, berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan negeri.

Sunday, April 25, 2010

Dr Vanezis: Teoh sedar sebelum jatuh

Apr 26, 10 11:50am

Pakar forensik Britain, Dr Peter Vanezis mula memberi keterangan pada inkues Teoh Beng Hock dengan berkata kecederaan pada tubuh pembantu khas DAP itu konsisten dengan kejatuhan dari tingkat tinggi.

Beliau juga berkata Teoh sedar sepenuhnya sebelum jatuh.

Beliau mengemukakan laporan bedah siasat yang bertarikh 16 Disember dan berkata pemerhatiannya mendapati tiada tanda-tanda kecederaan diri sendiri seperti luka ataupun suntikan di tubuh mangsa.

Mayat Teoh dijumpai di verandah tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai lalu ketika beliau disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabatnya di Selangor.

Mengenai kecederaan di leher mangsa, Vanezis berkata beliau tidak dapat menentukan sama ada ia akibat daripada dicekik, tercekik tetapi percaya Teoh sedar sebelum jatuh.

SPRM membawa Vanezis untuk memantau perjalanan bedah siasat kedua ke atas Teoh dan memberikan pandangan balasnya. Beliau melawat tempat kejadian pada 23 Nov lalu, iaitu sehari selepas bedah siasat dijanlankan.

Ketika memberi penerangan pagi tadi, pakar dari Britain itu berkata beliau memiliki kelulusan tertinggi dalam kecederan, khususnya di leher dan pernah memberi keterangan semasa inkues Puteri Diana.

Koroner juga hari ini akan menentukan sama ada untuk menerima permohonan menghina mahkamah yang dibuat oleh keluarga Teoh ke atas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk nSeri Nazri Aziz.

Tuesday, April 20, 2010

Alasan Pornthip dirinya terancam tidak munasabah: Hishammuddin

2010/04/20
KUALA LUMPUR: Pakar Patologi dari Thailand Dr Pornthip Rojanasunand tidak hadir pada inkues kematian Teoh Beng Hock bukan atas sebab keselamatan dirinya diancam malah alasan itu dianggap tidak munasabah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ini kerana meskipun jaminan keselamatan paling optimum telah ditawarkan kepada pakar tersebut namun beliau tetap tidak memberi respons untuk hadir memberi keterangan pada inkues hari ini. "Saya sudah kata berulang kali, saya beri jaminan keselamatan terbaik, pihak polis akan lakukan segala yang patut bagi menjamin keselamatannya sejurus beliau tiba di negara ini hinggalah beliau kembali ke negaranya. "Beliau akan dijemput dengan kenderaan polis di lapangan terbang sebelum dibawa ke tribunal dan kita juga akan tempatkan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) di biliknya. Kita akan pastikan beliau selamat balik ke Thailand," katanya kepada pemberita di Pameran dan Persidangan Pertahanan Perkhidmatan Asia (DSA2010) di sini hari ini.

Beliau berkata dakwaan bahawa jaminan keselamatan yang diberi terhadap Pornthip bersyarat adalah tidak benar memandangkan keselamatan setiap individu yang memasuki Malaysia dilindungi tanpa mengira status kerakyatan masing-masing.

"Saya tidak letak sebarang syarat, jika beliau benar-benar tidak mahu datang maka soal keselamatan bukanlah penyebabnya, hanya beliau seorang yang tahu.

"Kita cuma minta beliau membuktikan dakwaan kononnya beliau telah menerima tekanan dan bimbang dengan keselamatan dirinya hingga menarik diri daripada memberi keterangan pada inkues supaya kita dapat jalankan siasatan," katanya.

Sementara itu, mengenai gambar bertindih (superimpose) beliau dan keluarganya yang tersebar di internet, beliau berkata ia permainan kotor yang biasa berlaku dalam arena politik.

Hishammuddin berkata beliau menyedari gambar-gambar berkenaan sudah berada di blog-blog lebih lapan tahun yang lalu, namun sejak akhir-akhir ini, isu itu seakan-seakan sengaja dimainkan dan dibangkitkan semula.

"Ini semua fitnah, selama ini saya malas melayan perkara sebegini dalam internet, jika mereka mahu terus-terusan memfitnah, terserah, kerana sedikit pun tidak akan menggugat keselamatan negara.

"Tetapi yang menjadi persoalan sekarang, mengapa mereka menggelabah dan melatah dalam konteks tuduhan yang dibuat terhadap pemimpin dan calon mereka di Hulu Selangor serta mengapa baru sekarang gambar ini dibangkitkan selepas lapan tahun," katanya.

Beliau berkata antara gambar yang tersebar termasuklah gambar seorang wanita berbogel yang didakwa sebagai anak beliau sedangkan beliau langsung tidak mengenali wanita itu.

Tambah menyedihkan, katanya, apabila isterinya turut menjadi mangsa apabila gambarnya ditindih dengan tangan seakan-akan makhluk asing selain gambar yang mendakwa Hishammuddin kaki botol dan kaki perempuan.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan memastikan anggota polis ditempatkan di kawasan Parlimen Hulu Selangor mencukupi bagi mengawal keadaan terutamanya pada hari pengundian 27 April depan.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan keadaan di Hulu Selangor terkawal sepanjang tempoh pilihan raya dan tidak sepanas berbanding pilihan raya kecil tempat lain sebelum ini.

"Contohnya pada hari penamaan calon, kalau hendak bandingkan dengan Ijok dan yang lain, jauh berbeza dan terkawal malah insiden yang dilaporkan hingga sekarang, tidak serius," katanya. - Bernama

Monday, April 19, 2010

Inkues Teoh: Karpal kata Nazri 'kurang ajar'

Apr 20, 10 11:51am

Inkues Teoh Beng Hock bersambung hari ini dengan peguam Karpal Singh menuduh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz sebagai “kurang ajar” kerana melabelkan pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand 'pembohong'.

Karpal (kiri, berkerusi roda), yang mewakili keluarga Teoh, minggu lalu mengemukakan permohonan bagi mendakwa Nazri menghina mahkamah berhubung kenyataannya itu.

"Ini adalah kesalahan yang serius kerana beliau cuba campur tangan dan pelaksanaan keadilan,” Karpal memberitahu inkues.

"Menteri itu 'bermulut besar' dan ini bukan kali pertama beliau membuat kenyataan yang tidak bertanggung-jawab itu.”

Semasa disoal di Dewan Rakyat, semalam, Nazri bertegas mempertahankan kenyataannya itu.

Kornoner Azmil Muntapha Abas akan memutuskan pada 26 April ini sama ada akan mendengar permohonan Karpal bagi mendakwa Nazri atas tuduhan menghina mahkamah.

Pada perbicaraan hari ini, peguam Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili kerajaan negeri Selangor memaklumkan inkues bahawa pihaknya telah menulis surat kepada Kementerian Undang-undang Thailand pada 13 April lalu memohon kehadiran Pornthip bagi memberi keterangan.

Inkues juga dimaklumkan bahawa Kementerian Undang-undang Thailand telah memberitahu kerajaan Selangor dalam sepucuk surat bertarikh 8 April yang Pornthip tidak dapat hadir kerana sibuk dengan tugasan lain.

Bagaimanapun kerajaan Selangor belum menerima surat itu.

Menurut Malik, beliau juga tidak dapat mengesahkan sebab sebenar Pornthip tidak dapat hadir memberi keterangan.

Pada 11 April lalu, Pornthip (kiri) berkata dia tidak akan hadir memberi keterangan dalam inkues Teoh Beng Hock apabila ia bersambung semula kerana 'tekanan politik' dari kerajaan Malaysia.

Pornthip memberitahu Malaysiakini bahawa beliau telah "dinasihatkan" oleh pegawai-pegawai tinggi Jabatan Kehakiman Thailand - tempat beliau bertugas sebagai ketua pengarah Institut Sains Forensik Pusat - supaya jangan ke Malaysia minggu depan untuk menghadiri inkues tersebut.

Beliau berkata, kementerian kehakiman telah menerima maklumat daripada kementerian luar Thailand bahawa beliau mungkin menghadapi masalah jika ke Malaysia, termasuk kemungkinan dihalang memasuki negara ini.

Menurutnya, kementerian luar Thailand telah menarima "isyarat" dari kerajaan Malaysia melalui "saluran tidak rasmi" bahawa kehadiran beliau dalam inkues tersebut, adalah tidak disenangi.

Hari ini juga menandakan ulang tahun ke-31 Teoh jika beliau masih hidup.

Di luar perkarangan mahkamah, pemuda DAP juga menghadiahkan keluarga Teoh dengan kek dan bunga bagi meraikan sambutan itu mengikut tradi masyarakat Cina.

Dakwa Dr. Pornthip bohong: Nazri sedia hadapi tindakan

19/04/2010 8:39pm

KUALA LUMPUR 19 April 2010 - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, beliau bersedia menghadapi sebarang tindakan mahkamah selepas abang kepada mendiang Teoh Beng Hock memfailkan notis usul menghina mahkamah terhadapnya.

Nazri berkata, tindakan Teoh Meng Kee memfailkan notis usul untuk memenjarakan beliau kerana kenyataannya yang mendakwa pakar patologi dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand “pembohong” merupakan hak peribadi Meng Kee.

"Bersedia...bila-bila masa. Ini benda yang terlalu kecil. Lebih ringan daripada nyamuk gigit, tak ada hal,” katanya di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau juga menolak dakwaan Meng Kee bahawa kenyataannya itu mempunyai ”kecenderungan untuk mencampuri pentadbiran kehakiman” dalam inkues yang sedang dijalankan.

"Kita belum tahu sama ada pembunuhan atau bunuh diri,” katanya.

Jumaat lepas, Meng Kee telah memfailkan notis usul tersebut yang mahu Nazri dipenjarakan kerana menghina mahkamah melalui firma guaman Karpal Singh & Co di pejabat pendaftar Mahkamah Majistret Shah Alam.

Permohonan itu dibuat mengikut Perkara 26 Akta Mahkamah-mahkamah Rendah 1948. - Bernama

Sunday, April 18, 2010

Abang Beng Hock fail notis dakwa Nazri Aziz hina mahkamah

SHAH ALAM 16 April 2010 - Teoh Meng Kee, abang kepada Teoh Beng Hock hari ini memfailkan notis usul agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dipenjara bagi kesalahan menghina mahkamah berhubung kenyataan yang dibuat terhadap Dr. Pornthip Rojanasunand.

Permohonan secara ex parte (sebelah pihak) itu difailkan melalui firma guaman, Karpal Singh & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Majistret di sini pada pukul 11.30 pagi.

Meng Kee, 34, dalam afidavit sokongannya mendakwa Mohamed Nazri mengeluarkan kenyataan terhadap pakar patologi dari Thailand itu di media elektronik termasuk Malaysiakini pada 11 April lalu dengan berkata: She is a liar. She lied in the inquest.

Mohamed Nazri berkata demikian ketika mengulas pendedahan Pornthip bahawa beliau terpaksa menarik diri daripada menghadiri perbicaraan inkues menyiasat kematian Beng Hock kerana mendakwa terdapat 'gangguan politik' daripada kerajaan Malaysia.

Selain menuduh Pornthip menipu selepas bersumpah, Meng Kee mendakwa, kenyataan itu merupakan satu kesimpulan atau andaian awal ke atas isu yang akan dan sepatutnya hanya diputuskan oleh koroner.

Dia juga mendakwa kenyataan Mohamed Nazri itu mempunyai kecenderungan untuk menganggu atau campur tangan dalam pentadbiran keadilan dan mengakibatkan penghinaan yang serius ke atas mahkamah.

Sehubungan itu, Meng Kee memohon perintah mahkamah mengikut Jadual Ketiga, Perkara 26 Akta Mahkamah-Mahkamah Rendah 1948 agar Mohamed Nazri dipenjara kerana telah menghina mahkamah.

Dalam permohonan itu, dia turut mendakwa mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk berbuat demikian kerana berperanan memastikan inkues kematian adiknya dijalankan dengan sempurna mengikut undang-undang tanpa sebarang campur tangan.

Pornthip yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor semasa memberi keterangan sebelum ini berpendapat 80 peratus kemungkinan Beng Hock mati akibat dibunuh berikutan beberapa kesan kecederaan pada badannya.

Beliau dijadualkan memberi keterangan sekali lagi berhubung bedah siasat kedua ke atas mayat Beng Hock pada 20 April ini.

Beng Hock yang merupakan setiausaha politik kepada anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam pada 16 Julai 2009 selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di bangunan yang sama.

Sementara itu, Karpal ketika ditemui pemberita memberitahu, permohonan notis usul itu akan didengar pada Selasa ini di Mahkamah Koroner di sini.

Permohonan untuk menangguhkan keterangan Pornthip berikutan masalah keselamatan yang difailkan oleh Kerajaan Negeri Selangor semalam juga akan didengar pada hari yang sama.

Monday, April 12, 2010

Gobind: "Kami Akan Buktikan Beng Hock Dibunuh"

Oleh Rusnizam Mahat

KUALA KUBU BAHARU 11 Apr 2010 - Gobind Singh De0, peguambela keluarga Teoh Beng Hock yakin bukti bahawa pembantu politik itu dibunuh dan bukan mati akbikat terjatuh daripada bangunan akan terserlah akhirnya walaupun pakar patologi, Dr Pornthip Rojanasunand dihalang memberi keterangan oleh kerajaan Malaysia.

Malah beliau tidak terkejut dengan kenyataan Dr Pornthip bahawa pakar bedah itu menerima tekanan dari kerajaan Malaysia memandangkan pelbagai ugutan yang diterima beliau sebelum ini.

Dalam satu emel kepada Suara Keadilan, Ahli Parlimen Puchong itu berkata pihaknya akan berusaha melepasi halangi terbaru ini melalui pndekatan alternatif.

"Saya merujuk laporan Malaysiakini hari ini yang menyatakan Dr Pornthip tidak akan menghadiri inkues tersebut pada 20 April 2010. Ini tidak menghairankan berdasarkan kepada perkembangan kes.

"Kami telah menjalani inkues yang panjang dan berharap keputusan akan diperolehi seawal yang mungkin. Ini bukan pertama kali beliau mendakwa digangggu ketika dipanggil dalam inkues Teoh Beng Hock.

"Kami berharap agar Dr Pornthip dapat hadir ke mahkamah. Jika tidak, kami akan mencari jalan alternatif supaya beliau dapat mengemukakan bukti-bukti beliau.

"Jika itu juga gagal, kami akan meneruskan dengan apa yang kami ada dan kami percaya kami akan masih berjaya mengemukakan kes yang mana Teoh Beng Hock bukan bunuh diri sebaliknya adalah jelas kes itu adalah satu pembunuhan," kata Gobind.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mahu kerajaan Malaysia memberi penjelasan kenapa perlu campurtangan dalam isu keadilan membabitkan kes pembunuhan Beng Hock sehingga terpaksa memberikan tekanan kepada Dr Pornthip.

Dr Pornthip merupakan pemerhati dalam bedah siasat kedua yang dijalankan ke atas mayat Beng Hock.

Beliau, sebelum ini mendakwa berlaku unsur-unsur pembunuhan terhadap mangsa yang mati ketika dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Strategi KEADILAN itu berkata tekanan dan campurantangan yang diberikan kerajaan Malaysia dalam kes itu membuktikan kerajaan takut dan cuba menyembunyikan kebenaran dari pengetahun umum.

"Kenapa takut sangat dengan Dr Pornthip, kenapa tidak benarkan beliau untuk memberi keterangan dan biarkan mahkamah putuskan keadilan dalam kes ini. Sebaliknya kerajaan menggunakan kuasanya untuk menekan dan menghalang kebenaran. Ini membuktikan kerajaan tidak berani berhadapan dalam kes ini yang melibatkan pembunuhan dalam institusi kerajaan," katanya kepada Suara Keadilan.

Tian turut mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz hari ini yang mendakwa Dr Pornthip berbohong dengan membuat kenyataan bahawa beliau dihalang memasuki negara ini untuk menghadiri inkues Beng Hock pada 20 April depan.

"Nazri tidak ada hak untuk membuat sebarang penilaian kerana kes itu sedang berjalan dalam inkues siasatan. Beliau tidak berhak untuk mendakwa Pornthip berbohong dan perkara ini menunjukkan kerajaan benar-benar takut. Kenyataan Nazri menunjukkan keangkuhan beliau dan menghina seorang pakar perubatan yang mempunyai prestasi tinggi, terkenal dan dihormati masyarakat antrabangsa kerana tahap profesionalismanya," kata beliau lagi.

Beliau menganggap kenyataan Nazri itu melampaui bidang kuasa mahkamah kerana kes itu kini sedang di dengar dalam inkues kematian pembantu politik berkenaan.

Tian mendesak kerajaan supaya kerajaan tidak bertindak sesuka hati dengan menghalang dan memberi tekanan kepada pakar berkenaan supaya kes itu boleh didengar dan diadili sebaik mungkin.

DAPSY Desak Kerajaan Lindungi Dr Pornthip

PULAU PINANG 12 Apr - Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mahukan jaminan keselamatan terhadap pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand semasa memberi keterangan pada inkues kematian Teoh Beng Hock yang bersambung 20 April depan.

Dalam satu kenyataaa yang dikelurakan semalam Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAPSY, Ng Wei Aik berkata pihaknya amat terkejut apabila mendengar laporan media bahawa pakar tersebut tidak akan memberi keterangan beliau pada inkues itu atas alasan menerima tekanan politik daripada Kerajaan Malaysia.

DAPSY mahukan jaminan kerajaan berhubung keselamatan peribadi Dr Pornthip dan semasa kehadiran beliau pada sesi inkues agar kebenaran terbongkar berhubung kematian tragik Beng Hock.

"Menurut Dr Pornthip pihak kementerian luar Thailand telah menerima isyarat daripada kerajaan Malaysia melalui saluran tidak rasmi bahawa kehadiran beliau tidak diingini."Beliau berkata Kementerian Kehakiman telah menerima maklumat dari Kementerian Luar Thailand bahawa Dr Pornthip mungkin akan menghadapi masalah termasuk kemungkinan dihalang memasuki negara ini," kata Wei Aik.Wei Aik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar berkata

Ini membuktikan kewujudan tangan hitam politik yang mencampuri perjalanan inkues Beng Hock termasuk keputusannya.

Beliau bertanya mengapa kerajaan Malaysia harus berasa gentar terhadap keteranganb Dr Pornthip sekiranya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berpendirian Beng Hock telah membunuh diri?

"Berikutan pendedahna terbaru Dr Pornthip, kita mendesak supaya Perdana Menteri memberikan komitmen beliau sepenuhnya sepertimana jaminan yang beliau berikan kepada keluarga Beng Hock pada 28 Julai 2009 bahawa segala usaha akan dilakukan untuk membongkar punca kematian pembantu politik tersebut.

"Najib juga dilaporkan berkata, “Tidak ada sesuatu pun akan terlepas pandang sehingga punca sebenar kematian diketahui. Sekiranya terdapat sebarang jenayah, tindakan semestinya akan diambil.

"Kita mahu Najib memberi arahan kepada pihak polis dan Jabatan Imigresen untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memastikan Dr Pornthip mampu memasuki Malaysia tanpa sebarang halangan untuk memberi keterangan yang amat penting pada inkues ini selain kehadiran beliau tidak menjejas tugasan beliau di wilayah selatan Thialand," kata Wei Aik yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.

Gerakan mahu k'jaan pasti keadilan untuk Teoh

Apr 12, 10 2:04pm

Gerakan menggesa kabinet supaya memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan akan memastikan keadilan dalam siasatan kes kematian Teoh Beng Hock.

Menurut setiausaha agung Gerakan, Teng Chang Yeow laporan yang menyebut bahawa Dr Pornthip Rojanasunand kini berdepan tekanan supaya tidak menghadiri inkues Teoh pada 20 April ini adalah "amat membimbangkan".

Katanya, laporan itu mencemarkan imej kerajaan dan menimbulkan keraguan terhadap komitmen kerajaan untuk mencari keadilan untuk Teoh.

Oleh itu, katanya, Gerakan mencadangkan agar kabinet:

a) Memastikan keselamatan Dr Prontip dari Thailand ke Malaysia serta ketika pulang semula selepas inkues.

b) Menubuhkan satu pasukan khas untuk memastikan keselamatan beliau ketika menghadiri inkues.

c) Menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk menyiasat laporan tersebut bagi memulihkan imej kerajaan Malaysia.

d) Memberi jaminan bahawa semua langkah diambil untuk memastikan keadilan terhadap Teoh.

Sehubungan itu, Teng berkata, Gerakan telah mengarahkan naib presidennya, A Kohilan yang juga timbalan menteri luar, supaya memeriksa dengan Kedutaan Malaysia di Bangkok untuk memastikan ketepatan laporan tersebut.

Gerakan juga, katanya, telah meminta Kohilan untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz, untuk memastikan tiada kompromi dalam mewujud keadilan dalam kes Teoh.

Nazri nafi ada 'tekanan' ke atas Pornthip

Apr 12, 10 2:48pm

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menafikan dakwaan pakar patologi terkemuka Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand bahawa beliau menerima ”tekanan politik” daripada kerajaan Malaysia untuk menghentikan keterangan beliau dalam inkues Teoh Beng Hock.


Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak benar, Nazri berkata, pakar tersebut hendaklah menamakan pihak yang didakwa memberi tekanan terhadap beliau kerana kerajaan tidak akan dapat mengambil tindakan sekiranya tiada bukti kukuh yang menyokong dakwaan berkenaan.

"Beritahu saya siapa? Datuk Seri Nazri atau orang lain? Kita nak tahulah, kalau tak tahu mana mungkin boleh bantu dia. Siapa juga boleh cakap 'saya dipaksa'. Tapi siapa yang paksa, kita nak tahu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau
mengulas dakwaan Dr. Pornthip yang mengatakan beliau tidak akan hadir memberi keterangan inkues Teoh Beng Hock yang akan bersambung 20 April ini kerana menerima ”tekanan politik” dari kerajaan Malaysia.

Nazri turut menafikan dakwaan bahawa pakar tersebut juga telah tidak dibenarkan masuk ke Malaysia pada awal tahun ini, kerana menurutnya tiada sebab kerajaan tidak membenarkan pakar itu memasuki negara buat kali kedua memandangkan beliau telah berbuat demikian sebelum ini.

- Bernama

MB S'gor: Biar Pornthip beri keterangan video

Aidila Razak
Apr 12, 10
1:08pm

Kerajaan Selangor mahu sidang video digunakan jika pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand tidak hadir memberi keterangan dalam inkues Teoh Beng Hock apabila ia bersambung pada 20 April ini, kerana mendakwa ada 'tekanan politik' daripada kerajaan Malaysia.

“Kita menghormati keputusan Dr Pornthip kerana ia melibatkan sebab-sebab keselamatan tapi kita mencadangkan kepada mahkamah supaya mengadakan cara telekomunikasi.

"Maknanya, Dr Pornthip berada di Bangkok, kita berada di sini, berkomunikasi melalui sistem telekomunikasi. Ini bolehh kita lakukan dan selalu boleh dilakukan,” kata Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahm (atas, tengah).

Tambahnya, oleh kerana Dr Pornthip adalah tetamu kerajaan Selangor, maka adalah tanggungjawab mereka untuk melindunginya.

Semalam, Dr Pornthip memberitahu Malaysiakini bahawa beliau telah "dinasihatkan" oleh pegawai-pegawai tinggi Jabatan Kehakiman Thailand - tempat beliau bertugas sebagai ketua pengarah Institut Sains Forensik Pusat - supaya jangan ke Malaysia minggu depan untuk menghadiri inkues tersebut.

Beliau berkata, kementerian kehakiman telah menerima maklumat daripada kementerian luar Thailand bahawa beliau mungkin menghadapi masalah jika ke Malaysia, termasuk kemungkinan dihalang memasuki negara ini.

Menurutnya, kementerian luar Thailand telah menarima "isyarat" dari kerajaan Malaysia melalui "saluran tidak rasmi" bahawa kehadiran beliau dalam inkues tersebut, adalah tidak disenangi.

“Tetapi saya berharap semua dakwaan itu tidak benar. Adalah menjadi kepentingan semua kerajaan untuk mencari kebenaran,” katanya selepas sidang dewan undangan negeri Selangor hari ini.

"Kami tetap mahu beliau ke mari, tetapi jika beliau tidak boleh berbuat demikian, kami berharap beliau masih boleh memberi keterangan melalui internet (sidang video) dan mahkamah akan menerimanya,” kata Khalid.

Khalid juga membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang membuat kenyataan, semalam, bahawa pakar dari Thailand itu telah berbohong.

"Secara diplomatik, bukan idea yang baik untuk melabelkan mereka di luar negara sebagai pembohong.

"Dia harus berhati-hati dengan apa yang dia cakap. Dr Pornthip bekerja dengan mayat-mayat,” katanya.

Sebelum ini, pakar patologi itu berkata berdasarkan kepada gambar-gambar yang diambil di tempat Teoh ditemui jatuh, beliau membuat kesimpulan bahawa terdapat 80 peratus kemungkinan homisid dan 20 peratus kemungkinan bunuh diri.

Keterangannya itu menyaksikan mahkamah mengarahkan bedah siasat kedua dijalankan.

Sunday, April 11, 2010

Bukannya kali pertama, kata peguam

Apr 11, 10 6:28pm

Dalam reaksi kepada dakwaan Dr Pornthip Rojanasunand bahawa beliau berdepan dengan tekanan dari kerajaan Malaysia supaya tidak memberi keterangan dalam inkues Teoh Beng Hock, peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo berkata, ini bukan kali pertama aduan gangguan terhadap pakar patologi itu.

Walaupun Gobind (kanan) berkata beliau masih dalam proses mengesahkan perkara itu dengan Dr Pornthip, ahli parlimen Puchong itu menyifatkan apa yang dihadapi oleh pakar patologi itu sebagai "amat malang".

Usaha sedang dibuat untuk membolehkan beliau hadir di mahkamah, tetapi jika gagal "urusan alternatif" akan dibuat untuk beliau memberi keterangan dalam inkues tersebut melalui pautan video.

"Jika itu juga gagal, maka kita terpaksa teruskan dengan apa yang kita ada dan kita yakin, kita masih mampu berjaya untuk membuktikan kes kita, iaitu Teoh Bengh Hock tidak membunuh diri, tetapi sebaliknya ia adalah jelas kes homisid," kata Gobind dalam satu kenyataan.

Beliau juga menyifatkan bantuan yang diberikan Dr Pornthip kepada keluarga Teoh sehingga ini sebagai "amat berguna sekali".

"Melalui usaha beliaulah kita dapat menggali semula mayat dan melakukan bedah siasat kedua, di mana keputusannya telah memberi dimensi baru sepenuhnya kepada persekitaran kematian Beng Hock," katanya.

Gobind berkata, bagi pihak keluarga Beng Hock, perjuangan untuk memberi keadilan kepada Beng Hock akan dan mesti diterukan.

"Kita akan meneruskan inkues ini hinggalah ke akhirnya," kata Gobind.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pula menyarankan supaya Dr Pornthip dibenar memberi keterangan dalam inkues tersebut melalui telekomunikasi elektronik.

Nazri kata Dr Pornthip 'pembohong'

Hazlan Zakaria
Apr 11, 10
3:54pm

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz berkata pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand berbohong berhubung dakwaannya yang kerajaan Malaysia menggunakan "tekanan politik" untuk menghalangnya daripada memberi keterangan.

"Dia seorang pembohong! dia berbohong dalam inkues dan dia berbohong sekarang," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Nazri diminta mengulas dakwaan Dr Pornthip bahawa beliau diberi "isyarat" dan berdepan dengan "tekanan politik" supaya menghentikan pembabitannya dalam siasatan berhubung kematian Teoh Beng Hock.

Dr Pornthip mendakwa beliau dihalang daripada masuk ke Kelantan sewaktu urusan rasmi melalui sempadan Thai-Malaysia pada bulan Januari tahun ini, dan menyifatkannya sebagai salah satu "isyarat" yang tekanan dikenakan ke atasnya.

Walaupun keberatan, tetapi Dr Pornthip telah memutuskan untuk tidak memberi keterangan dalam inkues kematian Teoh ekoran tekanan terhadapnya itu.

Inkues kematian Teoh akan disambung pada 20 April ini

'Tekanan politik': Dr Pornthip tidak hadir inkues Teoh

Apr 11, 10 8:50am

Pakar patologi terkemuka Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand tidak akan hadir memberi keterangan dalam inkues Teoh Beng Hock apabila ia bersambung pada 20 April ini, menurutnya, kerana 'tekanan politik' dari kerajaan Malaysia.

Dr Pornthip memberitahu Malaysiakini bahawa beliau telah "dinasihatkan" oleh pegawai-pegawai tinggi Jabatan Kehakiman Thailand - tempat beliau bertugas sebagai ketua pengarah Institut Sains Forensik Pusat - supaya jangan ke Malaysia minggu depan untuk menghadiri inkues tersebut.

Beliau berkata, kementerian kehakiman telah menerima maklumat daripada kementerian luar Thailand bahawa beliau mungkin menghadapi masalah jika ke Malaysia, termasuk kemungkinan dihalang memasuki negara ini.

Menurutnya, kementerian luar Thailand telah menarima "isyarat" dari kerajaan Malaysia melalui "saluran tidak rasmi" bahawa kehadiran beliau dalam inkues tersebut, adalah tidak disenangi.

"Ia disampaikan kepada saya oleh pegawai-pegawai kanan tertentu kerajaan Thai bahawa terdapat tekanan politik dari kalangan tertentu kerajaan Malaysia untuk menghalang kehadiran saya di mahkamah, sehingga ia mungkin mengganggu misi penting forensik semasa saya di Selatan Thai," katanya.

Tuesday, March 9, 2010

Inkues: Teoh tak diliwat tapi tertusuk tulang

Hafiz Yatim
Mac 10, 10
10:39am

Inkues bagi menyiasat punca kematian pegawai politik kepada seorang exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock bersambung semula pada jam 10 pagi ini.

Perbicaraan bermula dengan ketua pendakwa dan bahagian perundangan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Razak Musa menyoal Dr Shahidan Md Noor (kiri).

Dr Shahidan adalah ahli patologi yang melakukan bedah siasat kedua pada 22 Nov lalu.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata tidak mungkin Teoh dipukul atau dijerut sebelum jatuh.

Menjawab soalan daripada Abdul Razak, Shahidan berkata walaupun ada kesan tekanan pada leher, namun lebam kebiruan pada bibir dan kuku, serta bintik-bintik merah pada muka tidak ditemui bagi mencadangkan bahawa mangsa dibunuh.

"Terdapat kesan lebam di leher tetapi tidak ada kesan asphyxia.

"Mungkin terdapat tekanan yang digunakan (di bahagian leher). Bagaimanapun bintik-bintik merah itu di leher tidak menyebabkan kematian Teoh.”

Shahidan juga berkata kecederaan di kawasan dubur Teoh bukan akibat diliwat tetapi konsisten dengan kecederaan akibat terjatuh.

"Kawasan tulang pinggul retak sebelum patah semasa dia jatuh dan akibat itu ia tertusuk di belakang."

Tidak dipukul objek tumpul

Shahidan juga berpendapat tiada kesan kecederaan menunjukkan Teoh dipukul atau dilemaskan.

"Ini kerana tiada tanda seperti lebam di bibir, bintik kemerahan pada muka dan lebam kebiruan di hujung jari," katanya lagi.

Beliau juga menolak laporan oleh Dr Pornthip Rojasunanand (kanan) - seorang ahli patologi dari Thai yang mewakili kerajaan negeri Selangor - yang kepala Teoh dipukul dengan objek yang tumpul.

"Retak di bahagian kanan badan dan tengkorak juga konsisten dengan kesan jatuh.”

"Lagipun, jatuh juga boleh dianggap sebagai satu pukulan oleh objrek yang tumpul.”

Selepas Shahidan mengakhiri kenyataannya, Abdul Razak meminta dua ahli patologi yang membuat bedah siasat pertama untuk tampil memberi keterangan.

Pornthip beri keterangan 20 April

Peguam kerajaan Tan Hock Chuan berkata beliau akan menimbangkan permintaan itu dan berkata permohonan itu mempunyai asas.

Bagaimanapun, Malik Imtiaz Sarwar (kiri) yang mewakili kerajaan Selangor membantah permohonan memanggil kedua-dua ahli patologi berkenaan.

Katanya, membenarkan mereka berbuat demikian akan memberi peluang kepaad mereka memperbetulkan kenyataan awal mereka.

Inkues kemudian ditangguhkan pada tengahari tadi dan Pornthip akan dipanggil memberi keterangan pada 20 April ini.

Ahli patologi yang mewakili SPRM, Dr Peter Venezis pula akan memberi keterangan pada 26 dan 27 April.

Tiada kesan lemas akibat dicekik pada mayat Beng Hock

10/03/2010 1:33pm


SHAH ALAM 10 Mac 2010 – Pakar patologi forensik, Dr. Shahidan Md. Noor hari ini mengesahkan tiada sebarang kesan lemas akibat dicekik ditemui pada mayat Teoh Beng Hock semasa bedah siasat kedua yang dilakukan pada 22 November tahun lalu.

Katanya, walau ada kesan tekanan pada leher, namun lebam kebiruan pada bibirdan kuku, serta bintik-bintik merah pada muka tidak ditemui bagi mencadangkan bahawa setiausaha politik Exco Selangor itu dibunuh.

Prosiding inkues bersambung pada 20 April ini, yang mana pakar patologi forensik dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand akan memberi keterangan untuk kali kedua. – Utusan

Monday, March 1, 2010

Laporan bedah siasat kedua lebih terperinci

SHAH ALAM 1 Mac 2010 - Pakar Forensik Patologi, Dr. Shahidan Md. Noor yang mengendalikan bedah siasat kedua terhadap Teoh Beng Hock mengakui laporan yang disediakan oleh beliau lebih terperinci berbanding laporan bedah siasat pertama.

Beliau yang merupakan Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh berkata, hasil pemeriksaan ke atas kesan kecederaan terutama pada bahagian leher lebih terperinci kerana beliau dibantu oleh maklumat awal daripada pegawai penyiasat.

Selain berpeluang meneliti laporan bedah siasat pertama, katanya, hasil pemeriksaan beliau lebih jelas berikutan kehadiran dua pakar yang menjalankan bedah siasat pertama, Dr. Khairul Azman Ibrahim dan Dr. Prashant Naresh Samberkar.

Meskipun bersetuju bahawa laporan pertama kekurangan beberapa butiran dalam penelitian terhadap kesan kecederaan di bahagian leher Beng Hock serta kecederaan otot akibat dipukul, beliau menolak cadangan peguam Gobind Singh Deo bahawa ia tidak lengkap.

Sebaliknya Shahidan berpendapat, kedua-dua pakar tersebut telah mengambil kira semua fakta yang mungkin menjadi penyebab kepada kematian setiausaha politik exco Selangor itu sebelum membuat pemeriksaan dan kesimpulan.

"Dua rakan saya yang buat pemeriksaan terhadap Beng Hock buat pertama kali fikir apa yang saya fikirkan, tetapi kecederaan yang dialami mencadangkan bahawa dia masih hidup semasa dia jatuh.

"Mereka juga lihat pada fakta kemungkinan dia ditolak, terjun sendiri, dicederakan atau berlaku kemalangan. Tetapi setelah semua fakta diambil kira, kecederaan pada leher tidak nampak. Ia biasa dalam forensik kerana kecederaan pada bahagian itu akan lebih jelas dalam masa 24 jam,'' katanya.

Bagi kes kematian dalam tahanan, Shahidan mengakui bahawa fokus bedah siasat adalah untuk mencari kecederaan yang membawa kepada kematian seperti kesan pukulan, tekanan pada leher dan kecederaan dalaman yang tidak konsisten dengan maklumat.

Semasa memeriksa mayat Beng Hock, beliau mengesahkan menemui kesan kemerahan di bahagian leher seakan-akan satu jalur pada kulit yang tidak dapat dipastikan secara terperinci.

Sehubungan itu, Shahidan berpendapat kemungkinan kesan tersebut lebih jelas pada bedah siasat kedua kerana kedudukannya yang kadang-kadang sukar untuk dilihat semasa bedah siasat pertama.

Bagaimanapun setelah disoal bertubi-tubi oleh peguam yang mewakili keluarga Beng Hock, Shahidan bersetuju bahawa kecederaan di bahagian leher Beng Hock mungkin akibat dicekik.

Bagaimanapun beliau menolak ia mengakibatkan kematian kerana tiada tanda-tanda lemas ditemui selain kesan pendarahan dalaman di bahagian leher sama dengan kesan di bahagian lain.
Sebaliknya, beliau tetap bersetuju dengan pandangan Khairul Azman dan Prashant bahawa kecederaan berganda akibat terjatuh dari tempat tinggi sebagai punca kematian.

Beliau juga berpendapat Beng Hock terjatuh dalam keadaan kaki kanan mencecah lantai dahulu sebelum badan bahagian kanan terhempas dan terbaring dalam keadaan mengiring berdasarkan kecederaan yang dialami.

"Saya juga melakukan simulasi ke atas mayat Beng Hock dengan imbasan CT dengan bantuan pakar radiologi untuk mengesan tulang-tulang yang patah,'' jelasnya.

Beng Hock, 30, ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung 10 Mac ini.

Ada 'kemungkinan' Teoh dicekik sebelum jatuh

Hafiz Yatim
Mac 1, 10
7:37pm

Ketua Patologi Hospital Sungai Buloh Dr Shahidan Md Noor hari ini disoal bertubi-tubi oleh dua peguam berhubung terdapat kemungkinan Teoh Beng Hock dicekik atau dijerut sebelum jatuh daripada Plaza Masalam pada 16 Julai tahun lalu.

Beliau disoal oleh peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo dan peguam yang dilantik kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar sama ada terdapat kemungkinan itu bagi merungkai misteri seputar kematiaannya, sehari sebelum perkahwinannya.

Menjawab soalan Gobind yang juga ahli parlimen Puchong, Dr Shahidan bersetuju bahawa Teoh kemungkinan beliau dicekik atau diseksa sebelum jatuh dari tingkat 14 plaza tersebut.

"Senario itu kemungkinan boleh berlaku, tetapi kebarangkaliannya rendah," katanya, yang melakukan pembedahan kali kedua pada 22 November lalu.

Shahidan diminta oleh Malik dan Gobind supaya menjelaskan kesan tanda merah (yang tercalar di leher Teoh dari kiri kekanan) selepas ditunjukkan sekeping gambar daripada bedah siasat yang pertama. Kesan itu jelas seperti yang dinyatakan dalam laporannya.

Wednesday, February 24, 2010

Teoh dinamakan bapa pada sijil lahir anaknya

Feb 24, 10 5:14pm

Anak lelaki pembantu politik kepada seorang exco negeri Selangor, Teoh Beng Hock yang dijumpai mati selepas disoal-siasat oleh pegawai SPRM di Shah Alam, tahun lalu, menerima sijil kelahirannya hari ini.

Nama Teoh didaftarkan sebagai bapa bayi berkenaan.

Perkara itu disahkan oleh adik Teoh, Lee Lan kepaad Malaysiakini dan menurutnya bayi itu dinamakan 'Er Jia”.


Bayi itu dilahirkan Isnin, 23 Feb lalu di sebuah hospital swasta di Batu Pahat, Johor. Dia dilaporkan seberat 2.9 kilogram dan dalam keadaan sihat.

Selepas bersalin, ibu bayi itu, Soh Cher Wei, 28 pulang ke rumah ibu bapanya di Batu Pahat.

Teoh, 30, setiausaha politik, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, sehari sebelum beliau mendaftarkan perkahwinannya dengan Cher Wei.

Sebelum ditemui mati, Teoh memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Soh, 28, seorang guru di Semenyih, Selangor, sebelum ini telah membuat permohonan untuk meletakkan nama Teoh dalam surat beranak anaknya.

Tuesday, February 23, 2010

Mendiang Teoh Beng Hock dapat anak lelaki

Feb 22, 10 1:45pm

Balu setiausaha politik kepada exco kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock yang dijumpai mati selepas disoal-siasat oleh pegawai SPRM di Shah Alam, tahun lalu telah melahirkan anak mereka hari ini.

Bayi lelaki berkenaan dilahirkan dengan berat 2.9 kilogram di Hospital Pantai, Batu Pahat pada jam 8 pagi tadi.

"Kedua-dua ibu (Soh Cher Wei, 28) dan anaknya adalah sihat," kata adik perempuan Teoh, Lee Lan apabila disiasat. Dia juga tidak mahu memberikan butiran lanjut.

Ahli parlimen, Serdang Teo Nie Ching yang juga hadir di Hospital Batu Pahat berkata keluarga berkenaan belum lagi menamakan bayi itu.

Keluarganya akan berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara berhubung pendaftaran bayi itu," kata Teo.

Peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo yang juga ahli parlimen Puchong, juga telah berjanji membantu pendaftaran bayi berkenaan.

Teoh, 30, setiausaha politik, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, sehari sebelum beliau mendaftarkan perkahwinannya dengan Soh Cher Wai.

Sebelum ditemui mati, Teoh memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Soh, 28, seorang guru di Semenyih, Selangor, sebelum ini telah membuat permohonan untuk meletakkan nama Teoh dalam surat beranak anaknya.

Friday, February 19, 2010

'Tiada bukti Teoh dicekik atau ditembus'

Hafiz Yatim
Feb 19, 10
9:34am

Ketua Unit Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor, yang melakukan bedah siasat kedua ke atas pembantu politik kepada exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock berkata bedah siasat pertama dijalankan dengan baik.

Dalam keterangannya hari ini, Shahidan juga berkata kesan kecederaan pada bahagian punggung dan dubur mangsa pula konsisten disebabkan terjatuh dari tempat tinggi.

Menjelaskan lagi pendapatnya mengenai kecederaan pada dubur Teoh, Shahidan berkata: "Kecederaan pada bahagian tersebut adalah sebahagian daripada peristiwa jatuh, sebab patah dan corak-corak (kecederaan) mencadangkan ia begitu.


"Sebab, kalau kecederaan di bahagian belakang telah berlaku lebih awal, pada pendapat saya jenis kecederaan yang akan dialami Teoh mungkin akan berlainan. Saya merujuk kesan kecederaan yang lain juga adalah sama dan berlaku pada masa yang sama.

"Pada pendapat saya jika Teoh telah diperlakukan (ditembus) demikian peristiwa jatuh tersebut mungkin tidak boleh digambarkan kerana kecederaan di bahagian dubur itu agak hebat," katanya.

Beliau turut bersetuju dengan laporan bedah siasat pertama yang dijalankan oleh Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant Naresh Samberker yang mengatakan Teoh meninggal dunia akibat kecederaan berganda kerana terjatuh dari tempat tinggi.

"Mereka berdua telah menjalankan kerja dengan baik dan jika diberi kepada saya sukar untuk saya memberi laporan sebaik itu. Saya bersetuju dengan bedah saisat mereka," katanya.

Shahidan juga mempertikaikan laporan ahli patologi yang dilantik oleh kerajaan Selangor, Dr Pornthip Rojanasunand dari Thailand yang berkata lebam di leher Teoh adalah akibat dicekik dan kecederaan di duburnya pula akibat ditembus.

Sebaliknya, ahli patologi yang membuat bedah siasat kedua itu berkata jika dicekik, kesan lebamnya akan ketara secara tidak sama rata.


Bedah siasat itu dijalankan pada 22 Nov lalu oleh Shahidan dengan pemerhatian oleh ahli patologi yang dilantik oleh kerajaan Selangor, Dr Pornthip Rojanasunand dari Thailand, manakala Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula melantik Dr Peter Venezis sebagai pemerhati mereka.

Pornthip adalah pengarah Institut Pusat Sains Forensik yang berpangkalan di Bangkok dan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Undang-undang Thailand. Beliau pada perbicaraan tahun lalu berkata 80 peratus kemungkinan kematian Teoh adalah kerana dia dibunuh.

Venezis pula adalah ahli patologi yang terkenal dengan penyiasatan kematian Puteri Diana.

Kedua-dua ahli patologi berkenaan juga dijadual memberikan keterangan mereka pada suatu tarikh yang belum ditetapkan kemudian.

Koroner Azmil Muntapha Abas mengarahkan bedah siasat kedua ke atas mayat Teoh dilakukan pada 9 Nov lalu berikutan dakwaan Pornthip itu.

Teoh meninggal dunia pada 16 Julai selelepas disoal-siasat oleh pegawai SPRM di ibupejabat mereka di Plaza Masalam, Shah Alam.

Mengikut laporan rasmi, pegawai khas DAP itu terjatuh dari bangunan berkenaan, namun keluarganya pula mendakwa terdapat salah laku dalam kematian Teoh.

Shahidan memberitahu inkues pagi ini bahawa beliau keberatan untuk melakukan bedah siasat kedua seperti diminta oleh Tricia Yeoh dari pejabat menteri Besar Selangor dan peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo.

Pakar patologi dari hospital Sungai Buloh itu berkata, beliau telah meminta mereka menulis kepada kementerian kesihatan.

Pada 9 November, beliau mendapat panggilan dari timbalan pendakwa raya Mohd Abazafree Mohd Abbas, mengarahkannya melakukan bedah siasat tersebut.


Katanya, Pornthip dan Veneziz, bersama dengan dua lagi pakar patologi yang melakukan bedah siasat pertama turut hadir.

Bedah siasat itu bermula jam 12.45 pagi 22 November dan selesai dua jam kemudiannya.

Merujuk kepada laporan bedah siasat tersebut, Shahidan berkata terdapat kesan lebam pada bahagian tiroid si mati.

Juga terdapat darah beku kekal di belakang lidah dekat dengan leher, serta pendarahan di sebelah tepi kanan otak dan di sebelah tepi kanan belakang otak.

Shahidan memberitahu demikian ketika menjawab soalan dari peguam yang dilantik kerajaan, Tan Hock Chuan.


Beliau memberitahu inkues pagi ini bahawa terdapat kesan calar ditemui pada tangan kiri Teoh.

Bagaimanapun, katanya, punca kematian Teoh adalah akibat pelbagai kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi.

Tambahnya, kecederaan pada tengkok Teoh itu adalah akibat jatuh.

"Ia juga menunjukkan bahawa si mati mendarat di kakinya mengakibatkan hentakan kuat pada tulang pelvis dan spina menyebabkan mangsa mengalami patah tulang dan kecederaan pada otot sekitarnya.

"Ada juga kecederaan pada leher yang mungkin disebabkan oleh kesan jatuh. Kecederaan yang dialami adalah sesuai dengan insiden atau kejadian itu," katanya.

Sebaik Shahidan selesai memberi keterangannya, Azmil kemudiannya menangguhkan inkues berkenaan sehingga 1 Mac depan bagi membolehkan peguam yang mewakili keluarga Teoh dan juga kerajaan Selangor menyoal balas ahli patologi berkenaan.