Invois Beng Hock berlainan
KUALA LUMPUR 19 April — Seorang ahli perniagaan yang menguruskan projek DAP hari ini memberitahu Suruhanjaya Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock bahawa invois dalam milikan Beng Hock adalah berlainan daripada jumlah yang dipohon.
Lee Wye Weng, 52, berkata, selain jumlah tuntutan, invois yang dicetak daripada komputer Beng Hock itu juga mempunyai kepala surat dan format berlainan daripada apa yang dihantar melalui e-mel kepada Beng Hock.
Katanya, maklumat yang dikirim kepada Beng Hock adalah penyata tuntutan akhir dan mengandungi jumlah bayaran berlainan bagi satu projek yang menggunakan syarikat milik bumiputera kelas F.
“Saya yang menghantar e-mail tersebut tetapi saya tidak tahu dan tidak dapat memberi penjelasan tentang invois yang dicetak ini,” katanya ketika disoal peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Wye Weng berkata, tindakan menggunakan syarikat bumiputera untuk mendapatkan projek kecil daripada Pejabat Tanah dan Daerah adalah perkara biasa kerana ia melibatkan lesen kelas F yang hanya diberi kepada bumiputera.
Bagaimanapun beliau mengakui bahawa tiada sebarang surat rasmi dibuat bagi penggunaan syarikat terbabit dan tahu bahawa ia salah serta melanggar peraturan Perbendaharaan.
Wye Weng turut mengakui bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah dan Beng Hock menyedari urusan menggunakan nama syarikat bumiputera dan yang melakukan kerja-kerja projek adalah syarikat lain.
Beliau yang turut memperoleh bayaran dalam setiap projek sebagai bayaran pengurusan memberitahu bahawa syarikat MKMN Enterprise, MA Bina Melur Enterprise, Fizami Construction dan Aris Enterprise dimiliki oleh mereka yang rapat dengannya dan mempunyai pertalian kekeluargaan.
Katanya, syarikat-syarikat tersebut memperoleh projek daripada DAP dan mendapat wang pendahuluan daripada DAP sebelum mendapat bayaran daripada Pejabat Tanah dan Daerah.
Susulan soalan berkaitan penglibatan empat syarikat tersebut dalam projek DAP, Muhammad Shafee memohon supaya suruhanjaya mengarahkan Wye Weng menyerahkan tiga resit pembayaran untuk DAP Serdang Aman yang mempunyai kaitan dengan penyiasatan SPRM.
Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen bagaimanapun belum memutuskan sama ada Wye Weng perlu berbuat demikian (bawa resit) ataupun tidak.
Terdahulu Muhammad Shafee berhujah bahawa suruhanjaya wajar meminta Wye Weng membawa resit pembayaran tersebut kerana beliau tidak menyerahkannya sehingga kini kepada SPRM dan ia mampu menunjukkan tahap psikologi Beng Hock selepas siasatan.
Katanya, Beng Hock berasa tertekan dan bersalah atas tindakannya menggunakan wang kerajaan untuk dana politik dan perasaan bersalah itu bukan sahaja terhadap dirinya sendiri tetapi juga kepada DAP kerana ia telah melibatkan banyak pihak dalam parti tersebut.
Sementara itu, Wye Weng yang turut dipanggil pada malam yang sama Beng Hock disoal di pejabat SPRM memberitahu bahawa beliau sempat berbual dan Beng Hock tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.
Katanya, pegawai SPRM juga melayannya dengan baik dan menjaga kebajikan serta tidak mengawal pergerakan malah beliau mampu ke tandas dan pantri dengan bebas.
Selain Cheng Yuen, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom dan Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Bhupinder Singh.
Prosiding bersambung esok. – Bernama
Wednesday, April 20, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment