Tuesday, April 19, 2011

Pengawal pejabat SPRM beri alasan tak meronda

Pengawal pejabat SPRM beri alasan tak meronda


2011/04/19
KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan menangis dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Kematian Teoh Beng Hock semalam, selepas gagal mengawal perasaannya apabila tanggungjawabnya dipersoalkan.

Mohd Khairuddin Denan, 56, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, menundukkan muka dan terus menangis selepas Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen menegurnya kerana tidak membuat rondaan di pejabat berkenaan pada malam 16 Julai 2009. Terdahulu ketika disoal peguam SPRM, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah mengapa beliau tidak membuat rondaan, Mohd Khairuddin berkata, beliau hanya membuat rondaan mengikut gerak hatinya. “Sumpah demi Allah pada malam itu saya tidak membuat rondaan langsung. Tak tergerak hati saya nak buat rondaan, itu Allah saja yang tahu.. saya sendiri pun tidak tahu (mengapa tidak buat rondaan),” katanya.

Cheng Yuen: Kalau Tuhan tak suruh kamu buat, kamu tak buatlah? Kalau tiap hari tuhan tak suruh kamu meronda, awak tak meronda?

Teguran Cheng Yuen itu menyebabkan Mohd Khairuddin menangis dan prosiding terpaksa dihentikan untuk menenangkan dirinya.

Sebaik prosiding bersambung semula, anggota panel Suruhanjaya, Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom, menyoal Mohd Khairuddin bagaimanakah perasaannya.
Mohd Khairuddin berkata, beliau rasa lega sedikit berbanding tadi.

Mohamed Hatta: Sebagai pengawal keselamatan, apa peraturan yang kamu fahami atau dipersetujui apabila ada operasi dilaksanakan oleh pegawai SPRM?

Mohd Khairuddin: Saya tidak bertanggungjawab terhadap saksi atau suspek yang dibawa ke pejabat SPRM kerana pelawat itu di bawah tanggungjawab pegawai.

Prosiding bersambung hari ini.

No comments:

Post a Comment