Wednesday, April 20, 2011

Tan Boon Wah hadir di SPRM untuk lindungi isteri

Tan Boon Wah hadir di SPRM untuk lindungi isteriApr 20, 11 8:29pmKongsi 0Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Beng Hock hari ini diberitahu Anggota Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melindungi isterinya.

Penolong Peguasa SPRM Bulkini Paharuddin berkata isteri Boon Wah adalah pemilik Meritlink, syarikat yang disiasat SPRM berhubung tuntutan peruntukan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), namun Tan mengaku beliau menguruskannya.

Bulkini berkata pada 15 Julai 2008, Tan membawa beliau dan beberapa anggota SPRM ke sebuah kilang untuk bertemu isterinya dan tidak mahu wanita itu ke pejabat SPRM kerana sedang bekerja.

"Tan tidak mahu kami bawa isteri dia kerana isterinya sedang bekerja dan tidak mahu majikan isterinya tahu bahawa beliau ada syarikat luar," kata Bulkini ketika disoal Pegawai Pengendali Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Bulkini berkata pasangan itu kemudian bertengkar dan beliau yang fasih berbahasa Cina bertindak meleraikannya, sebelum Tan membawa mereka ke rumahnya pada 7 malam bagi mendapatkan beberapa dokumen, namun ia tidak dijumpai.

Sehubungan itu, Tan menawarkan diri ke pejabat SPRM tanpa mengganggu isterinya dan mereka tiba pada 10 malam.

Bulkini berkata Tan ditempatkan di kawasan berehat dan diminta berfikir di mana dokumen terbabit, namun selepas lima jam, beliau gagal memberikan jawapan.

"Saya ada suruh dia balik, tetapi dia kata tidak apa, nanti isterinya akan bawa dokumen. Pada awalnya, kami hendak membawa isterinya, tetapi dia tawarkan diri dia, dan saya suruh dia pandu kereta dia sendiri.

"Kita ada bagi dia peluang untuk ikut dia balik ke rumah untuk mengambil dokumen, tetapi dia tidak mahu, dan katanya, tidak mahu kacau isterinya," kata beliau yang menambah Tan memilih untuk terus berehat di pejabat SPRM walaupun dibenarkan balik pada kira-kira 2.30 pagi.

Pada prosiding hari ini, Bulkini juga mengulang keterangannya bahawa beliau terdengar suara lelaki sedang marah dalam bahasa Cina ketika berdiri di pintu selepas menghantar Tan ke tandas, serta melihat seorang lelaki berseluar putih turut berada di situ.

Bulkini kemudian mengesahkan lelaki itu sebagai Teoh selepas melihat gambarnya.

Ditanya sama ada mendengar perkataan lain, Bulkini berkata beliau tidak tahu apa berlaku selepas itu kerana telah ke pantri untuk makan.

Teoh, 30, setiausaha politik Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM, yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Prosiding bersambung esok

No comments:

Post a Comment