Wednesday, March 30, 2011

Laporan bedah ke-2 kurang tepat - Pakar

Laporan bedah ke-2 kurang tepat - Pakar

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 30 Mac - Pakar Patologi Forensik dari Britain, Dr. Peter Vanezis berpendapat hasil bedah siasat kedua ke atas mayat Teoh Beng Hock selepas hampir lima bulan kematiannya kurang tepat berbanding laporan bedah siasat pertama yang dilakukan sehari selepas kejadian.

Pandangan itu menjadikan beliau pakar patologi forensik keempat yang berkongsi pendapat sama selepas Dr. Khairul Azman Ibrahim dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Dr. Prashant Naresh Samberkar dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Dr. Shahidan Md. Noor dari Hospital Sungai Buloh yang bertanggungjawab mengendalikan bedah siasat kedua.

Jelas beliau, pakar-pakar yang terlibat dalam bedah siasat kedua terpaksa bergantung kepada gambar-gambar serta hasil bedah siasat pertama dalam usaha mencari bukti atau kesan baharu pada bukti-bukti yang telah pun dijumpai.

Sebagaimana ketiga-tiga pakar itu, beliau turut menolak pendapat pakar patologi forensik dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand bahawa kecederaan pada leher dan dagu Setiausaha Politik Exco Selangor itu akibat dicekik serta dipukul dengan senjata tumpul.

''Berdasarkan pengalaman sendiri dan rakan-rakan, corak kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi. Sebagai patologi, saya perlu bergantung pada siasatan pihak lain bagaimana mangsa jatuh dari tingkap. Jika dia terjatuh selepas bersandar, ia tidak mungkin kerana gambar tingkap tidak menunjukkan sedemikian.

''Mungkin mangsa bunuh diri. Jika dikatakan dia ditolak keluar, tiada kesan-kesan menunjukkan demikian. Begitu juga kemungkinan dia dicekik sebelum jatuh. Sukar untuk memberi jawapan yang tepat dan saya terpaksa membiarkan ia tergantung. Apa yang pasti, mangsa masih hidup dan sedar sepenuhnya semasa dia jatuh,'' jelasnya.

Sementara itu, bekas Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Hishamuddin Hashim pula berkata, beliau telah mengeluarkan memo bagi mengarahkan saksi-saksi dijaga serta dibenarkan pulang selepas selesai urusan sebulan sebelum Beng Hock ditemui mati.

Kata beliau, kejadian itu telah menimbulkan rasa kesal di kalangan semua pegawai terbabit termasuk beliau sendiri yang bertanggungjawab terhadap operasi dan siasatan berkaitan secara keseluruhan.

''Semua pun rasa kesal atas dasar perikemanusiaan sebab tidak pernah jadi perkara sebegini. Sebab seorang saksi, kita akan jaga dengan baik, hendak cakap kasar pun takut kalau-kalau dia kecil hati,'' jelas beliau yang kini merupakan Pengarah SPRM Negeri Sembilan.

Hishamuddin juga mengaku berada di pejabat pada malam Beng Hock ditemu bual dan dirakam percakapan bagi membolehkan pegawai bawahan merujuk kepada beliau selain meneliti kertas-kertas siasatan yang perlu disegerakan.

Katanya, beliau yang ketika itu berada di Putrajaya bersama Ketua Pengarah SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed bergegas ke SPRM Selangor selepas diberitahu tentang penemuan mayat Beng Hock.

''Keadaan pejabat sesak dengan kehadiran ahli-ahli politik dan wartawan. Pintu masuk SPRM ditendang dan salah seorang ahli politik, Ronnie Liu berjaya masuk ke dalam pejabat SPRM.

''Untuk menenangkan keadaan, Ronnie Liu dibawa ke bilik pengarah dan Datuk Seri (Abu Kassim) berkata, biar polis jalankan siasatan. Sekiranya pegawai SPRM yang sebabkan kematian saksi, biarlah tindakan diambil,'' katanya lagi.

Prosiding suruhanjaya yang diadakan di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini bersambung esok.

No comments:

Post a Comment