Pegawai SPRM tiada kuasa soal siasat Beng Hock
KUALA LUMPUR 9 Mac - Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Ashraf Mohd. Yunus yang ditugaskan membantu menyoal siasat Teoh Beng Hock pada malam 15 Julai 2009 disahkan tidak mempunyai kuasa yang sah di sisi undang-undang untuk berbuat demikian.
Perkara itu didedahkan dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Kematian Setiausaha Politik Exco Selangor itu oleh peguam yang mewakili Majlis Peguam Malaysia, Edmund Bon berdasarkan hasil siasatan dalaman oleh Jawatankuasa Aduan SPRM.
Beliau yang membacakan laporan bertulis jawatankuasa itu berkata, Mohd. Ashraf dan seorang lagi pegawai penyiasat, Arman Alies tidak mempunyai kuasa di sisi undang-undang sebagaimana yang diperuntukkan mengikut Seksyen 30(8) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
''Mengikut Seksyen 30 Akta SPRM seorang pegawai penyiasat yang melakukan soal siasat perlu juga merekodkan kenyataan daripada saksi yang sama.
''Hasil siasatan, Jawatankuasa Aduan SPRM memutuskan Mohd. Ashraf dan Arman tidak mempunyai kuasa untuk menyoal siasat Beng Hock,'' jelas beliau.
Mohd. Ashraf yang mengaku tidak mengetahui hasil siasatan itu bagaimanapun tidak bersetuju bahawa dia tidak mempunyai kuasa selain menganggap tindakannya itu tidak menyalahi undang-undang.
Saksi ke-20 itu bagaimanapun memberitahu, dia tidak akan patuh pada arahan pegawai atasan sekiranya disuruh melakukan perkara yang sama selepas mengetahui dia tidak mempunyai kuasa.
Terdahulu, Mohd. Ashraf mengaku terdapat beberapa laporan polis dibuat terhadapnya oleh suspek yang pernah disoal siasat, tetapi tidak dapat mengingati jumlah sebenar.
Mendengar jawapan itu, Pengerusi suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen mengingatkan saksi supaya tidak menyembunyikan jumlah sebenar atau beliau akan mendedahkannya.
Cheng Yuen kemudiannya memberitahu, terdapat sembilan laporan polis dibuat terhadap Mohd. Ashraf sambil bertanya sama ada saksi itu menyedari bahawa dia merupakan pegawai SPRM yang menerima aduan paling tinggi berbanding pegawai lain.
Ditanya oleh Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, peguam yang mewakili SPRM, Mohd. Ashraf memberitahu, kesemua laporan itu mendakwa dia menggunakan kekerasan dengan tangan dan objek semasa menyoal siasat suspek.
Dia bagaimanapun menafikan pernah mendera suspek-suspek dan tidak pernah menggunakan sebarang kekerasan terhadap Beng Hock atau menyuruh lelaki itu duduk di atas bongkah ais.
Walaupun telah disoal siasat oleh pihak polis serta dibuat pengecaman oleh pengadu, Mohd. Asraf mengaku tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib atau dituduh di mahkamah.
Sementara itu, berikutan kematian Beng Hock, Mohd. Ashraf memberitahu, dia dan pegawai-pegawai yang terlibat telah disiasat sebagai suspek oleh pihak polis pada malam 17 Julai 2009.
''Sebelum beri keterangan, saya ditemu bual secara berasingan, dirakam percakapan, diberi kertas A4 dan ditunjukkan gambar Beng Hock kerana polis cuba kaitkan saya yang bunuh Beng Hock.
''Selepas itu, saya diminta duduk di bilik mesyuarat dengan pegawai lain pada pukul 5 pagi. Hanya pada pukul 7 pagi, ada pegawai polis datang dan beritahu yang kami dibenarkan pulang,'' jelasnya.
Pada prosiding hari ini, Penolong Kanan Penguasa, Mohd. Nazri Ibrahim yang bertanggungjawab merakamkan kenyataan Beng Hock turut memberi keterangan.
Prosiding suruhanjaya yang diadakan di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini bersambung esok.
Beng Hock, 30, Setiausaha Politik kepada Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, Plaza Masalam, Shah Alam.
Mahkamah Koroner pada 5 Januari lalu memutuskan hasil inkues menyiasat kematian lelaki itu sebagai keputusan terbuka (open verdict).
Wednesday, March 9, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment