Saya akan suruh balik – Saksi
Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 28 Mac – ‘‘Kalau saya tahu perkara ini akan berlaku, by hook or by crook (dengan apa cara sekalipun), saya akan halau dia keluar dari pejabat SPRM, saya akan suruh dia balik terus.’’
Itulah jawapan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Mohd. Nazri Ibrahim apabila ditanya apa tindakan yang akan dilakukan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini sehingga membawa kepada kematian Teoh Beng Hock pada 16 Julai 2009.
Beliau berkata demikian semasa disoal oleh ahli Suruhanjaya Siasatan Kematian Teoh Beng Hock yang juga pakar psikologi forensik, Profesor Mohamed Hatta Shaharom mengenai perkara yang akan dilakukan sekiranya dia mampu mengelakkan insiden yang menimpa Setiausaha Politik Exco Selangor itu.
Bagaimanapun, Mohd. Nazri yang bertanggungjawab merakam kenyataan Beng Hock pada awal pagi hari tersebut memilih untuk bersikap bertimbang rasa dengan membenarkan saksi itu berehat di sofa dan tidak terus pulang walaupun telah diberi kebenaran.
‘‘Selepas selesai rakaman, atas arahan pegawai penyiasat, saya maklumkan pada Beng Hock bahawa dia boleh balik dan bawa semula dokumen-dokumen berkaitan dengan kes.
‘‘Dia tanya, boleh saya berehat sekejap. Saya kata boleh, cuma jangan merayau-rayau dalam pejabat SPRM. Dia kata okay. Saya beritahu, kalau ada apa-apa, berhubung dengan pegawai penyiasat. Selepas itu saya kemas bilik dan ajak rakan sekerja balik bersama-sama,’’ jelas beliau.
Menurut Mohd. Nazri, dia amat terkejut apabila mengetahui Beng Hock ditemui mati pada pukul 2 petang hari yang sama kerana kejadian seumpama itu tidak pernah terjadi serta masih tertanya-tanya sehingga kini bagaimana ia boleh berlaku.
Sekalipun mengakui merupakan orang terakhir bersama Beng Hock dalam urusan siasatan, Mohd. Nazri menolak andaian bahawa dia telah menyebabkan kematian itu kerana tidak pernah berkasar atau memberi tekanan kepada saksi.
Menjawab soalan peguam yang mewakili SPRM, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah berhubung perkataan kebenaran YB (Yang Berhormat) dan arahan YB dalam nota misteri daripada beg sandang Beng Hock, Mohd. Nazri berkata, hanya perkataan 'telah diluluskan oleh YB' direkod beliau daripada saksi pada malam tersebut.
Katanya, rakaman percakapan itu bukan sahaja diteliti semula oleh Beng Hock daripada dokumen di dalam komputer tetapi dibaca sekali lagi selepas ia dicetak sebelum menurunkan tandatangan sebagai pengesahan.
Terdahulu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull hadir untuk memberi keterangan tentang prosedur siasatan serta perintah-perintah tetap dalam agensi tersebut.
Monday, March 28, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment