Tulis semula ID selepas kena virus
Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 14 Mac - Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan bahawa beliau terpaksa menulis semula diari siasatan (ID) berhubung temu bual dengan Teoh Beng Hock pada malam 15 Julai 2009 selepas salinan dalam bentuk perisian hilang apabila komputer riba miliknya diserang virus.
Penolong Penguasa Arman Alies, 35, semasa memberi keterangan dalam prosiding Suruhanjaya Bagi Menyiasat Kematian Setiausaha Politik Exco Selangor itu berkata, ID kedua untuk tujuan simpanan itu ditulis pada Ogos 2010 iaitu kira-kira setahun selepas ID pertama disiapkan.
''ID pertama ditulis pada 18 atau 19 Julai 2009 dan ia dicetak untuk diserahkan kepada Jawatankuasa Aduan SPRM yang menjalankan siasatan dalaman. Apabila diminta buat salinan sekali lagi, ia tak boleh dilakukan sebab komputer diserang virus dan terpaksa format semula.
''Saya tulis semula ID sebab yang asal dalam bentuk 'soft copy' tidak ada dalam simpanan. ID ini yang saya cetak dan serahkan kepada urus setia suruhanjaya selepas diminta berbuat demikian,'' katanya semasa menjawab soalan peguam Edmund Bon.
Ditanya oleh peguam yang mewakili Majlis Peguam Malaysia itu, Arman mengakui terdapat beberapa perbezaan seperti penggunaan perkataan selain pertambahan maklumat dalam ID kedua.
Kata beliau, ia ditulis berdasarkan ingatan serta dengan bantuan maklumat pada beberapa helai lebihan salinan ID pertama.
Antara maklumat yang ditambah ialah semakan atau temu bual terhadap Beng Hock dibuat berhubung penyalahgunaan wang peruntukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan serta penjelasan bahawa tiada sebarang kekerasan digunakan semasa proses tersebut.
''ID kedua dibuat selepas siasatan dalaman Jawatankuasa Aduan SPRM, jadi saya buat lebih terperinci. Tidak ada sebarang kekerasan digunakan semasa temu bual ditambah dalam ID itu untuk elakkan tohmahan,'' jelas beliau.
Diasak bertubi-tubi dengan soalan sehingga saksi tidak sempat menghabiskan jawapan menyebabkan peguam yang mewakili SPRM, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah bangun menegur selain meminta Edmund bertanyakan soalan dengan lebih jelas.
Tindakan Edmund seolah-olah berleter kepada saksi itu juga menyebabkan Pengerusi suruhanjaya, Tan Sri James Foong Chen Yuen dua kali mengingatkan peguam itu agar tidak berbuat demikian.
Semasa ditanya oleh seorang lagi peguam yang mewakili Majlis Peguam Malaysia, Arman menjelaskan ID tidak lagi ditulis di dalam buku atau nota selepas setiap pegawai SPRM dibekalkan dengan komputer riba pada 2002.
Berhubung berita tentang kematian Beng Hock, Arman memberitahu, perkara itu dimaklumkan oleh seorang pegawai SPRM bernama Mohd. Hasan sewaktu dia sedang makan tengah hari pada 16 Julai 2009.
Beliau yang mengaku tidak mengambil sebarang tindakan selepas mendengar berita itu bagaimanapun menafikan kembali ke Plaza Masalam di Shah Alam serta melihat sendiri mayat Beng Hock.
''Mungkin ayat dalam laporan polis itu tidak betul, saya tengok mayat di bawah melalui berita. Saya tak cakap saya balik ke Plaza Masalam pun. Saya tidak kata saya nampak. Saya cuma kata mayat di tingkat bawah.
''Saya juga tidak ada lakukan apa-apa yang salah untuk membuatkan saya rasa takut selepas mendengar berita tentang kematian Beng Hock,'' katanya semasa ditanya sekiranya dia turut merasa bersalah.
Semasa disoal oleh Muhammad Shafee pula, Arman mengakui tiga daripada empat dokumen yang dijumpai dalam komputer riba Beng Hock mengeja perkataan 'pagar' dengan 'pakar' seolah-olah ia disediakan oleh orang yang sama walaupun membabitkan empat syarikat berbeza.
Katanya, Beng Hock juga dilihat sedikit gelisah serta mengambil masa hampir setengah jam untuk menyemak setiap empat fail yang ditunjukkan kepadanya.
Pada prosiding hari ini, suruhanjaya membenarkan permohonan Edmund dan Christopher dengan mengarahkan kedua-dua ID dan komputer riba milik Arman diserahkan kepada penyiasat bebas, Michael Leslie Squires untuk siasatan lanjut.
Begitu juga nombor telefon bimbit dan syarikat telekomunikasi yang digunakan oleh Arman untuk membolehkan panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) pegawai itu diperiksa.
Cheng Yuen bagaimanapun memberi jaminan bahawa hanya maklumat berkaitan yang akan didedahkan.
Berhubung permohonan Muhammad Shafee agar wajah Arman tidak didedahkan memandangkan saksi itu bertugas di Bahagian Perisikan SPRM, beliau hanya menasihatkan agar foto saksi tidak lagi didedahkan kepada umum.
''Rakan-rakan media, SPRM adalah satu organisasi yang menjalankan tugas yang amat penting. Kita di sini bukan untuk memburuk-burukkan SPRM. Bagaimanapun, terma rujukan memerlukan suruhanjaya memberi cadangan untuk memperbaiki dan menambahbaikkan SPRM,'' jelas beliau.
Prosiding suruhanjaya yang diadakan di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini akan bersambung esok.
Beng Hock, 30, Setiausaha Politik kepada Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai 2009 lalu selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, Plaza Masalam.
Mahkamah Koroner pada 5 Januari lalu memutuskan hasil inkues menyiasat kematian lelaki itu sebagai keputusan terbuka (open verdict).
Monday, March 14, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment