Monday, March 21, 2011

‘Pegawai SPRM bertugas 24 jam seperti polis’

‘Pegawai SPRM bertugas 24 jam seperti polis’


2011/03/22
KUALA LUMPUR: Pemangku Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, memberitahu Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Beng Hock pihak SPRM turut menjalankan tugas 24 jam seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hairul Ilham Hamzah memberitahu demikian pada prosiding ketika ditanya peguam yang mewakili SPRM Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah. Muhammad Shafee: “Adakah pegawai SPRM ini diminta menjalankan tugas dalam masa 24 jam seperti pihak polis.” Hairul, saksi ke-22 suruhanjaya itu berkata: “Menjadi kebiasaan pegawai-pegawai SPRM bekerja dari awal pagi hingga larut malam.”

Beliau berkata, kebiasaannya, pegawai membuat kerja di dalam bilik masing-masing.

Ketika disoal Muhammad Shafee bagaimana suasana dan keadaan pada malam 15 Julai dan awal pagi 16 Julai 2009 itu, Hairul berkata:

“Pada malam itu situasi agak sibuk dan terdapat beberapa saksi dipanggil, tetapi selepas jam 12 malam keadaan tidak begitu sibuk dan hanya terdapat tiga saksi di pejabat iaitu Beng Hock, Ahli Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah dan kontraktor Lee Wai Weng yang tiba selepas satu jam.”
Teoh, 30, setiausaha politik kepada anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan itu.

Ketika ditanya Muhammad Shafee yang meminta pandangan beliau (Hairul) mengenai cadangan agar gambar badan saksi diambil depan dan belakang sebelum disoal siasat atau ditemubual.

Hairul: Saya bersetuju tetapi bagi pendapat saya ia perlu mengambil kira sensitiviti saksi, dan ia baik bagi saksi yang berkemungkinan berisiko tinggi.

Hairul turut bersetuju dengan cadangan peguam Muhammad Shafee sekiranya seseorang saksi perlu diberitahu anggaran masa yang diambil ketika dirakam percakapan temu bual yang dijalankan sehingga lewat malam.

“Saya setuju bahawa saksi juga harus diberi peluang untuk menghubungi ahli keluarga untuk memaklumkan keadaan mereka,” katanya.

Ditanya adakah setiap pegawai SPRM diberi kebenaran untuk membawa senjata api ketika operasi, Hairul berkata: “Semua pegawai SPRM diberikan kebenaran membawa senjata api tetapi bagi sesetengah operasi tertentu saja.” – BERNAMA

No comments:

Post a Comment