Tuesday, March 22, 2011

Pegawai SPRM menangis

Pegawai SPRM menangis


2011/03/23


MOHD ANWAR sebak ketika memberi keterangan perbicaraan suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock, semalam.Prosiding berhenti 15 minit beri peluang Mohd Anuar bertenang

KUALA LUMPUR: Seorang Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menitiskan air mata dalam perbicaraan suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

Prosiding diberhentikan kira-kira 15 minit bagi memberi peluang Mohd Anuar Ismail menenangkan diri sebelum menyambung semula keterangannya. Mohd Anuar beremosi sedemikian selepas ditanya berkali-kali berkaitan tindakannya selepas melihat mayat Beng Hock dan perasaannya selepas itu. Beliau yang ditanya anggota suruhanjaya iaitu Pakar Perunding Psikiatri Forensik Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom mengapa beliau menangis memberitahu ia kerana tekanan diterimanya dan SPRM hingga memberi impak yang besar.

“Kes ini yang kita buat ini (suruhanjaya) berkaitan dengan saksi SPRM, kami teruk kena, yang teruk adalah saya sebagai pegawai penyiasat, paling teruk SPRM, kami (SPRM) dalam keadaan sukar, kerja kami teruk hinggakan panggil saksi pun orang tak nak datang.

“Ia beri kesan kepada SPRM,” katanya yang dipanggil sebagai saksi ke-23 dalam prosiding itu.

Sebelum itu, Mohd Anuar berkata beliau terkejut apabila melihat mayat Beng Hock di tingkat lima koridor Plaza Masalam dan beliau diarah ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk berjumpa dengan Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim (ketika itu) bersama Pemangku Penolong Pesuruhjaya SPRM, Hairul Ilham Hamzah.
“Saya amat terkejut (lihat mayat Beng Hock).

“Dia saksi yang bersama dengan saya yang masih hidup sebelum itu dan hari ini (16 Julai 2009), dia dalam keadaan begitu (telah mati). Saya terkejut bagaimana keadaan dia begitu,” katanya.

Katanya, dalam perjalanan ke Putrajaya beliau sempat melahirkan kebimbangannya kerana Beng Hock adalah saksi mereka dan berita menerusi akhbar sejak dua minggu sebelum kejadian menyiarkan gambarnya bersama Beng Hock dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah.

“Kami (beliau dan Hairul Ilham) menjangkakan kemarahan keluarga, rakan sekerja dan kawannya akan ditujukan kepada saya dan SPRM,” katanya.

Ditanya adakah beliau bertanggung jawab di atas kematian Beng Hock, Mohd Anuar berkata: “Tidak, kerana saya melakukan tugas sebaik mungkin dan sama ada saya salah atau tidak saya serah pada panel (suruhanjaya). Kebimbangan saya adalah kerana gambar saya keluar dalam akhbar. Orang mesti akan cari saya.”

Dalam perjalanan ke Putrajaya itu, Mohd Anuar singgah ke rumah selama lima minit untuk menemui isterinya dan memberitahu mengenai kematian Beng Hock dan kebimbangannya.

Katanya perjumpaan itu hanya untuk meluahkan perasaan bimbang dan bukannya kerana rasa bersalah lagipun beliau ingin memberitahu supaya isterinya berhati-hati dan menjaga keselamatan diri dan anak-anak. Prosiding disambung esok. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment