Thursday, January 28, 2010

Suara Keadilan patut dikenakan tindakan menghina mahkamah: Peguam SPRM (29/1/10)

SHAH ALAM: Bukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi akhbar Suara Keadilan yang sepatutnya dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mendedahkan hasil laporan bedah siasat kematian Teoh Beng Hock, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.

Peguam SPRM, Datuk Abdul Razak Musa, berkata tindakan tabloid itu menyiarkan artikel bertajuk "Pornthip Sahkan Beng Hock Dibunuh" pada 29 Disember lalu sudah mendahului mahkamah, sedangkan mahkamah itu belum membuat sebarang keputusan berhubung kematian setiausaha politik berkenaan.

"Pihak yang sebenarnya menghina mahkamah ialah pihak yang mengeluarkan berita itu sedangkan ia (keputusan berhubung kematian Teoh) belum lagi diputuskan," katanya.



Peguam SPRM menghujahkan perkara itu semasa membantah permohonan abang mendiang, Teoh Meng Kee, supaya pegawai SPRM Raub Ghani dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana membuat laporan polis terhadap Dr Pornthip Rajanasunand pada 1 Januari lalu.

Abdul Razak berhujah bahawa Raub membuat laporan polis itu demi menjaga integriti mahkamah dan bukan dengan niat untuk menakut-nakutkan pakar patologi dari Thailand itu daripada memberikan keterangan di mahkamah.

Raub berhak untuk membuat laporan polis kerana mengesyaki ada pihak yang membocorkan maklumat berhubung hasil bedah siasat itu. Tindakannya bukanlah satu perbuatan menghina mahkamah," katanya.

Pada 5 Januari lalu, Meng Kee memfailkan notis usul menghina mahkamah terhadap Raub kerana mendakwa laporan polis oleh pegawai SPRM itu sengaja dibuat bagi menakut-nakutkan dan mengugut Dr Pornthip daripada memberi keterangan berhubung bedah siasat kedua ke atas Beng Hock.

Bagaimanapun, mahkamah pada 15 Januari lalu dimaklumkan peguam Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan bahawa pihak Peguam Negara tidak akan mendakwa Dr Pornthip atas tuduhan membocorkan maklumat laporan forensik kerana tidak terdapat sebarang bukti kukuh bagi menyokong dakwaan itu.

Dalam bantahannya hari ini, Abdul Razak berhujah bahawa Meng Kee tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk membuat permohonan itu kerana Dr Pornthip adalah pihak yang sepatutnya mengemukakan usul tindakan menghina mahkamah itu.

"Bagaimana kita tahu Dr Pornthip benar-benar takut (untuk memberikan keterangan)? Kita tidak ada keterangan atau afidavit daripada Dr Pornthip sendiri, adakah afidavit Meng Kee itu sahaja mencukupi?" katanya.

Beliau juga berkata, Meng Kee sepatutnya mendapatkan kebenaran mahkamah terlebih dahulu untuk memulakan prosiding tindakan menghina mahkamah terhadap Raub seperti diperuntukkan Aturan 34 Kaedah-kaedah Mahkamah Rendah.

Peguam Karpal Singh yang mewakili Meng Kee berkata, sebagai ahli keluarga, anak guamnya adalah pihak berkepentingan dalam kes ini dan mempunyai hak atau locus standi untuk mengemukakan permohonan berkenaan.

Peguam pemerhati keluarga mendiang, Gobind Singh Deo, memohon koroner Azmil Muntapha Abas memanggil Raub ke mahkamah bagi menjelaskan tindakannya membuat laporan polis itu.

"Raub telah membuat laporan polis tanpa asas dan berniat jahat untuk menakut-nakutkan Dr Pornthip. Kami mahu mahkamah memanggilnya supaya dia menjelaskan mengapa dia berbuat demikian," katanya.

Koroner Azmil Muntapha menetapkan 1 Februari depan untuk mendengar hujahan lanjut berhubung isu itu dan berkata beliau akan turut menimbangkan isu sama ada akhbar Suara Keadilan patut dikenakan tindakan menghina mahkamah pada hari itu nanti.

Dalam kejadian 16 Julai tahun lalu, Beng Hock, 30, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di sini selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salah guna peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14, bangunan sama.

Pada 22 November lalu, mahkamah membenarkan permohonan keluarga Beng Hock supaya mayat mendiang digali semula untuk melakukan bedah siasat kedua. - Bernama

Sunday, January 24, 2010

SPRM: Suara Keadilan menghina mahkamah

Jan 22, 10 7:19pm

Bukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi akhbar Suara Keadilan, yang sepatutnya dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mendedahkan hasil laporan bedah siasat kematian Teoh Beng Hock (bawah), Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.


Peguam SPRM Datuk Abdul Razak Musa berkata tindakan tabloid itu menyiarkan artikel bertajuk "Pornthip Sahkan Beng Hock Dibunuh" pada 29 Dis lalu telah mendahului mahkamah, sedangkan mahkamah itu belum membuat sebarang keputusan berhubung kematian setiausaha politik berkenaan.

"Pihak yang sebenarnya menghina mahkamah ialah pihak yang mengeluarkan berita itu sedangkan ia (keputusan berhubung kematian Teoh) belum lagi diputuskan," kata Abdul Razak.

Peguam SPRM menghujahkan perkara itu semasa membantah permohonan abang mendiang, Teoh Meng Kee, supaya pegawai SPRM Raub Ghani dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana membuat laporan polis terhadap Dr Pornthip Rajanasunand (bawah)
pada 1 Jan lalu.

Demi integriti mahkamah


Abdul Razak berhujah bahawa Raub membuat laporan polis itu demi menjaga integriti mahkamah dan bukan dengan niat untuk menakut-nakutkan pakar patologi dari Thailand itu daripada memberikan keterangan di mahkamah.

"Raub berhak untuk membuat laporan polis kerana mengesyaki ada pihak yang membocorkan maklumat berhubung hasil bedah siasat itu. Tindakannya bukanlah satu perbuatan menghina mahkamah," jelas Abdul Razak.

Pada 5 Jan lalu, Meng Kee memfailkan notis usul menghina mahkamah terhadap Raub kerana mendakwa laporan polis oleh pegawai SPRM itu sengaja dibuat bagi menakut-nakutkan dan mengugut Dr Pornthip daripada memberi keterangan berhubung bedah siasat kedua ke atas Beng Hock.

Bagaimanapun, mahkamah pada 15 Jan lalu dimaklumkan peguam Tan Hock Chuan, yang mewakili kerajaan, bahawa pihak Peguam Negara tidak akan mendakwa Dr Pornthip atas tuduhan membocorkan maklumat laporan forensik kerana tidak terdapat sebarang bukti kukuh bagi menyokong dakwaan itu.


Dalam bantahannya, Abdul Razak berhujah bahawa Meng Kee tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk membuat permohonan itu kerana Dr Pornthip adalah pihak yang sepatutnya mengemukakan usul tindakan menghina mahkamah itu.

"Bagaimana kita tahu Dr Pornthip benar-benar takut (untuk memberikan keterangan)? Kita tidak ada keterangan atau afidavit daripada Dr Pornthip sendiri, adakah afidavit Meng Kee itu sahaja mencukupi?" kata Abdul Razak.

- Bernama

Tuesday, January 19, 2010

OKU: Ketua Pesuruhjaya SPRM minta maaf kepada Karpal Singh

| Print | E-mail
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 19 Jan: Ketua Pesuruhajaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamad memohon maaf kepada Karpal Singh berikutan tindakan Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili SPRM dikatakan menghina orang kurang upaya (OKU).

Begitu juga Peguam Kanan Persekutuan Persekutuan yang mengeluarkan kata-kata tidak baik terhadap OKU itu juga difahamkan telah memohon maaf.

Baru-baru ini, seorang Peguam Kanan Persekutuan didakwa mengeluarkan kata-kata menghina ke atas peguam Karpal Singh berkaitan dengan kecacatannya.

Ekoran itu, pelbgai pertubuhan OKU membuat bantahan terhadap penyataan yang dianggap menghina itu. Antaranya bantahan dibuat oleh Badan Latihan & Hidup Berdikari (ILTC), sebuah NGO yang mewakili orang kurang upaya.

(Gambar: Surat ILTC yang dihantar kepada SPRM bagi membantah kenyataan Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili SPRM)

ILTC membantah kenyataan Peguam Kanan Persekutuan berkenaan yang dianggap sebagai menghina OKU apabila beliau menghina Karpal Singh.

Berikut adalah kenyataan penuh SPRM yang dihantar kepada Harakahdaily yang dikeluarkan oleh Ps. Nurhasmah Mohamed Kassim bagi pihak Ketua Unit Komunikasi Korporat SPRM.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
----------------------------------
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merujuk kepada laporan media berhubung kenyataan Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili SPRM dalam satu perbicaraan mahkamah pada 18 Januari 2010.

SPRM dimaklumkan bahawa Peguam Kanan Persekutuan tersebut telah menarik balik kenyataan yang dibuat dan permohonan maaf telah dibuat oleh beliau kepada individu berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM mewakili warga SPRM ingin memohon maaf di atas kenyataan tersebut dan tidak bermaksud untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak dalam perkara ini.

SPRM juga merujuk kepada dakwaan Rakyat Anti-Diskriminasi ke atas OKU Malaysia (MADD) dan Badan Latihan dan Hidup Berdikari (ILTC) yang dikatakan terpaksa menunggu lama untuk menyampaikan memorandum kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM serta ketiadaan pegawai SPRM untuk menerima memorandum tersebut.

Pejabat Ketua Pesuruhjaya SPRM hanya menerima permohonan daripada ILTC berhubung penyerahan memorandum tersebut melalui faksimili jam 10.03 pagi pada 18 Januari 2010. Dalam permohonan tersebut, ILTC meminta Ketua Pesuruhjaya SPRM datang ke Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur untuk menerima memorandum tersebut pada jam 11.30 pagi.

Namun begitu, Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak dapat hadir kerana pada waktu yang sama beliau menghadiri Majlis Perasmian MyID dan Mesyuarat Agensi-Agensi Sektor Awam oleh YAB Timbalan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Walau bagaimanapun, pihak SPRM Wilayah Persekutuan telah diminta untuk menerima memorandum tersebut bagi pihak Ketua Pesuruhjaya.

SPRM memohon maaf di atas segala kesulitan yang dilalui oleh pihak MADD dan ILTC dan akan memastikan perkara ini tidak berulang lagi.

IBU PEJABAT
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA, PUTRAJAYA
19 JANUARI 2010

Friday, January 15, 2010

Tidak dakwa Dr Pornthip (16/1/10)

Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com.my
SHAH ALAM: Peguam Negara tidak akan mendakwa pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand berhubung tuduhan membocorkan maklumat laporan bedah siasat kedua Teoh Beng Hock kepada akhbar Suara Keadilan, kerana tiada bukti menyokong dakwaan itu.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Tan Hock Chuan yang mewakili Kerajaan Malaysia dalam prosiding inkues bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock di Mahkamah Koroner di sini, semalam.

Tan berkata, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sudah meneliti kertas siasatan yang diserahkan polis tengah hari kelmarin, dan mendapati tiada asas dan bukti kukuh menunjukkan Dr Pornthip mendedahkan laporan itu.



Katanya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberi jaminan pihaknya tidak akan menahan atau mengganggu Dr Pornthip, dan bebas datang ke mahkamah untuk memberi keterangan berhubung laporan bedah siasat itu.

Tan memaklumkan perkara itu sebelum mahkamah mendengar prosiding permohonan tindakan menghina mahkamah terhadap pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raub Ghani, 41, yang membuat laporan polis terhadap Pornthip pada 1 Januari lalu.

Raub bersama Hisyam Mohd Yusoff, 30, membuat laporan polis berhubung artikel bertajuk: ‘Pornthip sahkan Beng Hock dibunuh’ yang disiarkan Suara Keadilan pada 29 Disember 2009.

Pada 5 Januari lalu, abang Teoh, Meng Kee melalui peguamnya Karpal Singh, memfailkan notis usul supaya Raub dikenakan tindakan menghina mahkamah dan semalam, ditetapkan untuk mendengar hujahan berhubungnya.

Koroner Azmil Muntapha Abas menyarankan prosiding menghina mahkamah tidak diteruskan selepas Peguam Negara dan Ketua Polis Negara memberi jaminan, tidak akan menahan Dr Pornthip.

Karpal bagaimanapun mengemukakan bantahan atas alasan Raub perlu dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana pegawai itu dengan sengaja membuat laporan polis yang tidak berasas dan palsu.

“Peguam Negara sendiri menyatakan tiada bukti menyokong dakwaan terhadap Dr Pornthip, ini jelas menunjukkan pegawai SPRM itu tidak bertanggungjawab dan sengaja membuat laporan polis palsu,” katanya.

“Ia satu kesalahan serius dan kami mahu dia dikenakan tindakan menghina mahkamah, disabitkan dan dihukum penjara,” katanya.

Azmil menetapkan 22 Februari ini untuk mendengar hujahan sama ada prosiding menghina mahkamah perlu diteruskan, sebelum prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Teoh yang terhenti sejak November lalu, diteruskan semula.

Mahkamah kecoh isu persenda Karpal Singh (16/1/10)

SHAH ALAM: Prosiding inkues Teoh Beng Hock di Mahkamah Koroner di sini semalam, menjadi tegang apabila Ketua Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa hampir dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mempersendakan ketidakupayaan fizikal peguam Karpal Singh, yang berkerusi roda.

Abdul Razak yang sebelum itu beberapa kali diminta Karpal supaya duduk ketika ingin mengemukakan bantahan, secara spontan berkata: “Saya boleh duduk tetapi kamu tidak boleh berdiri.”

Kenyataan Abdul Razak itu menyebabkan pertikaman lidah serta menimbulkan kemarahan Karpal dan anaknya, Gobind Singh yang mendesak mahkamah mengeluarkan perintah menghina mahkamah terhadap Abdul Razak.



Abdul Razak membuat komen itu selepas Karpal, yang mewakili abang Teoh, Meng Kee, menghalangnya daripada membuat bantahan terhadap kenyataan Karpal yang mendakwa Teoh mati dibunuh dan ada kemungkinan pegawai SPRM turut terbabit.

Gobind berkata: “Jangan kurang ajar! Kamu patut rasa malu kerana menghina orang kurang upaya. Saya mahu kamu tarik balik kata-kata kamu dan minta maaf.”

Abdul Razak bagaimanapun menjelaskan: “Saya sudah membuat bantahan dua kali tetapi saya disuruh duduk. Saya minta maaf jika ia menyentuh perasaan Karpal.”

Koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan Abdul Razak tidak perlu dikenakan tindakan menghina mahkamah selepas menerima permohonan maaf peguam itu, selain memberi amaran kepadanya supaya tidak mengulanginya.

Tiada bukti bocor maklumat

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 15 Jan. - Kebimbangan pakar patologi dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand akan didakwa berikutan penyiaran artikel berhubung hasil bedah siasat kedua Teoh Beng Hock berakhir apabila Peguam Negara mengesahkan tiada sebarang asas untuk mengheretnya ke mahkamah.

Peguam yang dilantik oleh kerajaan, Tan Hock Chuan dalam prosiding inkues di Mahkamah Koroner di sini hari ini memaklumkan bahawa Tan Sri Abdul Gani Patail yang meneliti kertas siasatan mendapati tiada bukti Pornthip membocorkan maklumat itu.

Katanya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan juga memberi jaminan bahawa Pornthip tidak akan ditahan atau disoal siasat berhubung laporan polis yang dibuat oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raub Ghani terhadapnya.

Sehubungan itu, jelas beliau, saksi tersebut berpeluang hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan berhubung hasil bedah siasat kedua mayat Beng Hock tanpa sebarang ancaman atau gangguan.

''Kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara semalam. Peguam Negara telah teliti dan mendapati tiada bukti menunjukkan Pornthip membocorkan sebarang maklumat yang membawa kepada penyiaran artikel di akhbar Suara Keadilan.

''Jadi, tiada sebarang asas untuk membuat dakwaan terhadap Pornthip,'' katanya.

Sementara itu, Koroner Azmil Muntapa Abas, menyarankan perbicaraan permohonan abang Beng Hock, Teoh Meng Kee agar Raub dikenakan tindakan menghina mahkamah yang dijadualkan hari ini tidak dipanjangkan lagi.

Katanya, ia bertujuan membolehkan prosiding inkues diteruskan dengan keterangan oleh saksi-saksi termasuk Pornthip memandangkan beliau telah diberi jaminan tidak akan ditahan atau didakwa.

Saranan itu bagaimanapun dibantah oleh peguam yang mewakili keluarga Beng Hock, Karpal Singh dengan alasan perbuatan mengugut dan mengancam saksi telah pun dilakukan oleh Raub melalui laporan polis tersebut.

Katanya, pegawai SPRM itu telah melakukan kesalahan serius dan boleh didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Pelarian dan Ancaman Secara Jenayah Saksi 1947.

Bantahan itu disokong oleh peguam Gobind Singh Deo dan peguam yang mewakili kerajaan negeri Selangor, Malik Imtiaz Sarwar.

Dalam prosiding hari ini, Karpal turut memohon agar Datuk Abdul Razak Musa dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mengeluarkan komen menyentuh keadaan fizikalnya yang tidak mampu berdiri.

Komen tersebut dibuat Ketua Bahagian Pendakwaan Undang-Undang SPRM semasa kedua-duanya bertikam lidah apabila Karpal berkali-kali menyuruh beliau duduk.

Abdul Razak bangun untuk membantah kenyataan Karpal bahawa Beng Hock telah dibunuh dengan kejam memandangkan ia masih belum terbukti.

Kata-kata: ''Saya akan duduk, tapi kamu tak boleh berdiri'' itu turut membangkitkan kemarahan Gobind sehingga beliau mendesak Abdul Razak dipenjara kerana mempersendakan seorang peguam berpengalaman.

Karpal kini berkerusi roda setelah teksi yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu.

Azmil bagaimanapun menolak permohonan tersebut dan hanya memberi peringatan kepada Abdul Razak kerana beliau telah memohon maaf tanpa syarat.

Beliau kemudiannya menetapkan 22 Januari ini untuk pihak-pihak berhujah sama ada laporan polis yang dibuat oleh Raub mempunyai elemen menghina mahkamah.

Pada 1 Januari lalu, dua pegawai SPRM, Raub dan Hisyam Mohd. Yusoff membuat laporan polis terhadap akhbar Suara Keadilan dan Pornthip di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Kedua-dua laporan dibuat berdasarkan artikel bertajuk 'Pornthip sahkan Beng Hock dibunuh' yang disiarkan dalam akhbar tersebut bertarikh 29 Disember hingga 5 Januari 2010.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Peguam SPRM hampir kena tindakan hina mahkamah

Jan 15, 10 5:02pm

Prosiding inkues setiausaha politik Teoh Beng Hock di Shah Alam hari ini menjadi tegang apabila peguam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hampir dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mempersenda ketidakupayaan fizikal peguam Karpal Singh.

Dalam prosiding itu, Datuk Abdul Razak Musa, mewakili SPRM, telah berkata "saya boleh duduk tetapi kamu tidak boleh berdiri" kepada Karpal yang berkerusi roda.

Kenyataan itu mencetuskan pertikaman lidah serta menimbulkan kemarahan Karpal dan anaknya Gobind Singh dan mendesak mahkamah untuk mengeluarkan perintah terhadap Abdul Razak kerana menghina.

Koroner Azmil Muntapha Abas bagaimanapun memutuskan tidak mengenakan perintah ke atas Abdul Razak kerana menghina setelah mahkamah menerima permohonan maaf peguam itu dan memberi peringatan supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Abdul Razak mengeluarkan komen tersebut setelah Karpal, yang mewakili abang mendiang, Teoh Meng Kee, menghalangnya beberapa kali daripada membuat bantahan dan mengarahkannya duduk.

Abdul Razak ingin membuat bantahan terhadap kenyataan Karpal yang mendakwa Teoh mati dibunuh dan terdapat kemungkinan penglibatan pegawai-pegawai SPRM dalam kejadian itu.

Karpal bagaimanapun enggan menerima permohonan maaf itu dan mendakwa ia dibuat dengan tidak ikhlas, serta mendesak koroner supaya mengeluarkan perintah 'kerana menghina mahkamah'.

Koroner Azmil sebaliknya hanya memberikan peringatan kepada Abdul Razak dan mengarahkan supaya prosiding inkues diteruskan dengan mendengar hujah Karpal berhubung permohonannya untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap dua pegawai SPRM.

Karpal yang tidak berpuas hati dengan keputusan koroner itu enggan meneruskan prosiding inkues.

Beliau memohon supaya Abdul Razak dikenakan denda RM150 dan penjara sehari kerana kesalahan menghina mahkamah di bawah Akta Mahkamah Rendah 1948.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar, bagi pihak kerajaan Selangor, berkata mahkamah patut mengambil berat isu tersebut kerana ia menyentuh sikap Abdul Razak yang tidak sensitif ketika mengeluarkan komen tersebut.

Prosiding inkues bagi menyiasat kematian Teoh bersambung Jumaat depan.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada pengerusi jawatankuasa tetap kampung baru dan pengurusan kilang haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai tahun lepas di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan salah guna wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di bangunan sama.

- Bernama

Thursday, January 14, 2010

Tiada bukti Dr Pornthip bocorkan laporan bedah siasat Beng Hock (15/1/10)

SHAH ALAM: Peguam Negara tidak akan mendakwa pakar patologi Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand, atas kesalahan membocorkan maklumat laporan bedah siasat Teoh Beng Hock kerana tiada bukti untuk mengokong dakwaan itu.

Perkara itu diberitahu Peguam Tan Hock Chuan yang mewakili Kerajaan Malaysia bagi inkues kematian Teoh Beng Hock, di sini, pagi ini.

Tan berkata, selepas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail meneliti kertas siasatan polis, beliau mendapati tiada bukti Dr Pornthip mendedahkan laporan itu kepada akhbar tabliod, Suara Keadilan.



Sehubungan itu, katanya, polis turut memberi jaminan tidak akan menahan Dr Pornthip dan beliau boleh datang ke mahkamah untuk memberi keterangan berhubung laporan besah siasatan yang dibuatnya.

Inkues: Tiada bukti Pornthip bocor maklumat bedah siasat Beng Hock

15/01/2010 11:31am


KUALA LUMPUR 15 Jan. – Hasil siasatan polis mengesahkan tiada sebarang bukti menunjukkan bahawa pakar forensik Dr. Pornthip Rojanasunand telah membocorkan maklumat berhubung hasil bedah siasat kedua mendiang Teoh Beng Hock kepada Suara Keadilan.

Peguam yang dilantik oleh kerajaan, Tan Hock Chuan dalam prosiding inkues hari ini berkata, Peguam Negara telah meneliti kertas siasatan dan memaklumkan pihaknya tiada sebarang asas untuk mendakwa Pornthip bagi kesalahan itu.

Kata Hock Chuan, polis turut memberi jaminan bahawa Pornthip tidak akan ditahan atau disoal siasat apabila beliau hadir untuk memberi keterangan kelak. - Utusan

AG: Dr Pornthip tak buat salah

Hafiz Yatim
Jan 15, 10
11:14am

Pakar patologi terkemuka, Dr Pornthip Rojanasunand - saksi penting dalam inkues Teoh Beng Hock - tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung dakwaan berlaku kebocoran hasil laporan bedahsiasat kedua.


Peguam Tan Hock Chuan yang mewakili pejabat peguam negara, memberitahu koroner coroner Azmil Muntapha Abas (kiri) demikian dalam inkues kematian Teoh hari ini.

"Kertas siasatan telah diserahkan kepada pejabat AG dan peguam negara, Tan Seri Abdul Gani Patail meminta saya mengumumkan bahawa Dr Pornthip tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Tidak ada tuduhan yang akan dibuat terhadap Dr Pornthip," katanya.

Menurutnya lagi, polis juga mendapati Dr Pornthip tidak melakukan sebarang kesalahan.

Kontroversi yang mengaitkan Dr Pornthip dengan kebocoran hasil laporan bedahsiasat kedua itu, timbul selepas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan terhadap pakar patologi Thailand itu pada 1 Januari lalu.


Pegawai SPRM itu, Raub Ghani, telah membuat laporan berhubung satu artikel dalam akhbar PKR - Suara Keadilan - yang memetik seorang pegawai kementerian kesihatan bahawa Dr Pornthip telah mengesahkan bahawa Teoh telah dibunuh.

Keluarta Teoh telah mempersoalkan tindakan Raub membuat laporan polis terhadap Dr Pornthip dan kemudiannya memfailkan permohonan menghina mahkamah terhadap pegawai SPRM itu. Permohonan tersebut sedang didengar di hadapan Azmil hari ini.

Teoh, 30, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas dia memberi kenyataan sebagai saksi dalam siasatan dakwaan salahguna peruntukan ADUN di Selangor, di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan yang sama pada 16 Julai tahun lalu.

Sementara itu, berlaku perang mulut antara penguam Karpal Singh yang mewakili keluarga Teoh dengan peguam Datuk Abdul Razak Musa yang mewakili SPRM ketika koroner berhubung permohonan menghina mahkamah terhadap Raub itu.

Wednesday, January 13, 2010

Pegawai SPRM kena tindakan hina mahkamah

Jan 7, 10 11:05am

kemaskini 5.42pm Laporan polis yang dibuat seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, menjadi isu yang mengundang ketegangan dalam prosiding inkues Teoh Beng Hock di Mahkamah Koroner Shah Alam.

Peguam Karpal Singh yang mewakili abang Beng Hock, Teoh Meng Kee, mendakwa laporan polis itu sengaja dibuat bagi menakut-nakutkan dan mengugut Dr Pornthip daripada memberi keterangan berhubung bedah siasat kedua ke atas Beng Hock baru-baru ini.

Katanya, mahkamah perlu mendengar permohonan Meng Kee yang memfailkan usul pada Selasa lepas, supaya pegawai SPRM Raub Ghani dikenakan tindakan menghina mahkamah dahulu, sebelum meneruskan prosiding.

Karpal berkata Dr Porntip memerlukan satu jaminan agar beliau tidak ditangkap oleh pihak imigresen ketika tiba di negara ini.

Koroner Azmil Muntapha Abas pada awalnya tidak bersetuju dengan cadangan Karpal untuk mendengar permohonan itu kerana berpendapat ia adalah isu luar daripada inkues dan berhasrat meneruskan prosiding dengan menetapkan tarikh untuk membolehkan doktor yang terlibat dalam bedah siasat kedua memberi keterangan.

Bagaimanapun ekoran desakan daripada Karpal dan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh, beliau akhirnya bersetuju dan menetapkan 15 Jan untuk mendengar hujahan.

Katanya, prosiding inkues akan disambung semula selepas kesemua pihak berhujah.

Mereka yang terbabit dalam bedah sisat kedua adalah Ketua Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor, Dr Prashant Naresh Samberkar dan Dr Khairul Azman Ibrahim manakala pakar patologi, K Saravanan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, ditugaskan merakamkan gambar bedah siasat itu.

Pemerhati pakar forensik bebas Prof Dr Peter Vanezis dari United Kingdom mewakili SPRM dan Dr Porntip mewakili kerajaan Selangor.

Pada pagi ini hanya laporan daripada Dr Shahidan diserah kepada mahkamah.

Terdahulu peguam SPRM Datuk Abdul Razak Musa membantah permohonan Gobind kerana laporan polis itu dikatakan dibuat atas kapasiti peribadi dan bukannya SPRM.

Penegasan Abdul Razak itu ditempelak Karpal dengan mendakwa ia adalah sesuatu yang mustahil kerana Raub membuat laporan itu bagi pihak SPRM.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili kerajaan Selangor, juga menegaskan perkara yang sama dan pihaknya meminta SPRM menyerahkan salinan laporan polis itu secepat mungkin bagi membolehkan semua pihak berhujah.

Katanya, Dr Porntip berhak untuk tahu apa yang akan berlaku sekiranya beliau datang ke negara ini dan beliau juga boleh melantik peguam yang boleh membantunya menghadapi situasi sekarang dan sekurang-kurangnya pihak Peguam Negara boleh memberi jaminan penangkapan tidak akan berlaku.

Karpal berkata permohonan itu dibuat mengikut Perkara 26, Jadual Ketiga Akta Mahkamah-mahkamah Rendah 1948 dan Dr Pornthip perlu dibenarkan memberikan keterangan tanpa sebarang ancaman daripada mana-mana pihak.

Di akhir prosiding, Abdul Razak berkata beliau akan memaklumkan perkara tersebut kepada pihak terbabit dan bersedia menyerahkan laporan polis yang telah dibuat itu bagi mengetahui sejauh mana ia menimbulkan unsur ketakutan ke atas Dr
Porntip.

Pada 1 Jan lepas, Raub dan seorang lagi pegawai SPRM Hisyam Mohd Yusoff membuat laporan polis berhubung satu laporan akhbar tabloid tempatan Suara Keadilan yang bertajuk 'Pornthip sahkan Beng Hock dibunuh'.

Hisyam, dari Cawangan Siasatan Putrajaya mendakwa akhbar itu menyiarkan satu berita yang dianggapnya subjudis, melampaui kuasa satu inkues sedang berlangsung, manakala Raub yang juga dari cawangan yang sama membuat laporan polis mengenai tindakan pakar patologi itu yang beliau syaki membocorkan maklumat mengenai laporan forensik kepada pihak yang tidak sepatutnya.

- Bernama

Akhbar PKR disiasat dakwa Teoh dibunuh

Salhan K Ahmad
Jan 6, 10
2:18pm

Pengarang akhbar rasmi PKR Suara Keadilan memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam berhubung siasatan terhadap berita 'Pornthip sahkan Beng Hock dibunuh'.

Dzulkarnain Taib berada kira-kira sejam di IPD tersebut sejak jam 1.30 tengah hari, dengan ditemani peguamnnya Ranjit Singh.


Sekumpulan wartawan telah sedia menunggu ketibaan Dzulkarnain di situ sejak jam 1 tengah hari lagi.

Dzulkarnain (kanan) disiasat ekoran aduan polis yang dibuat oleh dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jumaat lalu.

Pegawai SPRM Cawangan Siasatan Putrajaya, Hisyam Mohd Yusoff, berbuat demikian dengan dakwaan tabloid itu menyiarkan berita yang subjudis, melampaui kuasa inkues Teoh Beng Hock yang sedang berlangsung.

Inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam akan bersambung esok.

Seorang lagi pegawai SPRM Raub Ghani, juga dari cawangan yang sama, membuat aduan polis agar pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, disiasat kerana disyaki membocorkan maklumat laporan bedah siasat kedua, 22 November lalu, kepada pihak tidak sewajarnya.

Berita itu, menurut aduan Hisyam, yang dimuatkan dalam edisi 29 Disember 2009 - 5 Jan 2010 membuat kesimpulan bahawa bekas setiausaha politik exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, mati dibunuh.

Sementara itu, dalam aduannya, Raub pula menyifatkan pembocoran maklumat laporan forensik itu "akan memburukkan lagi imej SPRM."

Bercakap kepada media sejurus selesai soal siasat tersebut pada kira-kira jam 2.30 petang, Dzulkarnain berkata, beliau akan terus menulis mengenai isu Teoh kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Ditanya sama ada siasatan tersebut memberikan tekanan kepadanya, beliau enggan mengulas tetapi menganggapnya sebagai "prosedur biasa."

Dzulkarnain juga yakin bahawa tulisannya dalam akhbar mingguan tersebut tidak mempengaruhi perjalanan inkues Teoh.

"Saya yakin tidak," katanya.

Tambahnya, beliau memberikan kerjasama penuh kepada polis dengan menjawab semua soalan yang diajukan. Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan soalan-soalan tersebut.

Sementara Ranjit (foto, baju putih) pula berkata, beliau tidak pasti anak guamnya disiasat berdasarkan akta apa kerana mereka tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

Tambahnya, jika tulisan itu dianggap subjudis semata-mata, anak guamnya tidak boleh didakwa di mahkamah.

"Bagi kami tidak boleh (didakwa), tetapi itu bergantung kepada pihak polis dan peguam negara," katanya.

Editor akhbar PKR disiasat berita 'Teoh dibunuh'

Salhan K Ahmad
Jan 5, 10
3:57pm

Pengarang akhbar rasmi PKR Suara Keadilan dijangka memberikan keterangan kepada polis esok berhubung siasatan berita 'Pornthip sahkan Beng Hock dibunuh'.

Dzulkarnain Taib dijadual hadir ibu pejabat polis daerah Shah Alam jam 1 tengah hari susulan aduan polis dua anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM, Jumaat lalu.

Pegawai SPRM Cawangan Siasatan Putrajaya, Hisyam Mohd Yusoff, membuat laporan polis terhadap tabloid itu dengan dakwaan ia menyiarkan berita yang subjudis, melampaui kuasa inkues Teoh Beng Hock yang sedang berlangsung.

Raub Ghani, juga dari cawangan yang sama, membuat laporan polis mengenai tindakan pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, yang beliau syaki membocorkan maklumat mengenai laporan forensik kepada pihak yang tidak sewajarnya.

Dalam aduannya, Hisyam berkata laporan itu dibuat selepas membaca akhbar itu yang bertarikh 29 Dis 2009 - 5 Jan 2010 dan mendapati berita berkenaan membuat kesimpulan bahawa bekas setiausaha politik exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, mati akibat dibunuh.

Teoh yang ditemui mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai lepas disahkan mati dibunuh berdasarkan bedah siasat kali kedua ke atas mayat mendiang yang dijalankan di Hospital Sungai Buloh (HSB), 22 November lepas, kata Hisyam dalam aduannya itu.

Sementara itu, dalam aduannya, Raub pula mengesyaki Dr Pornthip membocorkan maklumat laporan forensik kepada pihak tidak sepatutnya dan "perbuatan ini akan memburukkan lagi imej SPRM."

Kes Teoh: Pegawai SPRM didakwa hina mahkamah

Jan 5, 10 3:31pm

Keluarga Teoh Beng Hock hari ini memfailkan permohonan untuk mendakwa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raub Ghani, sebagai menghina mahkamah kerana membuat laporan polis terhadap pakar patologi Dr Pornthip Rojasunand.

Permohonan itu difailkan oleh peguam mereka, Gobind Singh Deo di Mahkamah Majistret Shah Alam petang ini.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Gobind menggesa peguam negara supaya menyokong permohonan yang dibuat terhadap pegawai SPRM berkenaan

"Kita juga tidak mahu isu-isu lain timbul yang melambatkan inkues punca kematian Teoh," katanya. Inkues tersebut akan disebut pada 7 Januari untuk satu tarikh baru.

Turut hadir ialah peguam Karpal Singh yang berkata laporan polis yang dibuat oleh Raub terhadap Dr Pornthip adalah satu ugutan jenayah terhadap saksi tersebut.

"Mahkamah mesti menghukumnya kerana menghina inkues tersebut," tambahnya.

Dalam laporannya, kata Karpal, Raub mendakwa Pornthip telah membocorkan butiran laporan bedah siasat kedua.

Beliau juga menggesa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail supaya mengambil tindakan terhadap pegawai SPRM itu kerana melakukan ugutan jenayah.

Polis buat laporan kedua terhadap exco S'gor

Jan 5, 10 11:58am

Satu lagi laporan polis dibuat terhadap ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah pagi ini selepas seorang pegawai polis mendakwa dia terpaksa "merampas" satu kenyataan media dari Ean yang juga exco kerajaan Selangor.

Bagaimanapun, Ean berkeras bahawa dia dengan sukarela menyerahkan kenyataan media itu kepada ASP Ahmad Fauzi Mohamed Zin dari ibupejabat polis daerah Shah Alam ketika dia disoalsiasat pagi ini.


Ean diarahkan hadir berhubung siasatan mengenai kenyataan media yang dibuatnya baru-baru ini, yang dianggap seolah-olah cuba menakut-nakutkan polis.

Sebelum ini satu laporan polis telah dibuat terhadap Ean yang juga pengerusi DAP Selangor berhubung kenyataannya yang secara terbuka meminta polis menghentikan siasatan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung dakwaan hasutan.

Ean yang juga pengerusi DAP Selangor, ditemani oleh peguamnya yang juga ahli parlimen Segambut, Lim Lip Eng untuk memberi kenyataan polis.

Dalam surat yang mengarahkan dia hadir pagi ini, Ean diingatkan bahawa dia boleh ditangkap di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 jika gagal berbuat demikian.

Difahamkan polis sedang menyiasatnya di bawah Seksyen 506 (menakutkan secara jenayah)
Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Polis juga menyiasat Guan Eng kerana mendakwa dalam ucapannya di Konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam pada 19 Disember lalu, bahawa Teoh Beng Hock - yang ditemui mati selepas jatuh di Plaza Masalam di Shah Alam - telah dibunuh.

Teoh adalah setiausaha politik Ean.

Abu Kassim angkat sumpah terajui SPRM

Jan 4, 10 12:21pm

Datuk Abu Kassim Mohamed hari ini mengangkat sumpah sebagai ketua pesuruhjaya baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Abu Kassim, 48, menerima surat pelantikannya dari Yang di-Pertuan Agong.


Beliau menggantikan Datuk Ahmad Said Hamdan yang sebelum ini memohon untuk mempercepatkan tempoh tamat kontrak perkhidmatannya - dari 25 Mei 2010 kepada 31 Disember 2009, lapor Bernama.

Abu Kassim mewarisi SPRM yang reputasinya tercemar ekoran kematian Teoh Beng Hock tahun lalu.

SPRM turut dikecam kerana didakwa mengamalkan dwi-standard apabila menyiasat ahli politik BN dan Pakatan Rakyat.

Abu Kassim adalah lulusan ijazah sains social dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan ijazah sarjana dalam keadilan jenayah dari Michigan State University, Amerika Syarikat.

Beliau menyertai Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1 September 1984 sebagai pegawai penyiasat. BPR kemudiannya ditukar namanya kepada SPRM tahun lalu.

Abu Kassim juga pernah berkhidmat sebagai pengarah perancangan dan penyelaras dasar di ibupejabat BPR, pengarah BPR Perak dan Pulau Pinang, pengarah Akademi Anti-Rasuah Malaysia dan pernah dipinjamkan ke Amanah Raya Berhad sebagai ketua bahagian integriti.

Beliau dilantik sebagai timbalan ketua pengarah (operasi) BPR pada 1 Januari 2001 dan kemudiannya berikutan penguatkuasaan akta baru pada 1 Januari 2009, beliau dilantik sebagai timbalan ketua pesuruhjaya SPRM.

Peguam: Pornthip mungkin tarik diri

Rahmah Ghazali
Jan 2, 10
8:02pm

Peguam yang terbabit dengan inkues kematian Teoh Beng Hock, bimbang pakar patologi Thai, Dr Pornthip Rojanasunand mungkin menarik dari dari kes tersebut ekoran laporan polis yang dibuat terhadapnya semalam.

Bercakap kepada pemberita di Medan Damansara, peguam yang mewakili kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sawar juga menyifatkan laporan polis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) semalam sebagai tidak mempunyai asas sewajarnya.

Semalam, dua pegawai SPRM membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Shah Alam terhadap akhbar tabloid "Suara Keadilan" dan Dr Pornthip berhubung satu artikel yang mendakwa kononnya pakar patalogi itu telah mengesahkan punca kematian setiausaha politik, Teoh Beng Hock, yang telah disoal siasat oleh SPRM, adalah dibunuh.

Bagaimanapun, menurut Malik, Pornthip telah menafikan dakwaan bahawa beliau telah membocorkan laporan bedah siasat kedua.

Malik berkata, Suara Keadilan hanya menyebut dikatakan Dr Pornthip akan mengesahkan pendirian awalnya di inkues tersebut.

Akhbar tersebut, katanya, tidak sama sekali menyebut bahawa Pornthip mendedahkan sebarang maklamut dan malah ia menyatakan bahawa sumber maklumat yang ditulis itu bukanlah Dr Pornthip.

DAP selar SPRM buat laporan polis pada Dr Pornthip

Jan 2, 10 6:50pm

DAP hari ini menyelar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana membuat laporan polis terhadap pakar patalogi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand.

Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng berkata ini merupakan pertama kali dalam sejarah Malaysia tuduhan dilemparkan terhadap seorang pakar patalogi kerana menjalankan tugasnya.

"Saya terkejut apabila mendapat tahu SPRM membuat laporan polis terhadap Dr Pornthip yang hanya berada di Pulau Pinang untuk menjalankan tugas bagi mencari kebenaran," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen "Tiada Beg Plastik pada Isnin, Selasa dan Rabu" di Komtar hari ini, lapor Bernama.

Semalam, dua pegawai SPRM membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Shah Alam terhadap akhbar tabloid "Suara Keadilan" dan Dr Pornthip berhubung satu artikel yang mendakwa kononnya pakar patalogi itu telah mengesahkan punca kematian setiausaha politik, Teoh Beng Hock, yang telah disoal siasat oleh SPRM, adalah dibunuh.

Lim berkata tindakan SPRM itu akan dilihat sebagai usaha memberikan tekanan terhadap pakar patalogi itu bagi menyembunyikan kebenaran.

Pada 16 Julai tahun lepas, Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima, Plaza Masalam di Shah Alam, Selangor selepas memberikan kenyataan sebagai saksi berhubung penyalahgunaan
peruntukan kerajaan oleh wakil rakyat di Selangor, di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, bangunan yang sama.

Inkues mengenai punca kematiannya sedang berlangsung di Mahkamah Koroner.

Aduan polis terhadap berita 'Beng Hock dibunuh'

Jan 1, 10 6:40pm

Dua anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membuat laporan polis berhubung satu laporan akhbar rasmi PKR Suara Keadilan yang bertajuk 'Pornthip sahkan Beng Hock dibunuh'.

Pegawai SPRM Cawangan Siasatan Putrajaya Hisyam Mohd Yusoff, 30, membuat laporan polis terhadap tabloid itu yang menyiarkan satu berita yang dianggapnya subjudis, melampaui kuasa satu inkues sedang berlangsung.

Manakala Raub Ghani, 41, juga dari cawangan yang sama membuat laporan polis mengenai tindakan pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, yang beliau syaki membocorkan maklumat mengenai laporan forensik kepada pihak yang tidak sepatutnya.

Kedua-dua mereka membuat laporan itu di ibu pejabat polis daerah Shah Alam kira-kira pukul 10.30 pagi.

Menurut laporan polis, yang salinannya turut diedar kepada pemberita di sini, Hisyam berkata laporan itu dibuat selepas beliau membaca akhbar itu yang bertarikh 29 Dis 2009 - 5 Jan 2010 bilangan 213 itu semalam, dan mendapati artikel berkenaan membuat kesimpulan bahawa setiausaha politik kepada seorang exco Selangor, Teoh Beng Hock, mati akibat dibunuh.

Dalam laporannya Hisham berkata berdasarkan artikel itu, Teoh yang ditemui mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai lepas disahkan mati dibunuh berdasarkan bedah siasat kali kedua ke atas mayat mendiang yang dijalankan di Hospital Sungai Buloh (HSB), 22 November lepas.

"Saya sebagai salah seorang pegawai SPRM memohon polis membuat siasatan terperinci berhubung penyiaran artikel oleh Suara Keadilan itu kerana saya merasakan bahawa apa yang disebarkannya adalah satu tindakan subjudis dan melampaui kuasa inkues yang masih lagi berjalan pada masa ini," menurutnya dalam laporan itu.

"Malah ia juga selaras dengan peringatan oleh ketua polis Selangor yang melarang mana-mana pihak membincangkan kes berkaitan Teoh Beng Hock itu," tambahnya.

Sementara itu dalam laporan Raub yang merujuk kepada artikel sama berkata, beliau membuat aduan polis terhadap Dr Pornthip kerana mengesyaki pakar itu membocorkan maklumat laporan forensik kepada pihak yang tidak sepatutnya.

"Tujuan laporan ini dibuat kerana perbuatan yang dilakukan oleh Dr Pornthip adalah perbuatan yang melampaui keputusan mahkamah dan perbuatan ini akan memburukkan lagi imej SPRM, dan orang ramai perlu bersabar menunggu keputusan mahkamah," katanya.

Wartawan akan disiasat

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar ketika dihubungi berkata beliau akan memanggil wartawan Suara Keadilan yang menulis artikel itu tidak lama lagi bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian 16 Julai lepas, setiausaha politik Ean Yong Hian Wah ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salah guna peruntukan ADUN Selangor di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14, bangunan yang sama.

Mayat Teoh, 30, dikebumikan empat hari kemudian di Nirwana Memorial Park, Semenyih, Selangor dan digali semula empat bulan selepas itu apabila Mahkamah Koroner Shah Alam membenarkan bedah siasat kedua dijalankan pada 22 November lepas.

Bedah siasat kedua dikendalikan oleh Ketua Unit Patologi HSB Dr Shahidan Md Noor dengan dihadiri oleh Dr Pornthip yang bertindak sebagai pemerhati mewakili kerajaan negeri Selangor, manakala SPRM diwakili pakar forensik bebas Prof Dr Peter Vanezis dari United Kingdom.

- Bernama

˜Peristiwa kematian Teoh paling mencabarĂ¢€™

Dis 31, 09 11:00pm

Sepanjang 33 tahun berkhidmat dalam membanteras jenayah rasuah, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Said Hamdan menyifatkan peristiwa pada Julai lepas adalah yang paling mencabar.

Beliau yang akan menamatkan tugasnya berkuat kuasa esok, berkata rentetan daripada peristiwa itu turut meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya dan mengguris perasaan apabila pegawai SPRM diperlekeh, diugut dan dihina.

Meskipun jauh di sudut hatinya tidak mahu bercakap lagi mengenai peristiwa itu sebab ia sudah menjadi terlalu 'cliche', namun tidak dapat dinafikan bahawa peristiwa itu telah mencalarkan prestasi dan imej SPRM.

"Mereka yang jahil ini lupa bahawa kita juga ada hati dan perasaan, kita hanya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan, biarlah... kebenaran akhirnya akan terserlah," katanya pada majlis perpisahan dan persaraan beliau di Putrajaya hari ini.


Pada 16 Julai lepas, pegawai khas kepada seorang exco kerajaan negeri Selangor, Teo Beng Hock ditemui mati di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam setelah memberi keterangan kepada SPRM.

Ahmad Said berkata menjadi harapan beliau agar seluruh warga SPRM melihat semua perkara yang berlaku itu dari sudut positif.

"Saya berharap semoga warga SPRM tetap mempunyai moral paling tinggi dalam mendepani semua cabaran dan dugaan," katanya.

Ditemui pemberita kemudian, Ahmad Said berharap penggantinya kelak akan dapat menaikkan lagi imej SPRM, sekali gus meningkatkan kedudukan negara dalam ranking indeks persepsi rasuah.

Ahmad Said memulakan tugas dalam SPRM (dahulunya Badan Pencegah Rasuah - BPR) pada 1 Julai 1975 sebagai penguasa kanan di ibupejabat BPR, kemudian pada November 1998 dilantik sebagai timbalan ketua pengarah 1, dan pada Mei 2007 dilantik sebagai ketua pengarah BPR sehingga bersara.

Di majlis itu, beliau turut menyerahkan nota serah tugas kepada penggantinya Datuk Abu Kassim Mohamed.

Ahmad Said turut menerima sijil penghargaan yang ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebagai menghargai jasanya. - Bernama

Ean Yong terkejut sikap ketua polis S'gor

Dis 28, 09 5:54pm

Exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah melahirkan rasa terkejutnya terhadap polis Selangor yang mendakwa beliau mengarahkan polis menghentikan siasatan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

"Dalam ucapan tersebut, Guan Eng meluahkan pendapat bahawa Teoh Beng Hock dibunuh dan ucapan tersebut dianggap sebagai cuba menghasut dan mempengaruhi orang awam oleh pihak polis," katanya hari ini.

"Sebenarnya (dalam) kenyataan di Malaysiakini, saya hanya menyeru kepada pihak polis supaya menghentikan siasatan ke atas Guan Eng dengan serta-merta, kerana rakyat ingin polis menyiasat kisah sebenar kematian Teoh."

Bekas ketua Teoh itu, yang mati dalam keadaan kontroversi Julai lalu sewaktu dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengulas kenyataan ketua polis Selangor semalam.

Datuk Khalid Abu Bakar dipetik berkata polis ingin mengambil keterangan daripada Ean Yong, juga ADUN Seri Kembangan, bagi membantu siasatan bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ean Yong menambah, beliau sedia disiasat polis berhubung kenyataannya itu.

"Jika polis mendapati saranan (saya) sebegini keterlaluan, mereka boleh membuat keputusan dengan sendiri," katanya dalam satu kenyataan.

"Saya ingin menegaskan bahawa walaupun saya merupakan seorang ahli exco, tetapi saya langsung tiada sebarang kuasa untuk mengarahkan pihak polis untuk membuat sesuatu. Hanya menteri dalam negeri atau perdana menteri mempunyai kuasa tersebut."

Sementara itu seorang lagi wakil rakyat DAP mempertikaikan kenyataan Khalid itu yang disifatkan tindakan "berat sebelah".

ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San mempersoalkan tindakan itu dengan alasan Khalid tidak mengambil tindakan sama – polis sendiri membuat aduan – terhadap peserta dan penganjur demonstrasi mengarakkan kepala lembu, Ogos lalu.

"Jika polis ingin dilihat sebagai menjalankan tugas dengan bertanggungjawab, adil, saksama dan tidak berat sebelah, maka kedua-dua persoalan di atas tidak harus berlaku," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lau, yang juga setiausaha DAP Selangor, turut mempersoalkan sikap polis terhadap aduan-aduan beliau sendiri berhubung kenyataan menghasut oleh wakil-wakil Umno semasa di perhimpunan agung beberapa tahun yang lepas?

"Mengapakah tidak boleh polis Selangor melakukan (tindakan) yang sama apabila golongan sayap kanan dan ekstremis perkauman Umno mengeluarkan kenyataan yang lebih bersifat menghasut?" katanya.

Polis akan ambil keterangan ADUN Seri Kembangan

Dis 27, 09 3:32pm

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata polis akan mengambil keterangan daripada ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah berhubung kenyataannya yang didakwa cuba menakut-nakutkan polis.

"Kita akan memanggil Hian Wah dalam waktu terdekat untuk dirakam percakapannya bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Beliau berkata kenyataan ADUN itu dalam media yang mengarahkan polis menghentikan siasatan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng adalah satu kesalahan dan seolah-olah cuba menakut-nakutkan pihak polis.

"Ingin saya tegaskan, Yang Berhormat jangan cuba menakut-nakutkan kita dengan memberi arahan supaya tidak meneruskan siasatan ke atas Guan Eng," katanya.

Khalid memberitahu pemberita demikian pada Hari Mesra Bersama Masyarakat Dengan Polis di Seri Kembangan hari ini.

Sebelum ini, Khalid berkata, Lim akan disoal siasat kerana mendakwa Teoh Beng Hock mati dibunuh, ketika ketua menteri Pulau Pinang itu berucap di konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam pada 19 Disember lalu. - Bernama

Inkues kes Teoh ditunda lagi, 7 Jan

Dis 17, 09 12:57pm

Prosiding inkues bagi menyiasat kematian setiausaha politik exco Selangor, Teoh Beng Hock, di Mahkamah Majistret Shah Alam ditangguhkan sekali lagi ke 7 Januari depan.

Peguam Gobind Singh Deo, ketika dihubungi media, memberitahu kes itu akan disebut semula pada tarikh tersebut bagi membolehkan kesemua pihak terbabit memberitahu perkembangan terkini kepada mahkamah terhadap keputusan bedah siasat kedua mayat Teoh.

Pihak media difahamkan laporan bedah siasat oleh pakar patologi dari Hospital Sungai Buloh itu masih belum disiapkan.

Tarikh perbicaraan baru bagi kes itu akan ditetapkan pada 7 Januari nanti, menurut Gobind, peguam bagi keluarga Teoh.

Pada 22 November lalu, sekumpulan pakar patologi di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh yang diketuai Ketua Unit Patologi Dr Shahidan Md Noor selesai melakukan bedah siasat kali kedua ke atas mayat mendiang yang digali semula sehari sebelum itu.

Mayat Teoh dikebumikan semula pada 24 November di Taman Peringatan Nirvana, Semenyih.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Adun Seri Kembangan, Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang berpejabat di plaza itu. BERNAMA

Lim Swee Kuan dilantik Setpol Ean Yong

Dis 9, 09 12:06pm

Bekas pegawai khas kepada Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang - Lim Swee Kuan - telah dilantik sebagai setiausaha politik baru exco kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ean berkata, pelantikan Swee Kuan berkuatkuasa hari ini.


Beliau kini merupakan setiausaha publisiti Pemuda DAP (DAPSY) Selangor, naib pengerusi DAPSY Petaling Jaya Utara dan juga naib pengerusi DAP cawangan SS2, Petaling Jaya.

Jawatan tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya sebelum ini, Teoh Beng Hock.

Teoh ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam pada 16 Julai - sehari selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan peruntukan ADUN di Selangor.

"Saya mengalu-alukan Swee Kuan menyertai anggota Kerajaan Selangor, dan saya berharap beliau dapat berusaha sedaya-upaya untuk memperkukuhkan dasar dan prestasi Kerajaan Selangor, serta berkhidmat untuk masyarakat.

"Saya percaya, dengan pengalaman pekerjaan selama tiga tahun di ibupejabat DAP, beliau dapat menyesuaikan diri dalam suasana tempat pekerjaan yang baru secepat mungkin, dan membantu saya dalam urusan-urusan politik dan penyelarasan media, serta menangani permohonan dana/sumbangan kerajaan," katanya.

Selain jawatannya dalam DAPSY Selangor, Swee Kuan pernah bertugas sebagai penolong penyunting berita bagi suratkhabar parti DAP 'Roket' dan menjadi setiausaha akhbar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
'
Swee Kuan kemudiannya dilantik sebagai pegawai khas Kit Siang selepas tsunami politik pilihanraya umum 2008.

'Tiada jelmaan Teoh di Plaza Masalam'

Jimadie Shah Othman
Dis 8, 09
4:02pm

kemaskini 5.16pm Kisah hantu jelmaan mendiang Teoh Beng Hock menjadi buah mulut di kalangan kakitangan pejabat dan pelanggan yang berurusan di Plaza Masalam setelah dilaporkan akhbar minggu lalu tetapi ia tidak wujud, kata kakitangan sebuah syarikat kawalan keselamatan.


Ruslan Nordin, pegawai kanan Evergreen Venues Sdn Bhd berkata selepas laporan China Press 4 Disember lalu, banyak pihak yang bertanya kepada pasukannya mengenai kesahihan dakwaan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali dan tiada sebarang aduan dibuat oleh kakitangan syarikat tersebut - yang bertanggungjawab menyelia sekitar kawasan terbabit - berhubung kewujudan fenomena ganjil tersebut.

"Saya sendiri dengar dua tiga hari lepas daripada pelanggan-pelanggan kita (di Plaza Masalam).

"Tetapi saya menafikannya (laporan tersebut) kerana kita sendiri tidak terima apa-apa laporan daripada anggota saya.

"Tahu itu tahu daripada surat khabar Cina, tetapi saya tidak ambil kisah sangat. Saya tinjau dulu. Saya tanya anggota saya, mereka kata, 'tidak ada tuan'.

"Selama ini kita buat rondaan di atas, bawah, tingkat bawah tanah, sejam sekali, tidak ada apa-apa pun," katanya kepada Malaysiakini dalam tinjauan di plaza tersebut, lokasi Teoh ditemui mati dan juga pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Selangor.

Ruslan berkata, kes-kes paranormal lain juga tidak pernah dilaporkan kepada pihaknya sebelum ini.

"Hantu lain pun tidak pernah wujud, hantu air ke, hantu jerangkung ke tidak pernah wujud," katanya.

Tiga individu dilaporkan mendakwa mereka ternampak satu lembaga yang menyerupai mendiang Teoh - pembantu exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah - merayau-rayau di ibu pejabat SPRM negeri itu.

Menurut laporan akhbar berkenaan, lembaga tersebut dilihat di tingkat lima plaza tersebut, tempat Teoh ditemui mati, dan di tingkat 14 yang menempatkan pejabat SPRM.


Akhbar harian itu memetik seorang pengawal keselamatan dan dua pegawai SPRM - semuanya tidak dinamakan - terserempak dengan lembaga itu sekitar bulan Oktober lalu, lebih dua bulan selepas Teoh ditemui mati.

Ditemui Malaysiakini di pejabatnya di tingkat bawah plaza tersebut, Ruslan menyifatkan khabar angin tersebut "seperti cerita kartun" dan "cerita drakula".

Katanya, pada jam 6.30 petang, ketika hantu Teoh didakwa muncul, masih ramai lagi kakitangan berada di situ dan menggunakan lif di bangunan berkenaan.

Tambahnya, kemunculan cerita tersebut kini membuatkan pihaknya lebih berwaspada dan tidak lagi membenarkan pemberita dan jurugambar membuat rakaman di sekitar kawasan tersebut tanpa kebenaran.

"Kita tidak benar lagi, melainkan dapat surat bertulis (kebenaran) daripada pejabat pentadbiran kita untuk masuk buat penggambaran," katanya, sambil menambah, ia merupakan tempat persendirian.

Untuk satu-satu masa, terdapat empat atau lima anggota keselamatan syarikatnya bertugas menyelia keadaan sekitar, tambahnya.

Bagaimanapun, syarikatnya tidak bertanggungjawab terhadap kawalan keselamatan di pejabat SPRM di tingkat 14 dan 15 kerana suruhanjaya itu mempunyai anggota keselamatan sendiri.

"Mereka ada jaga sendiri. Kita tidak pernah pun berbual dengan mereka," katanya lagi.


Sementara itu, Malaysiakini turut mengunjungi pejabat SPRM di tingkat 14 bagi mendapatkan ulasan pihak keselamatannya.

Pergerakan wartawan dan juruvideo akhbar web ini dikawal agak ketat sehingga seorang petugas keselamatan diarahkan mengiringi mereka ke pejabat suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, seorang penyambut tetamu di situ memberitahu bahawa pengarah dan pegawai lain tiada di pejabat wakut itu.

Beliau sebaliknya meminta Malaysiakini membuat temujanji terlebih dahulu untuk mendapatkan sebarang ulasan.

Sementara itu, inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam bagi menyiasat punca kematian Teoh, yang mencipta kontroversi besar, yang dijadual esok ditunda ke 17 Disember ini.

Ahmad Said nafi didesak bersara awal

Dis 5, 09 5:06pm

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Said Hamdan menafikan persaraan awal beliau daripada jawatan itu disebabkan oleh tekanan dan desakan orang luar atau parti politik.

Beliau berkata persaraannya itu atas sebab peribadi dan kehendaknya sendiri setelah sekian lama berkhidmat dalam suruhanjaya itu dan bukannya kerana orang lain.

"Saya letak jawatan bukan sebab tertekan atas desakan sesiapa atau parti politik tetapi atas sebab peribadi dan kehendak saya sendiri. Lagi pun saya dah lama berkhidmat dalam SPRM," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ahmad Said berkata persaraan awal beliau itu dibuat bagi memberi laluan kepada penggantinya dan untuk meluangkan masa bersama keluarga.

"Dah lama saya rancang nak bersara tetapi tunggu masa yang sesuai. Sebelum ini saya sibuk dengan kerja, jadi sekarang saya nak luangkan lebih masa dengan keluarga," katanya yang telah berkhidmat hampir 34 tahun dalam suruhanjaya itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR), sejak 1975.

Semalam Ahmad Said mengemukakan notis kepada Pejabat Perdana Menteri untuk memendekkan tempoh perkhidmatannya dalam suruhanjaya itu sehingga 31 Dis ini sedangkan perkhidmatannya sepatutnya tamat pada 25 Mei tahun depan.

Bagi menggantikan tempatnya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Datuk Abu Kassim Mohamed akan dilantik ke jawatan itu berkuatkuasa 1 Jan tahun depan.

PM: Tidak berlaku tiba-tiba

Sementara itu, Bernama melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penamatan lebih awal kontrak Ahmad Said tidak berlaku secara tiba-tiba kerana beliau (Najib) sudah dimaklumkan lebih awal lagi.

Perdana Menteri berkata beliau sudah dimaklumkan dahulu tetapi orang ramai hanya mengetahui peletakan jawatan Ahmad Said baru-baru ini.

"Bukan sudden, dia sudah beritahu lebih awal lagi sebenarnya, ini cuma the question of public knowledge sebenarnya tetapi saya dah tahu lebih awal lagi sebelum isu terkini berbangkit," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada juara Kejohanan Badminton sempena Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional di Seremban, hari ini.

Najib juga menolak tanggapan kononnya peletakan jawatan Ahmad Said mempunyai kaitan dengan tekanan pembangkang berikutan kes kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada anggota Exco kerajaan negeri Selangor.

Persaraan Ahmad Said juga tidak ada kaitan dengan tanggapan kononnya tekanan telah diberikan oleh

"Kerajaan menghormati keputusan Ahmad Said untuk bersara, sebenarnya dia sudah pun bersara tetapi berkhidmat dalam kontrak, cuma dia tidak berkhidmat sampai kontraknya habis," katanya lagi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Said di atas bakti yang dicurahkan selama beliau berkhidmat dengan SPRM.

Najib percaya Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, Datuk Abu Kassim Mohamed yang akan memegang jawatan itu secara rasmi pada 1 Jan mampu terus meletakkan suruhanjaya itu sebagai sebuah institusi yang dihormati dan berwibawa.

Pulih integriti SPRM

Sementara itu, Abu Kassim berkata beliau akan menyediakan beberapa perancangan bagi mengembalikan integriti suruhanjaya itu sebaik mengambil alih kepimpinan SPRM berkuatkuasa 1 Januari 2010.

"Saya akan menyusun beberapa perancangan bagi mengembalikan integriti dan kepercayaan orang awam terhadap SPRM," katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan integriti 2009 hari ini.

Selain itu beliau berkata kerjasama daripada pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) juga penting dalam memantapkan SPRM.

"Tanpa bantuan semua pihak dan orang awam, SPRM tidak dapat menjalankan kerja dengan sempurna dan cekap," katanya.

Abu Kassim melahirkan rasa syukurnya kerana diberi kepercayaan untuk mengetuai suruhanjaya itu.

Pengawal nampak lembaga 'Teoh' di pejabat SPRM

Dis 4, 09 7:49pm

Tiga individu mendakwa mereka ternampak satu lembaga yang menyerupai mendiang Teoh Beng Hock merayau-rayau di ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Plaza Masalam, Shah Alam.


Menurut laporan akhbar China Press, lembaga tersebut dilihat di tingkat lima bangunan tersebut - tempat Teoh ditemui mati dan di tingkat 14, iaitu pejabat SPRM Selangor.

Laporan itu menyebut seorang pengawal keselamatan dan dua pegawai SPRM terserempak dengan lembaga itu sekitar bulan Oktober lalu - lebih dua bulan selepas Teoh ditemui mati.

Pengawal keselamatan tersebut yang enggan namanya disebut berkata, dia tidak nampak muka lembaga itu, tetapi ia berpakaian sama seperti yang dipakai mendiang ketika datang ke pejabat SPRM dulu.

"Saya nampak mayatnya selepas jatuh. Saya pasti ianya Teoh walaupun saya hanya lihat bahagian belakangnya," katanya sambil menambah kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.30 petang.

Ketika mencerita semula kejadian itu, pengawal tersebut berkata dia pergi ke bilik air di tingkat lima di mana secara dia tiba-tiba terdengar bunyi orang berjalan. Pengawal keselamatan yang lain tidak bertugas ketika itu.

"Saya rasa pelik. Biasanya pada waktu itu tiada orang lain di situ. Lalu saya berjalan ke arah tandas... kemudian saya nampak seorang lelaki di depan lif, dia memakai kot hitam dan berseluar putih," katanya.


Pada masa itu, tidak terlintas di fikiran pengawal tersebut bahawa ia adalah lembaga yang menyerupai Teoh itu.

"Saya bertanya dia hendak ke mana kerana tiada orang di atas. Dia menjawab "saya nak naik ke atas", lalu masuk ke dalam lif.

"Ketika itulah saya terfikir yang dia nampak seperti Teoh, jadi saya bergegas ke bilik keselamatan untuk melihat CCTV, tetapi tiada seorang pun dalam lif tersebut.

Teoh selamat disemadikan semula

Andrew Ong
Nov 24, 09
12:38pm

Dalam suasana yang diselubungi kesedihan, mayat mendiang Teoh Beng Hock selamat disemadikan semula di tanah perkuburan Taman Peringatan Nirwana pagi tadi.

Mayat mendiang Teoh digali semula Sabtu lalu untuk membolehkan bedah siasat kedua dijalankan di hospital Sungai Buloh pada hari berikutnya.


Majlis pengkebumian semula mendiang Teoh pagi ini dihadiri oleh abangnya, Bee Kee dan saudara mara yang lain.

Kedua-dua ibu bapa mendiang Teoh tidak hadir di tempat pengkebumian kerana adat resam, tetapi menunggu di sebuah kuil di situ.

Turut hadir ialah pemimpin DAP Lim Kit Siang, bekas majikan mendiang Teoh - Ean Yong Hian Wah yang juga exco kerajaan Selangor - dan ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng.

Seorang mahaguru Feng Shui memberitahu media Cina bahawa hari ini adalah hari yang baik untuk disemadikan semula mayat mendiang Teoh.

Dalam pengkebumian pertama dulu, keranda mendiang Teoh dimasukkan ke dalam liang dengan menggunakan tali merah - simbol perjuangan untuk keadilan.

Hari ini, keranda mendiang Teoh diturunkan menggunakan tali biasa dan ditabur bunga berwarna putih, tanda kesucian.

Bedah siasat kedua Teoh selesai

Andrew Ong
Nov 22, 09
12:38pm

Bedah siasat kedua ke atas mayat mendiang Teoh Beng Hock di Hospital Sungai Buloh, mengambil masa kira-kira dua jam dan selesai dijalankan pada kira-kira jam 3.30 petang tadi.


Keluarga mendiang Teoh dan dua adik beradiknya kelihatan ceria ketika ditemui petugas media, yang tidak dibenarkan menghampiri jabatan forensik di situ.

Saudara perempuan mendiang, Lee Lan berkata bedah siasat itu berjaya dilakukan dan keluarganya telah diberi taklimat mengenainya oleh pakar patologi Thai, Dr Porntip Rojanasunand.

Bagaimanapun, Lee enggan memberi sebarang butiran sama ada terdapat bukti baru yang ditemui mengenai kemungkinan wujud unsur-unsur jenayah.

"Tungu bila inkues (Teoh) disambung 9 Disember," katanya sambil berkata beliau tidak pasti sama ada laporan bedah siasat akan diumumkan.

Manakala saudara lelaki mendiang, Beng Kee berkata keluarganya tidak memahami aspek-aspek tentu taklimat Dr Porntip kerana ia banyak membabitkan istilah perubatan.


Ketika ditemui wartawan ketika hendak beredar dari hospital tersebut, Dr Porntip (kanan sekali) hanya berkata: "Tiada komen".

Mendiang Teoh ditemui mati di tingkat lima bangunan Plaza Musalam di Shah Alam pada 17 Ogos lalu, sehari selepas dia disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Jenayah Malaysia (SPRM).

Kerajaan kemudiannya mengarahkan diadakan inkues berhubung kematian mendiang Teoh dan keterangan Dr Porntip telah mendorong keluarganya meminta bedah siasat kedua dijalankan.

Dr Porntip memberitahu inkues tersebut bahawa berdasarkan foto dan laporan bedah siasat pertama, beliau mengesyaki 80 peratus kemungkinan kematian mendiang Teoh adalah homisid.

Pakar patologi terkemuka Thai itu yang bertugas dengan Jabatan Kehakiman negara itu, hadir memantau bedah siasat hari ini bagi pihak kerajaan Selangor.


Manakala SPRM pula mendapatkan khidmat pakar patologi Britain, Dr Peter Venezis (kanan) yang terkenal dengan siasatannya terhadap kematian Puteri Diana.

Mayat mendiang Teoh digali semula dari tanah perkuburan di Semenyih semalam dan saudara perempuannya berkata keluarga merancang untuk mengkebumi semula mayat mendiang esok.

Bedah siasat tersebut dilakukan oleh Dr Khairul Aznam dan Dr Prashant Samberker yang memberitahu inkues kematian Teoh bahawa mendiang membunuh diri.

Seorang lagi pakar patologi, K Saravanan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, ditugaskan merakamkan gambar bedah siasat tersebut.


Sementera itu, peguam keluarga mendiang Teoh, Gobind Singh Deo mendakwa sekumpulan individu yang tidak dikenali mengekori Dr Porntip sejak semalam dan menggesa mereka supaya tampil ke hadapan.

"Sejak petang Jumaat, beberapa buah kereta mengekori beliau balik ke hotel dan kemudiannya ke tanah perkuburan di Semenyih semalam (tempat mayat Teoh digali semula)," katanya.

Menurutnya lagi, sejak itu, pihak polis telah menugaskan beberapa anggotanya memantaunya sejak dimaklumkan mengenainya semalam.

Mayat Teoh digali semula hari ini

Andrew Ong
Nov 21, 09
11:56am

Mayat Teoh Beng Hock digali semula hari ini dalam satu upacara yang diadakan di Taman Peringatan Nirvana di Semenyih, Selangor.

Selepas upacara itu dijalankan, pekerja berhati-hati menggali kubur Teoh selama kira-kira sejam sebelum keranda dibawa naik pada kira-kira jam 9.40 pagi.

Keranda tersebut kemudiannya dibawa keluar dari tanah perkubuhan itu pada kira-kira jam 11.15 pagi selepas selesai upacara sembahyang dan proses disinfeksi.dilakukan.

Kesemua itu dilakukan di sebalik kain pengadang besar di sekeliling kubur Teoh.

Sebelum itu, polis menutup kawasan sekitar 30 meter dari situ dengan memasang pita kuning.

Hanya segelintir sahaja yang dibenar menyaksikan keranda Teoh digali semula, termasuk dua adik beradik Teoh dan peguam keluarga tersebut, Gobind Singh.

Turut hadir ialah pakar patologi Thai, Dr Porntip Rajanasunand yang mana keterangannya di inkues kematian Teoh telah membawa kepada kubur Teoh digali semula untuk dilakukan bedah siasat kedua.

Dr Porntip, yang dibawa oleh kerajaan negeri Selangor, mendakwa dalam keterangannya itu bahawa berdasarkan foto dan laporan bedah siasat pertama, beliau mendapati ada kemungkinan 80 peratus punca kematian Teoh adalah homisid, dan 20 peratus bunuh diri.

Gobind berkata mayat Teoh 'dalam keadaan baik' dan mengucap terima kasih kepada Taman Peringatan Nirvana dan polis kerana bantuan mereka.

Bagaimanapun, beliau hairan mengapa tiada seorang wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir pagi ini.

"Mereka sepatutnya menghantar wakil. Saya tidak nampak seorang pun, tetapi ia terpulang kepada budi bicara mereka," tambahnya.

Mayat Teoh dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dilakukan bedah siasat kedua.

Keluarganya tidak menghadiri upacara mayat Teoh digali semula tetapi menunggu ketibaan manyatnya di Hospital Sungai Buloh.

Isterinya, Soh Cher Wei juga tidak hadir kerana pantang larang disebabkan dia sedang mengandung.

Bekas majikan Teoh - exco kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah - berkata dia merasa tenang mengenai kerja-kerja menggali semula mayat Teoh.

"Saya tenang kerana sebahagian besar rakyat Malaysia percaya bahawa Teoh adalah mangsa homisid dan dia tidak membunuh diri," katanya.

Bagaimanapun, beliau membidas SPRM kerana menggunakan khidmat pakar patologi dari Britain untuk meneliti bedah siasat kedua itu.

"Saya ingin tahu berapa banyak mereka bayar kepada pakar patologi British itu. It menunjukkan SPRM tidak yakin dengan pakar patologi tempatan," tambahnya.

SPRM sebelum ini mengumumkan bahawa suruhanjaya itu akan mendapatkan khidmat pakar patologi Britain, Dr Peter Vanezis, yang memberi kesimpulan yang berbeza dan kontroversi berhubung keputusan Puteri Diana.

Seperti juga Dr Porntip, Vanezis hanya boleh memerhati bedah siasat kedua dilakukan kerana undang-undang Malaysia hanya membenarkan doktor tempatan melakukannya.

Bedah siasat kedua itu akan dilakukan oleh Dr Shahidan Md Noor dari Hospital Sungai Buloh. Beliau turut hadir ketika mayat Teoh digali semula, begitu juga dengan Dr Khairul Aznam dan Dr Prashant Samberker yang melakukan bedah siasat pertama dan membuat kesimpulan bahawa Teoh membunuh diri.

Perkhidmatan Dr Porntip adalah percuma kerana beliau merupakan kakitangan awam dan berada di sini atas urusan kerajaan dengan kerajaan.

Beliau adalah ketua pengarah Institusi Forensik Sains Pusat, yang terletak di bawah bidangkuasa Kementerian Kehakiman Thailand.

Kira-kira 50 petugas media, ramai daripada berpakaian hitam sebagai tanda menghormat upacara hari ini, hadir membuat liputan. Kira-kira 30 anggota polis turut berada di tempat itu.

DUN S'gor lulus usul tubuh s'jaya siasat kematian Teoh

Salhan K Ahmad
Nov 17, 09
3:16pm

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan usul mendesak kerajaan pusat menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock.

Usul tersebut dibentangkan oleh ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim dan diluluskan tanpa kehadiran wakil rakyat pembangkang selepas dibahaskan kira-kira satu jam.

Teoh adalah setiausaha politik kepada exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah yang juga ADUN Sri Kembangan.

Difahamkan, beberapa ADUN BN yang hadir ke sidang DUN hari ini, bertindak keluar dewan apabila usul tersebut dibentangkan tengahari tadi.

"Kenapa bila bicarakan tentang Teoh Beng Hock, semua orang BN lari?" kata Ng yang mempersoalkan tindakan wakil-wakil pembangkang itu.

Ng seterusnya berkata, usul tersebut dibentangkan memandangkan kabinet sebelum ini telah bersetuju menubuhkan suruhanjaya diraja.

Namun, kuasa suruhanjaya itu didapati terbatas kepada menilai kaedah soal siasat SPRM dan sama ada pernah berlaku pencabulan hak asasi manusia sewaktu Teoh disiasat mulai petang 15 Jun hingga awal pagi esoknya.

Kabinet juga memutuskan satu inkues atau siasatan awam yang diketuai oleh seorang majistret untuk menentukan punca kematian Teoh.

Inkues tersebut sedang berjalan di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas.

Ng berkata, usul yang dibentangkannya itu berpandukan garis panduan inkues yang dikeluarkan oleh Hakim Besar Malaya, Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 2007.

"Ini jelas menyatakan mahkamah koroner hanya berhak mencari kebenaran tetapi tiada kuasa mencari siapakah pembunuh serta tiada hak mendakwa sesiapa.

"Oleh itu peranan mahkamah koroner hanya sama dengan satu pendengaran awam yang terbuka sahaja," katanya lagi.

Ng juga turut mendesak ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan meletak jawatan sekiranya sebab kematian Teoh tidak ditemui.

"Pihak SPRM mesti bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kematian mendiang Teoh Beng Hock.

"Jangan cuba berdolak-dalik dan lepas tangan kononnya kematian tersebut tiada kena mengena dengan SPRM," tambahnya.

Ng juga mendakwa, Ean kini menghadapi masalah untuk mendapatkan setiausaha politik baru untuk menggantikan tempat Teoh, kerana ramai yang takut musibah yang sama akan menimpa diri mereka.

Beliau mendakwa ia merupakan salah satu perang saraf pihak BN yang didakwanya memperalatkan SPRM demi untuk melemahkan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat.

Mayat Teoh digali 21 November

Nov 9, 09 6:19pm

Mayat Teoh Beng Hock akan digali semula pada 21 November ini dan bedah siasat akan dijalankan pada hari berikutnya.

Mahkamah koroner hari ini memerintahkan supaya mayat Teoh Beng Hock digali semula pada 21 November depan manakala bedah siasat dijalankan pada hari berikutnya di Hospital Sungai Buloh.

Bedah siasat itu akan dijalankan oleh ahli forensik patologi Dr Shahidan Md Noor.

Pada 27 Oktober lalu, Keluarga Teoh memfailkan permohonan untuk menggali mayatnya ekoran pendedahan ahli patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand dan kematiannya mungkin disebabkan homisid.

Permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 335 Kanun Prosedur Jenayah dan disokong oleh afidavit abang Teoh - Meng Kee.

Mahkamah juga memutuskan bahawa Pornthip boleh menghadiri bedah siasat kedua itu.

Teoh ditemui mati pada 16 Julai lalu, selepas disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Bernama melaporkan, Koroner Azmil Muntapha Abas juga memerintahkan supaya bedah siasat kedua itu dikendalikan oleh seorang pegawai perubatan dengan kehadiran empat pakar forensik lain iaitu Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant Naresh Samberkar, Dr Pornthip Rojanasunand dari Thailand dan seorang lagi yang akan dilantik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun butiran terperinci mengenai proses bedah siasat itu, termasuk bila dan di mana ia akan dilakukan, hanya akan ditentukan oleh mahkamah Isnin depan.

Dalam prosiding hari ini, peguam Datuk Abdul Razak Musa bagi SPRM menarik perhatian mahkamah bahawa Dr Pornthip tidak berkelayakan dari segi undang-undang di Malaysia untuk mengendalikan proses bedah siasat terhadap mayat Teoh.

"Ini kerana pakar forensik Thailand itu menerima kelulusan perubatannya dari universiti yang tidak diiktiraf di bawah senarai 250 universiti perubatan dalam Jadual Kedua akta tersebut," katanya.

Peguam Gobind Singh Deo, bagi keluarga Teoh, memohon mahkamah supaya membenarkan Dr Pornthip menghadiri proses bedah siasat itu dan membuat pemerhatian bagi membolehkannya menyediakan laporan forensik.

"Kami juga memohon supaya Dr Pornthip dibenarkan untuk memberi keterangan sekali lagi ke mahkamah ini dan membentangkan hasil laporan forensiknya.

"Kami merasakan pendapat Dr Pornthip adalah amat relevan dalam prosiding inkues ini bagi membantu mahkamah membuat penemuan mengenai sebab-sebab kematian mendiang dan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kematiannya," kata peguam itu yang turut memaklumkan bahawa Dr Pornthip sedia menghadiri bedah siasat bermula 14 November depan.

Gobind juga berkata koroner mempunyai bidang kuasa untuk melantik seorang pegawai perubatan bagi menjalankan bedah siasat ke atas mayat Teoh.

Beliau juga tidak membantah sekiranya bedah siasat itu dihadiri oleh Dr Khairul Azman dan Dr Prashant, yang telah menjalankan autopsi ke atas mayat Teoh sebelum ini, serta seorang pakar forensik bebas yang dilantik SPRM.

Peguam Tan Hock Chuan, mewakili kerajaan Malaysia serta peguam Malik Imtiaz Sarwar, bagi kerajaan negeri Selangor, tidak membantah permohonan itu.

"Kami bersetuju bahawa keluarga si mati berhak untuk mengetahui punca sebenar kematian Teoh dan apa yang berlaku pada 16 Julai lalu.

"Kesemua pihak (peguam) dalam prosiding inkues ini bersetuju untuk membantu koroner dalam hal ini dan kami juga bersetuju bahawa doktor-doktor terbabit dibenarkan untuk menghadiri bedah siasat Teoh," kata Tan.

Pada 16 Julai, Teoh, setiausaha politik kepada anggota EXCO Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salahguna peruntukan kerajaan negeri di pejabat SPRM yang terletak di bangunan yang sama.

Mayatnya telah dikebumikan empat hari kemudian di Nirwana Memorial Park, Semenyih, Selangor.

Koroner benar mayat Teoh digali semula

Nov 4, 09 4:58pm

Mahkamah koroner Shah Alam membenarkan mayat mendiang Teoh Beng Hock, yang telah dikebumikan lebih tiga bulan lalu, digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.

Koroner Azmil Muntapha Abas juga memerintahkan supaya bedah siasat kedua itu dikendalikan oleh seorang pegawai perubatan dengan kehadiran empat pakar forensik lain iaitu Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant Naresh Samberkar, Dr Pornthip Rojanasunand dari Thailand dan seorang lagi yang akan dilantik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun butiran terperinci mengenai proses bedah siasat itu, termasuk bila dan di mana ia akan dilakukan, hanya akan ditentukan oleh mahkamah Isnin depan.

Koroner Azmil Muntapha membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan keluarga Teoh untuk menggali semula mayat mendiang bagi menentukan punca sebenar kematian setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor itu, yang ditemui mati selepas jatuh dari bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Julai lalu.

Permohonan itu dibuat berikutan keterangan Dr Pornthip di mahkamah yang mendakwa terdapat 80 peratus kemungkinan bahawa Teoh mati akibat dicekik dan didera.

Dalam prosiding hari ini, peguam Datuk Abdul Razak Musa bagi SPRM menarik perhatian mahkamah bahawa Dr Pornthip tidak berkelayakan daripada segi undang-undang di Malaysia untuk mengendalikan proses bedah siasat terhadap mayat Teoh.

"Ini kerana pakar forensik Thailand itu menerima kelulusan perubatannya dari universiti yang tidak diiktiraf di bawah senarai 250 universiti perubatan dalam Jadual Kedua akta tersebut," katanya.

Peguam Gobind Singh Deo, bagi keluarga Teoh, memohon mahkamah supaya membenarkan Dr Pornthip menghadiri proses bedah siasat itu dan membuat pemerhatian bagi membolehkannya menyediakan laporan forensik.

"Kami juga memohon supaya Dr Pornthip dibenarkan untuk memberi keterangan sekali lagi ke mahkamah ini dan membentangkan hasil laporan forensiknya.

"Kami merasakan pendapat Dr Pornthip adalah amat relevan dalam prosiding inkues ini bagi membantu mahkamah membuat penemuan mengenai sebab-sebab kematian mendiang dan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kematiannya," kata peguam itu yang turut memaklumkan bahawa Dr Pornthip sedia menghadiri bedah siasat bermula 14 Nov depan.

Gobind juga berkata koroner mempunyai bidang kuasa untuk melantik seorang pegawai perubatan bagi menjalankan bedah siasat ke atas mayat Teoh.

Beliau juga tidak membantah sekiranya bedah siasat itu dihadiri oleh Dr Khairul Azman dan Dr Prashant, yang telah menjalankan autopsi ke atas mayat Teoh sebelum ini, serta seorang pakar forensik bebas yang dilantik SPRM.

Peguam Tan Hock Chuan, mewakili kerajaan Malaysia serta peguam Malik Imtiaz Sarwar, bagi kerajaan negeri Selangor, tidak membantah permohonan itu.

"Kami bersetuju bahawa keluarga si mati berhak untuk mengetahui punca sebenar kematian Teoh dan apa yang berlaku pada 16 Julai lalu.

"Kesemua pihak (peguam) dalam prosiding inkues ini bersetuju untuk membantu koroner dalam hal ini dan kami juga bersetuju bahawa doktor-doktor terbabit dibenarkan untuk menghadiri bedah siasat Teoh," kata Tan.

Pada 16 Julai, Teoh, setiausaha politik kepada anggota EXCO Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salahguna peruntukan kerajaan negeri di pejabat SPRM yang terletak di bangunan yang sama.

Mayatnya telah dikebumikan empat hari kemudian di Nirwana Memorial Park, Semenyih, Selangor. - Bernama

Mohon gali mayat Teoh diputus Rabu

Okt 30, 09 6:44pm

Mahkamah Koroner di Shah Alam hari ini menetapkan Rabu depan bagi mendengar permohonan menggali semula mayat Teoh Beng Hock bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan oleh pakar patoloji Thailand, Dr Porntip Rojanasunan.

Ketika dihubungi Bernama, peguam keluarga mendiang, Gobind Singh Deo, mengesahkan tarikh pendengaran permohonan tersebut.

Pada Selasa lepas, abang mendiang, Teoh Meng Kee memfailkan satu permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam supaya mayat adiknya dikeluarkan semula daripada tanah perkuburan untuk tujuan bedah siasat kedua dan mendapatkan pandangan kedua daripada Dr Porntip.

Sebelum ini, Dr Porntip memberitahu inkues bahawa ada 80 peratus kemungkinan setiausaha politik kepada anggota exco Selangor, Ean Yong Hian Wah itu mati dibunuh dan kesan-kesan kecederaan dialami semasa mangsa masih hidup.

Pada 16 Julai lalu, Beng Hock ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di bangunan yang sama.

Mayatnya telah dikebumikan empat hari kemudian di Nirwana Memorial Park, Semenyih, Selangor. BERNAMA
Posted by administrator at 12:09 AM 0 comments
Keluarga mohon gali mayat Teoh

Okt 27, 09 6:34pm

Keluarga Teoh Beng Hock hari ini mengemukakan permohonan ke Mahkamah Majistret Shah Alam bagi mendapatkan perintah membenarkan mayat pembantu politik itu dikeluarkan dari perkuburan untuk pemeriksaan bedah siasat kedua.

Permohonan itu, yang turut disertakan dengan afidavit bersumpah oleh abang mendiang, Teoh Meng Kee, dibuat melalui peguam mereka Gobind Singh Deo pada pukul 3.45 petang tadi.

Dalam afidavit itu, Meng Kee, 33, menyatakan bahawa keterangan pakar forensik Thailand, Dr Porntip Rojanasunand di mahkamah minggu lalu yang mendedahkan kemungkinan Beng Hock mati akibat dicekik dan didera perlu dibuktikan dengan melakukan pemeriksaan ke atas mayat itu sekali lagi.

"Saksi ini telah memberitahu bahawa, pemeriksaan yang beliau jalankan melalui gambar-gambar bedah siasat menunjukkan terdapat kesan tekanan di bahagian kiri leher si mati dan kesan hematoma di bawah permukaan kulit bahagian itu yang konsisten dengan 'kesan cekik secara manual' pada si mati.

"Juga kecederaan di bahagian dubur si mati tidak konsisten dengan kecederaan daripada jatuh dari tempat tinggi dan kelihatan terdapat cedera akibat penembusan di bahagian itu," katanya dalam afidavit itu.

Ini berbeza dengan keterangan pakar bedah dan forensik Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant Naresh Samberkar yang melakukan bedah siasat ke atas mayat Beng Hock, yang merumuskan kematian mendiang adalah kerana jatuh dari tempat tinggi.

"Kedua-dua saksi ini telah memberikan keterangan pendapat bahawa kemungkinan besar si mati telah membunuh diri. Walau bagaimanapun Dr Khairul ada menyatakan kemungkinan yang si mati telah dicederakan sebelum jatuh," kata Meng Kee.

Beliau berkata Dr Porntip, melalui keterangannya di mahkamah, telah merumuskan bahawa Beng Hock tidak meninggal dunia kerana bunuh diri, sebaliknya mati dibunuh.

Oleh itu Dr Porntip perlu diberikan peluang sepenuhnya untuk mengendalikan pemeriksaan ke atas mayat Beng Hock bagi menentusahkan keputusan dan pendapat beliau, menurut afidavit itu lagi.

Dr Porntip, 54, merupakan ketua pengarah Institut Sains Forensik Sentral, Kementerian Kehakiman Thailand dan telah dipanggil oleh kerajaan negeri Selangor untuk memberikan keterangan dalam prosiding inkues bagi membantu menyiasat punca
kematian Beng Hock.

Pada 16 Julai, Beng Hock, setiausaha politik kepada anggota exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salahguna peruntukan kerajaan negeri Selangor di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bangunan yang sama.

Mayatnya telah dikebumikan empat hari kemudian di Nirwana Memorial Park, Semenyih, Selangor.

Di luar mahkamah, Gobind memberitahu media beliau berharap permohonan itu akan didengar di mahkamah secepat mungkin, dan berkata jika permohonan itu dibenarkan, pemeriksaan ke atas mayat Beng Hock akan dilakukan oleh Dr Porntip pada awal bulan depan. BERNAMA
Posted by administrator at 12:09 AM 0 comments
Keluarga Teoh mahu Dr Pornthip buat bedah siasat baru

Wong Teck Chi
Okt 25, 09
4:27pm

Keluarga mendiang Teo Beng Hock berkata mereka akan memohon supaya bedah siasat baru dilakukan oleh pakar patologis Thai, Dr Pornthip Rojanasunan.

Adik perempuan Teoh - Lee Lan - memberitahu Malaysiakini bahawa keluarganya berharap bedah siasat baru itu akan dapat "mendedahkan kebenaran" di sebalik kematian abangnya itu.


Beliau berkata, keluarganya telah memikirkan perkara itu sejak bermulanya inkues kematian Teoh, dan pendedahan Dr Pornthip (foto) bahawa "80 peratus" kematian Teoh mungkin homisid, membuat keluarga mahu pakar dari Thailand itu membuat bedah siasat baru.

Katanya, ini juga kerana ada ada pihak yang tidak setuju dengan pendedahan Pornthip dengan alasan beliau tidak melakukan sendiri bedah siasat ke atas mayat Teoh.

Lee juga berkata, pada mulanya, keluarganya menolak bedah siasat kedua dilakukan sejurus selepas kematian Teoh kerana urusan untuk pengkebumiannya telah diatur.

"Kita juga tidak memeriksa secara terperinci kecederaannya pada masa itu, jadi kita tidak pernah terfikir untuk menjalankan siatan lanjut," katanya.

"Isu bedah siasat kali kedua ini tidak boleh dibiarkan berlarutan lama. Kerana Dr Pornthip berkata, jika mayat digali cepat, beliau boleh mendapatkan lebih banyak maklumat," tambahnya.

Berikutan itu, Lee berkata, keluarganya berharap pihak koroner akan membuat keputusan segera terhadap permohonan mereka supaya dibuat bedah siasat baru itu.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh, berkata beliau akan memfailkan permohonan terhadap kepada koroner esok
Posted by administrator at 12:08 AM 0 comments
Keluarga Teoh timbang buat bedah siasat baru

Wong Teck Chi
Okt 21, 09
6:15pm

Keluarga Teoh Beng Hock hari ini berkata mereka sedang menimbang kemungkinan untuk menggali semula mayat Teoh untuk membolehkan pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand melakukan bedah siasat baru.

Mereka berkata, mereka akan meminta pandangan peguam mereka, Gobind Singh Deo mengenai perkara itu sebelum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Gobind menjadi peguam pemerhati bagi pihak keluarga Teoh dalam inkues kematian Teoh yang sedang berjalan sekarang.

Awal hari ini, Pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand memberitahu mahkamah koroner di Shah Alam bahawa terdapat 80 peratus kemungkinan homisid dan 20 peratus kemungkinan bunuh diri dalam kes kematian Teoh.

Bagaimanapun, kesimpulan beliau adalah berdasarkan kepada laporan bedah siasat yang dibuat oleh orang lain.
Posted by administrator at 12:07 AM 0 comments
Kematian Teoh: Pakar kata 80% kemungkinan homisid

Okt 21, 09 11:43am

Seorang pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand membuat pendedahan yang mengejutkan dalam inkeus kematian Teoh Beng Hock pagi ini dengan menyatakan bahawa setiausaha politik itu mungkin telah dicekik sebelum jatuh dari tingkat 14 Plaza Masalam.

Katanya, terdapat tanda bulat pada leher Teoh yang menunjukkan dia 'dicekik'.

Menurutnya lagi, retakan pada tengkorak Teoh bukan satu kecederaan akibat terjatuh.


Manakala kecederaan pada lubang dubur Teoh, katanya, boleh disebabkan dicucuk dengan objek sebelum dia jatuh.

Ini, katanya, berdasarkan kepada gambar-gambar yang diambil di tempat Teoh ditemui jatuh.

Dr Pornthip membuat kesimpulan bahawa terdapat 80 peratus kemungkinan homisid dan 20 peratus kemungkinan bunuh diri.

Beliau juga tidak bersetuju dengan pandangan pakar-pakar forensik bahawa Teoh "jatuh dalam keadaan sedar" tetapi sebaliknya menegaskan bahawa mangsa mungkin tidak sedar.

Beliau memberi tiga sebab dalam membuat kesimpulan tersebut, iaitu:

1) Laporan bedah siasat menyatakan mangsa masih hidup ketika jatuh di tanah, tetapi beliau (Dr Pornthip) tidak menemui kecederaan untuk melindungi diri.

2) Beliau menemui luka-luka yang kelihatan berlaku sebelum mangsa jatuh.

3) Kecederaan pada bahagian dada adalah akibat impak awalan.

Beliau memberi keterangan sebagai saksi pakar di inkues tersebut yang diadakan untuk menentukan punca kematian Teoh.

Dr Pornthip adalah pengarah dan pengasas bersama Institut Pusat Sains Forensik Kementerian Keadilan Thailanad dan dianggap pakar dalam siasatan kes-kes pembunuhan yang rumit.

Teoh - setiausaha politik kepada exco Selangor, Ean Yong Hian Wah - ditemui mati selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 Plaza Masalam berhubung dakwaan salahguna wang negeri pada 15 Julai lalu. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan, Dr Porntip mempunyai 27 tahun pengalaman dalam bidang sains forensik.

Pakar Thai itu tiba di mahkamah pada jam 8.50 pagi. Beliau turut mengadakan tayangan slaid bagi membantu mahkamah memahami keterangannya.

"Dari gambar post-mortem, saya dapati ada kesan lebam di bahagian kanan leher, yang kami (pakar patologi) panggil 'handle bruise', dan kecederaan ini selaras dengan kecederaan disebabkan cekekan," kata Dr Porntip yang telah mengendali lebih 10,000 bedah siasat.

Beliau berkata kecederaan itu tidak dinyatakan dalam laporan autopsi disediakan oleh Dr Khairul Azman dan Dr Prashant, yang telah diberikan kepadanya untuk diperiksa.

"Saya juga dapati kecederaan tusukan di bahagian dubur yang boleh disebabkan perbuatan memasukkan objek dalam bahagian berkenaan. Saya tidak pernah melihat kecederaan seumpama itu dalam kes jatuh dari tempat tinggi," kata beliau, sambil menunjuk kepada gambar-gambar bedah siasat yang dipaparkan pada slaid.

Dr Pornthip berkata beliau juga mendapati kesan melelas di paha bahagian atas Teoh yang mungkin disebabkan disebat.

"Satu lagi kecederaan yang saya temui ialah keretakan tempurung kepala, yang mungkin disebabkan oleh hentakan tumpul yang tepat kepada tempurung kepala sebelum jatuh," kata Dr Porntip, saksi ke-30 di inkues itu.

Beliau berkata kemungkinan Teoh tidak sedarkan diri bila ia jatuh dari tingkat lima, berdasarkan tiadanya kecederaan reaksi pada badan, dan menambah luka-luka kelihatan seperti kecederaan sebelum jatuh, dan kecederaan dada yang teruk adalah akibat impak primari di lantai.

Ditanya oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar, bagi pihak kerajaan Selangor, tentang kes melelas di bahagian bawah kasut Teoh, pakar itu berkata: "Kelihatan seperti badannya telah diheret.

"Dalam kes-kes jatuh biasa dari tempat tinggi, kasut tidak meninggalkan kesan melelas seperti ini," jelas beliau.

Ditanya oleh koroner Azmil Muntapha Abas sama ada permukaaan lantai mungkin menyebabkan kesan heretan, Dr Porntip menjawab: "Permukaan keras dan kasar".

"Bagaimanapun, pasukan forensik saya tidak menemui sesuatu yang boleh menyebabkan kesan ini bila mereka memeriksa tingkat 14 (pejabat MACC) pada kali terakhir," katanya.
Posted by administrator at 12:07 AM 0 comments
Keluarga Teoh tunda temubual psikiatri

Okt 19, 09 5:43pm

Anggota keluarga mendiang Teoh Beng Hock membuat keputusan untuk menunda temubual psikiatri yang dijadualkan hari ini berikutan peguam keluarga itu tidak dibenarkan turut sama menemani mereka dalam sesi itu.

Peguam yang mewakili keluarga mendiang, Lim Lip Eng berkata temubual yang sepatutnya dilakukan di Hospital Selayang pada pukul 11 pagi tadi, bagaimanapun terpaksa ditunda ekoran pihak hospital enggan membenarkan beliau turut serta menemani keluarga mendiang Teoh.

"Saya tidak dibenarkan untuk menemani keluarga ini semasa temubual, jadi pihak keluarga telah memutuskan untuk menunda temubual itu pada satu tarikh yang akan ditetapkan nanti," katanya kepada pemberita di Hospital Selayang.

Beliau berkata keluarga mendiang Teoh telah menerima surat arahan daripada polis bagi menghadiri sesi temubual itu untuk menentukan tahap mental mendiang Teoh, Rabu lepas.

"Surat itu telah mengarahkan ahli keluarga mendiang yang terdiri daripada bapanya Teoh Leong Hwee, ibunya Teng Shuw Hoi, abangnya Teoh Meng Kee dan tunang Teoh, Soh Cher Wei menjalani sesi temubual berkenaan.

"Namun keluarga ini meminta agar saya turut menemani mereka supaya tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku," katanya.

Pada 2 Okt lepas, Koroner Azmil Muntapha Abas yang mengendalikan inkues kematian Teoh Beng Hock membenarkan anggota keluarga serta beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditemubual oleh dua pakar psikiatri.

Azmil berkata temu bual itu akan dapat membantu siasatan apabila pakar perunding forensik psikiatri Hospital Permai Johor, Dr Bada'iah Yahya dan pakar perunding psikiatri Kementerian Kesihatan Dr Nor Hayati Ali selesai membuat laporan mengenainya.

Teoh, setiausaha politik kepada ahli dewan undangan negeri kawasan Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai lalu, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan yang sama. BERNAMA
Posted by administrator at 12:06 AM 0 comments
Kenapa teman serumah Teoh tidak hadir?

Okt 16, 09 7:09pm

Peguam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mempersoalkan mengapa wanita yang tinggal serumah dan berkemungkinan menjalin hubungan istimewa dengan Teoh Beng Hock, tidak dipanggil memberi keterangan dalam prosiding inkues bagi menyiasat kematian setiausaha politik itu.

Datuk Abdul Razak Musa mendakwa wanita itu, Esther Lew Swee Yoong, mungkin mempunyai hubungan rapat dengan Teoh dan keterangannya dapat membantu mahkamah bagi menentukan keadaan mental Teoh, yang meninggal dunia sebelum melangsungkan perkahwinannya dengan tunang beliau, Soh Cher Wei.

Abdul Razak membangkitkan perkara itu setelah koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan supaya Esther, yang sepatutnya memberikan keterangannya hari ini, tidak dipanggil ke mahkamah kerana berpendapat keterangan beliau adalah tidak relevan kepada prosiding itu.

"Saya cuma pentingkan faktor Teoh mungkin mengalami kerunsingan sebelum dia meninggal dunia. Mungkin kerunsingannya disebabkan dia ada hubungan dengan wanita lain (Esther). Ini hanya teori saya," katanya.

Teoh, setiausaha politik kepada ahli dewan undangan negeri kawasan Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai lalu, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan yang sama.

"Saya tertanya-tanya, kenapa Teoh tinggal serumah dengan wanita ini, sedangkan abangnya yang bujang juga menetap di Shah Alam di mana Teoh bekerja.

"Jadi terpulanglah kepada mahkamah menentukan relevan atau tidak bahawa Teoh mungkin mempunyai teman wanita lain dan perkara ini mungkin menjadi perkara yang merunsingkannya," kata Abdul Razak lagi.

Peguam Gobind Singh Deo, bagi pihak keluarga Teoh, bangun dan memberitahu mahkamah kenyataan Abdul Razak itu adalah tidak adil kepada Esther dan meminta peguam itu untuk menarik balik dakwaannya bahawa Teoh mungkin menjalin hubungan istimewa dengan wanita lain.

Koroner Azmil Muntapha Abas kemudian menjelaskan Esther tidak perlu dipanggil sebagai saksi kerana keterangannya tidak relevan dan hanya akan menjadi keterangan sebelah pihak sahaja.

"Beliau hanyalah rakan si mati semasa belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia dan telah menyewakan sebuah bilik dalam rumahnya kepada Teoh.

"Menurut kenyataan percakapan Esther, kali terakhir beliau melihat Teoh ialah pukul 7 pagi 15 Julai dan hanya menghubungi Teoh pukul 5 petang hari yang sama, dan Teoh memaklumkan dia dalam perjalanan ke pejabat SPRM.

"Bagi saya keterangannya tidak membantu jika hendak membuktikan keadaan mental si mati. Oleh itu mahkamah akan mendengar keterangan pakar psikiatri yang telah menemubual pelbagai pihak bagi mendapatkan pandangan tentang isu keadaan mental Teoh," tegas koroner.

Pada 2 Okt lalu, koroner telah membenarkan pakar psikiatri dari Hospital Permai Johor, Dr Bada'iah Yahya dan pakar perunding psikiatri Kementerian Kesihatan Dr Nor Hayati Ali untuk menemubual anggota keluarga serta beberapa pegawai SPRM bagi menentukan tahap mental Teoh.

Dalam prosiding hari ini, penolong penguasa SPRM Arman Alias, dipanggil memberi keterangan dan memberitahu mahkamah bahawa tiada sebarang bentuk paksaan, tekanan mahupun kekerasan digunakan terhadap Teoh bagi mendapatkan pengakuannya ketika proses penyemakan dokumen dan fail dilakukan di pejabat SPRM pukul 10.30 malam, 15 Julai lalu.

Arman, 34, yang ditugaskan untuk menyemak empat fail berhubung tuntutan peruntukan ahli dewan undangan negeri Selangor Ean, juga menafikan bahawa Teoh telah didesak dan dipaksa secara berterusan selama dua jam bagi mencari maklumat dalam fail-fail tersebut.

"Saya cuma minta dia tunjukkan samada empat dokumen sebutharga yang dicetak dari komputer ribanya itu berada dalam fail berkaitan tuntutan peruntukan ahli DUN Seri Kembangan.

"Tetapi dia tidak menemui dokumen itu dalam fail tersebut. Teoh kemudian membelek-belek dokumen itu berulang kali seolah-olah cuba mengingati bagaimana dokumen sebutharga itu boleh berada dalam komputer ribanya," jelas Arman yang memberi keterangan sebagai saksi ke-29 hari ini.

Arman juga berkata Teoh memberikan kerjasama kepada pegawai SPRM sepanjang proses itu dan tidak ada membuat sebarang aduan ataupun meminta untuk pulang ke rumah.

Prosiding bersambung Rabu depan. BERNAMA

Tim pengarah: Kematian Teoh bukan tanggungjawab SPRM

Okt 14, 09 8:58pm

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor memberitahu prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock bahawa SPRM tidak bertanggungjawab terhadap kematiannya kerana Teoh bukan lagi berada di bawah kawalan agensi itu.

Hishamuddin Hashim dalam keterangannya berkata Teoh telahpun dibenarkan pulang ke rumah selepas selesai memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor di tingkat 14 Plaza Masalam di Shaha Alam sebelum ditemui mati di tingkat 5 bangunan yang sama pada 16 Julai lalu.

"Kematian berlaku di luar pejabat SPRM dan kita pun tak tahu secara terperinci tentang punca kematiannya, malah kita telahpun membenarkan Teoh pulang selepas dia selesai memberi keterangan.

"Oleh itu pada pandangan saya, kematian Teoh bukanlah di bawah kawalan SPRM Selangor. Jika ia (kematian itu) berlaku di pejabat SPRM, saya sendiri yang akan membuat laporan polis," katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi ke-27 dalam inkues itu yang masuk hari ke-25 hari ini.

Teoh, setiausaha politik ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati selepas memberi keterangan kepada SPRM Selangor sebagai saksi dalam siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri itu.

Hishamuddin, yang berkata beliau berada di ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk menghadiri mesyuarat pada hari kejadian memberitahu mahkamah, beliau telah dihubungi oleh pegawai penyiasat, Mohd Anuar Ismail, pada jam 2 petang untuk memaklumkan mengenai kematian Teoh.

"Saya telah mengarahkan Mohd Anuar dan pemangku penolong pesuruhjaya Khairul Ilham Hamzah supaya menemui saya di ibupejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi penjelasan berhubung kejadian ini.

"Bagaimanapun kemudian saya mengarahkan mereka berpatah balik ke pejabat SPRM Selangor dan berjumpa saya di sana dan supaya mereka memberikan kerjasama kepada pihak polis," kata Hishamuddin yang juga mengetuai siasatan penyelewengan tuntutan ADUN Negeri Selangor.

Beliau mengakui telah mengarahkan pegawainya itu supaya tidak membuat laporan polis berhubung kematian Teoh dengan alasan kejadian itu berlaku di luar kawalan SPRM.

Hishamuddin berkata beliau tidak melihat sendiri mayat Teoh kerana merasakan tidak perlu baginya untuk berbuat demikian.

Beliau juga mengakui tidak menyoal semua pegawai dan anggota SPRM terlibat bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung insiden itu, sebaliknya berkata segala maklumat mengenai punca kematian Teoh hanya diperoleh daripada Mohd Anuar dan Khairul Ilham.

Kepada soalan Gobind Singh Deo, peguam yang mewakili keluarga Teoh, bahawa beliau tidak mengambil berat untuk menemubual semua pegawai untuk menyiasat perkara itu kerana beliau tahu kematian Teoh disebabkan oleh pegawai-pegawai SPRM, saksi itu menjawab : "Tidak setuju."

Terdahulu Hishamuddin berkata bahawa pada malam 15 Julai, beliau tidak melihat Teoh berada di pejabat SPRM dan tidak mengetahui apa sebenarnya yang telah terjadi kepadanya.

Beliau mengakui tidak mempunyai pengetahuan peribadi jika sebarang bentuk kekerasan atau paksaan digunakan terhadap Teoh sepanjang saksi itu berada di pejabat SPRM untuk memberi keterangan.

Khairul Ilham dalam keterangannya hari ini pula berkata bahawa pada pukul 8 pagi 16 Julai, Mohd Anuar telah menemuinya di pejabat SPRM Selangor dan memberitahu bahawa beg serta telefon bimbit Teoh masih berada di pejabat itu.

"Kami buat rondaan dalam pejabat SPRM untuk mencari Teoh tetapi tidak jumpa," katanya.

Khairul Ilham berkata beliau telah dimaklumkan mengenai kematian Teoh oleh Mohd Anuar pada jam 2 petang hari kejadian.

"Saya jadi 'blank' dan panik, tidak tahu apa yang perlu dilakukan," katanya saksi itu sambil menjelaskan bahawa itulah kali pertama beliau berdepan situasi di mana seorang saksi hilang dari pejabat dan kemudian ditemui mati di luar pejabat SPRM.

Khairul Ilham juga menafikan penglibatan pegawai SPRM dalam kematian Teoh dan menegaskan pihak SPRM tidak pernah merahsiakan sebarang maklumat berhubung kejadian itu daripada pengetahuan polis mahupun mahkamah.

Prosiding di hadapan koroner Azmil Muntapha Abas disambung Jumaat ini.

- Bernama
Posted by administrator at 12:04 AM 0 comments
Inkues Teoh: Pemilik DNA sudah meninggal dunia

Okt 2, 09 10:57am

Inkues kematian Teoh Beng Hock diberitahu hari ini bahawa DNA yang dikesan pada blazer dan talipinggang Teoh adalah milik M Gopala.

DNA tersebut dikenalpasti oleh ahli kimia, Dr Dr Seah Lay Hong milik Gopala yang telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.

Dr Seah yang dipanggil semula memberi keterangan dalam inkues tersebut berkata pemindahan DNA itu mungkin berlaku ketika bedahsiasat ke atas Teoh dilakukan di Hospital Klang dalam keadaan yang sesak.

Gopala mati dalam satu kemalangan jalan raya dan DNAnya ditemui pada blazer Teoh.

Bagaimanapun, terdapat satu lagi kesan DNA yang ditemui pada talipinggang Teoh tetapi belum dapat dikenalpasti.

Dr Seah memberitahu mahkamah bahawa beliau diminta menjalankan bedahsiasat ke atas dua mayat, sebelum mayat Teoh, pada hari tersebut di hospital berkenaan.

Seorang lagi adalah L Jeganathan, yang juga mati akibat cedera parah di bahagian kepala akibat kemalangan jalan raya.

Tetapi Dr Seah berkata, ujian menunjukan DNAnya tidak sama dengan DNA yang ditemui pada bahagian talipinggang Teoh yang terkoyak.

Menurutnya, mungkin berlaku pencemaran kerana meja autopsi tidak dinyahkuman dengan sempurna.

DNA Gopala dikenalpasti selepas Dr Seah melakukan siasatan kali ketiga kerana dua siasatan sebelum itu, gagal mengenal pasti pemilik DNA berkenaan pada talipinggang dan blazer tersebut.

Dalam siasatannya itu, Dr Seah menganalisa profail DNA 157 individu sebagai perbandingan, dan mereka terdiri daripada 14 pegawai dari Jabatan Patologi Forensik di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Kuala Lumpur.

Turut diuji ialah 49 pegawai polis, 81 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua pekerja pencuci, lapan kakitangan penyelenggaran dan seorang anggota keselamatan, serta tiga saksi.

Dua siasatan pertama gagal mengesan pemilik DNA dan dia ditanda sebagai 'Lelaki 1'.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Dr K Saravanan yang turut dipanggil memberi keterangan memberitahu bahawa beliau melakukan bedah siasat ke atas Gopala pada jam 8.30 pagi dan Jeganathan ada jam 10 pagi 17 Julai lalu, dan kedua-dua mereka merupakan mangsa emalangan.

Sementara mayat Teoh pula dibedah pada jam 12 tengah hari dan pada masa itu beliau turut sama berada di situ bagi mengambil gambar bedah siasat tersebut.

Ditanya oleh Gobind apakah yang menjadi amalan dalam membersih meja bedah (meja autopsi), Saravanan berkata bagi mayat yang meninggal dunia secara normal ia hanya dibersihkan menggunakan air biasa tetapi bagi mayat yang mempunyai penyakit seperti HIV dan tibi, meja itu akan dibersih menggunakan pembasmi kuman setiap kali selepas pembedahan oleh atendan hospital.

Saravanan bersetuju dengan cadangan Koroner Azmil Muntapha Abas bahawa meja autopsi yang tidak dicuci dengan pembasmi kuman boleh meninggalkan sisa DNA di atasnya.

Sementara itu, Koroner Azmil Muntapha Abas memberi kebenaran untuk pakar psikiatrik mewancara anggota keluarga dan rakan-rakan Teoh mengenai latarbelakangnya bagi membolehkan ditentukan keadaan Teoh sebelum kematiannya.

Antara yang akan diwawancara ialah bekas bos Teoh yang juga exco kerajan Selangor, Ean Yong Hian Wah.
Posted by administrator at 12:03 AM 0 comments
Inkues Teoh: Pemilik DNA misteri akan diketahui esok

Okt 1, 09 8:07pm

Pemilik DNA lelaki misteri yang dikesan pada tali pinggang dan blazer Teoh Beng Hock akan diketahui esok berikutan adanya penemuan terbaru ahli Kimia.

Peguam Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan Malaysia memaklumkan perkara tersebut dalam inkues kematian setiausaha politik itu di Mahkamah Koroner di Shah Alam hari ini dan beliau turut memberitahu bahawa ahli kimia, Dr Seah Lay Hong akan dipanggil semula untuk memberi keterangan berkaitan perkara itu.

Katanya, seorang lagi ahli kimia akan dipanggil untuk memberi pandangan terhadap hasil siasatan Dr Seah itu dan beliau juga akan dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan hasil siasatan, lapor Bernama.

Laporan terbaru ini merupakan hasil siasatan kali ketiga Dr Seah berkaitan perkara sama yang mana hasil sisatan sebelum ini gagal menemui lelaki misteri yang mempunyai kesan DNA pada kedua-dua tempat itu.

Dalam siasatan kedua, Dr Seah telah menganalisis profil DNA bagi 157 individu untuk perbandingan, dan mereka terdiri daripada 14 pegawai dari jabatan patologi forensik di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Kuala Lumpur, 49 pegawai polis, 81 pegawai SPRM, dua tukang cuci, lapan kakitangan penyelenggaraan dan keselamatan dan tiga saksi individu.

Manakala pada siasatan pertama hanya melibatkan 102 tetapi kedua-duanya gagal menemui pemilik DNA misteri ini dan ia hanya dinamakan 'male 1'.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada anggota exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati, 16 Julai lepas di koridor tingkat lima Bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, kira-kira 10 jam selepas memberi keterangan kepada SPRM dalam siasatan dakwaan salahguna wang oleh ahli majlis exco negeri.

Sementara itu abang Teoh, Beng Kee, 33, yang dipanggil memberi keterangan sebagai saksi ke-24, memberitahu adiknya itu tidak mempunyai sebarang masalah kewangan walaupun menerima gaji bersih RM1,500 sahaja.

Malah katanya, adiknya itu juga tidak pernah mengadu mengenai sebarang masalah sebaliknya beliau adalah seorang yang penyayang serta suka membantu.

Beng Kee berkata, sekiranya Teoh mempunyai masalah beliau selalunya akan memberitahu kepada ahli keluarga.

Sebelum itu, Peguam Datuk Abdul Razak Musa yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bertanya tentang tindakan Teoh yang ingin menyegerakan perkahwianan dengan teman wanitanya Soh Cher Wei kerana wanita itu telah mengandung, Beng Kee berkata: "Setuju".

Bagaimanapun Beng Kee tidak bersetuju bahawa Teoh mempunyai masalah kewangan ekoran majlis yang tergesa-gesa itu kerana Teoh mempunyai wang simpanan.

Majlis perkahwinan Teoh sepatutnya berlansung Sabtu ini (3 Oktober) dan pada 18 Julai (dua hari selepas kejadian) Teoh dan Soh perlu mendaftarkan perkahwinan mereka serta menghadiri majlis fotografi.

Selain itu Beng Kee yang merupakan anak kedua daripada empat beradik mengakui tidak begitu rapat dengan Teoh dan jarang berhubung antara satu sama lain.

Beng Kee turut memberitahu bahawa Teoh tidak mempunyai masalah kesihatan dan tidak pernah menerima apa-apa rawatan.

Ketika ditanya peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarganya sama ada Teoh mempunyai sebab untuk membunuh diri, Beng Kee berkata: "Tiada."

Bakal pengapit di hari perkahwinan Teoh, Woo Chuan Sing, 30, yang memberi keterangan selepas Beng Kee turut memberitahu, bahawa rakannya itu tidak pernah bercerita tentang sebarang masalah kepadanya.

Katanya, Teoh yang dikenalinya ketika sama-sama belajar di universiti dahulu telah menghubunginya sehari sebelum kejadian (15 Julai), pada pukul 8.36 pagi, untuk mendapatkan jawapan mengenai undangan ke majlis perkahwinannya dan Woo berkata beliau hanya menjawab "akan hadir."

Tetapi sebelum itu Woo berkata Teoh telah menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) pada pukul 7 pagi untuk memaklumkan mengenai perkahwinan itu dan meminta beliau menjadi pengapitnya tetapi SMS itu tidak dibalas kerana masih tidur.

Selain perbualan itu, Woo berkata tiada lagi sebarang perbualan lain. Prosiding di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas disambung esok.
Posted by administrator at 12:03 AM 0 comments
SMS minta saksi jumpa pakar psikiatrik cetus pertelingkahan

Sep 29, 09 3:46pm

Satu SMS yang dihantar kepada ahli keluarga Teoh Beng Hock supaya mereka hadir untuk pemeriksaan mental, mencetuskan pertikaman lidah antara peguam dan pihak yang membantu siasatan inkues kematian Teoh.

SMS yang dihantar Jumaat lalu, meminta tunang Teoh, Soh Cher Wei - selain rakan yang sepatutnya menjadi pengapit di hari pernikahan mereka, Woo Chuan Sing, ibu bapa dan dua adik beradik Teoh hadir di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Selayang, dan berjumpa dengan seorang doktor di sana.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh, menyatakan perkara itu (berjumpa pakar psikiatri) tidak sepatutnya berlaku dan pihak yang menghantar SMS berkenaan sepatutnya menyatakan mengapa saksi dipanggil untuk ditemuduga dan sama ada ia sebagai satu cara untuk menyatakan Teoh membunuh diri.

"Saya rasa tidak elok sebarang permintaan untuk hadir membantu siasatan dihantar hanya melalui SMS sahaja. Permohonan perlu dihantar mengikut undang-undang. Kita tidak tahu siapa penghantar SMS. Perkara sebegini bukannya perkara main-main," katanya.

Dalam prosiding tidak dinyatakan siapakah pengirim SMS itu yang hanya menyatakan: "Selamat petang puan (ditujukan kepada tunang Teoh), inkues kematian Teoh, diminta hadir di Unit Mekar, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, aras 2, Hospital Selayang untuk ditemuduga oleh Dr Yati pada 28 Sept 2009, pukul 2 petang. Kerjasama puan amat diperlukan, sebarang pertanyaan sila hubungi ...".

(... itu disebabkan tiada nama dinyatakan ketika prosiding).

Peguam mewakili kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar, turut membantah perjumpaan dengan pakar psikiatri itu dengan alasan ia tidak relevan dengan kes.

Status doktor

Katanya pihak yang membantu Koroner Azmil Muntapha Abas mengendalikan kes ini sepatutnya menyatakan dahulu apa yang perlu ditanya dan tidak diketahui status doktor yang akan menemubual.

Peguam Tan Hock Chuan, yang mewakili kerajaan Malaysia pada awalnya kelihatan berang dengan hujah Gobind dan Malik kerana beliau telahpun menegaskan bahawa SMS yang dihantar itu hanyalah untuk menemubual saksi berkaitan latar belakang Teoh dan tiada kaitan langsung dengan peribadi saksi.

Katanya temubual itu bukan hanya akan melibatkan keluarga Teoh tetapi juga saksi lain yang berjumpa Teoh semasa hari kejadian.

"Saya rasa Gobind telah membuat kesimpulan terlalu cepat. Telah saya katakan bahawa kehadiran pakar psikiatri adalah hanya untuk membantu inkues ini, untuk bertanya tentang latar belakang Teoh. Jika ditanya saya sekarang apa soalan yang akan diajukan kepada saksi, saya sendiri tidak tahu, doktor itu yang akan tentukan," katasnya.

Setelah keadaan agak tegang hampir 20 minit, ia ditenteramkan dengan penerangan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abazafree Mohd Abbas, yang turut membantu prosiding itu.

Abazafree berkata, bukan seorang sahaja pakar psikiatri yang akan menemubual saksi tetapi ada dua orang doktor dan mereka akan merangka soalan yang akan diajukan.

Pakar forensik psikiatri

"Pakar psikiatri ini bukannya pakar biasa tetapi mereka pakar forensik psikiatri. Seorang bertugas di Selayang dan seorang lagi di Hospital Permai, Johor Baharu. Mereka telah memberitahu polis bahawa mereka akan menemuduga secara bebas saksi yang bersama Teoh dan keluarga bagi mendapatkan maklumat tentang tahap mental Teoh.

"SMS bukan dari Dr Yati dan saya diberitahu mereka bukan untuk menyiasat tahap mental saksi tetapi ia untuk mendapatkan maklumat sebelum membuat kesimpulan.

"Kitapun tidak tahu apa bentuk kesimpulan itu. Tetapi sekiranya Malik berkata keadaan ini terlalu awal, lebih baik kita dapatkan skop soalan untuk temuduga dahulu," katanya.

Koroner Azmil kemudian membuat keputusan supaya soalan yang bakal diajukan dikemukakan di mahkamah Jumaat ini dan pihak-pihak terbabit boleh berhujah sama ada ia relevan atau tidak.

Di awal prosiding Azmil, berkata beliau berhasrat meneruskan kes dengan memanggil saksi selain T Sivanesan tetapi Tan memberitahu tiada saksi yang hadir hari ini kerana pihaknya menghadapi masalah disebabkan pegawai penyiasat kes itu, ASP Ahmad Nazri Zainal, mengalami kemalangan.

Katanya, sebelum ini Ahmad Nazri bertanggungjawab memanggil saksi-saksi.

"Oleh kerana terdapat rayuan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Rayuan, keterangan Sivanesan perlu ditangguhkan dahulu dan saksi lain akan dipanggil," kata Azmil.

Saksi dakwa didera

Pada 9 September lalu Sivanesan, yang merupakan saksi yang dikemukakan oleh Gobind Singh, memberitahu mahkamah bahawa beliau telah didera oleh pegawai SPRM tetapi keterangannya ditangguhkan atas permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Razak Musa, yang mewakili SPRM.

Abdul Razak kemudian memfailkan permohonan semakan terhadap perintah Azmil yang membenarkan Sivanesan, yang pernah disoal siasat SPRM Selangor lebih setahun lalu, memberi keterangan tetapi pada keesokannya (10 September), Pesuruhjaya Kehakiman Datin Yeoh Wee Siam memutuskan Azmil tidak terkhilaf dalam membuat keputusan itu.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan dakwaan salah guna wang.

Inkues disambung Khamis ini dan abang Teoh, Beng Kee serta sahabatnya Woo Chuan Sing akan memberi keterangan.

- Bernama
Posted by administrator at 12:01 AM 0 comments
Mahkamah Rayuan arah inkues Teoh diteruskan

Hafiz Yatim
Sep 28, 09
10:48am

Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan supaya inkues kematian Teoh Beng Hock diteruskan seperti yang dijadualkan, dengan memanggil saksi-saksi lain untuk memberi keterangan.

Dalam keputusan sebulat suara, panel hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Low Hop Bing berkata permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menangguhkan inkues tersebut, akan didengar bersama dengan kes rayuan.

Low juga mengarahkan pendaftar Mahkamah Rayuan supaya menulis kepada pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi Petaling Jaya supaya menyegerakan penghakiman bertulis dan juga menetapkan tarikh awal bagi mendengar rayuan dan permohonan penangguhan inkues tersebut.

Dua lagi hakim yang mendengar kes tersebut ialah Datuk KN Segara dan Datuk Ramly Ali.

Pada 10 September lalu, Mahkamah Tinggi Petaling Jaya menolak permohonan SPRM untuk menyemak keputusan koroner inkues kematian Teoh berhubung kebenaran memanggil saksi bagi mendedahkan dakwaan penderaan pegawai suruhanjaya itu.

Pada 9 September, T Sivanesan seorang saksi yang dikemukakan oleh peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, memberi keterangan dalam inkues Teoh, dengan mendakwa dia pernah didera oleh SPRM semasa disoal siasat.

Mahkamah juga menolak permohonan peguam SPRM yang ingin mendapatkan perintah menangguhkan inkues sementara menunggu rayuan terhadap semakan itu di Mahkamah Rayuan.
Posted by administrator at 12:01 AM 0 comments
Saksi: Tan marah Teoh di tandas

Sep 17, 09 4:09pm

dikemaskini Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock bahawa beliau terdengar ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah memarahi Teoh dengan suara yang kuat dan tinggi di dalam tandas pejabat SPRM Selangor, beberapa jam sebelum Teoh ditemui mati.

Penolong Penguasa SPRM Putrajaya, Bulkani Paharuddin berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi ketika beliau mengiringi Tan ke tandas.

"Sewaktu Tan masuk ke dalam tandas, saya berdiri di luar pintu tandas dan tidak lama selepas itu seorang lelaki Cina yang berseluar putih dan berbaju gelap (Teoh) datang dari arah bertentangan saya dan terus memasuki tandas yang sama.

"Ketika saya pusing nak berjalan semula ke arah pantry saya terdengar suara Tan memarahi lelaki berbaju gelap dan berseluar putih dalam bahasa Mandarin dengan menyebut 'ni lor' iaitu 'awaklah' dalam nada kuat dan tinggi.

"Bagaimanapun saya tidak mendengar respons atau jawapan daripada seorang lagi lelaki itu (Teoh)," katanya.

Bulkani kemudian menjelaskan beliau memahami bahasa Mandarin kerana pernah mendapat pendidikan di sekolah Cina dari darjah satu sehingga darjah enam.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lepas di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Kepada soalan peguam Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan Malaysia berapa lama insiden itu berlaku, saksi itu berkata beliau hanya berada di luar tandas kira-kira dua minit sebelum berjalan ke pantri untuk menghabiskan makanan yang ditinggalkannya ketika mengiringi Tan ke tandas.

Seterusnya saksi ke-22 itu berkata kira-kira lima minit selepas insiden itu, beliau melihat Tan berjalan melepasi pantri dan beliau tidak bertanyakan apa-apa (mengenai insiden dalam tandas) kepada ahli majlis itu.

Ketika ditanya Hock Chuan bagaimana beliau boleh mengetahui bahawa lelaki berseluar putih dan berbaju gelap itu adalah Teoh, Bulkani berkata beliau dapat mengecam Teoh setelah beberapa kali melihat gambar Teoh disiarkan di televisyen ekoran penemuan mayat mangsa di tingkat lima bangunan Plaza Masalam.

"Selepas beberapa hari televisyen tunjuk gambar Teoh, kemudian baru saya teringat dialah lelaki yang saya terjumpa di tandas yang memakai seluar putih dan berbaju hitam," katanya, sambil menambah selepas insiden di tandas itu beliau tidak lagi berjumpa Teoh sehinggalah mangsa ditemui mati pada hari yang sama.

Terdahulu, Bulkani berkata beliau dan dua lagi pegawai SPRM ditugaskan untuk mengiringi Tan dari rumahnya di Balakong ke pejabat SPRM Selangor bagi tujuan membantu satu siasatan.

Ketika disoal peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, sama ada beliau mengetahui berapa ramai yang keluar atau masuk tandas ketika insiden itu berlaku, Bulkani berkata beliau tidak tahu kerana tidak masuk ke dalam tandas dan tidak menunggu lama di luar tandas.

"Jadi kamu tidak lihat siapa yang bersuara kerana kamu tidak masuk dan berada lama di luar tandas?" soal Gobind dan Bulkani menjawab: "Ya, tetapi saya anggap itu suara Tan, suara lain saya tidak dengar."

Gobind: Tan menafikan mengenai insiden itu dan saya cadangkan kamu tidak tahu siapa sebenarnya yang bersuara kepada lelaki berseluar putih dan berbaju gelap itu (Teoh).

Bulkani: "Saya yang bawa Tan ke tandas."

Kepada soalan Gobind sama ada beliau terlibat dalam kumpulan yang menyoal siasat Tan pada malam 15 Julai, Bulkani berkata beliau tidak terlibat, cuma ada bertanyakan beberapa soalan kepada Tan di bilik ping-pong bersama seorang lagi pegawai SPRM.

Gobind: Saya cadangkan yang segala kenyataan kamu tentang insiden di tandas itu adalah penipuan semata-mata.

Bulkani: "Saya tidak tipu".

Sementara itu, penolong kanan penguasa SPRM Selangor Raymond Nion John Timban dalam keterangannya pada prosiding hari ke-21, berkata beliau ada ternampak Teoh bersama seorang lelaki Cina di ruang tamu bahagian pendidikan masyarakat di pejabat SPRM Selangor, kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 16 Julai lepas.

"Masa itu saya tidak tahu siapa lelaki Cina itu kerana dia adalah orang luar dan semasa saya nampak Teoh bersama lelaki Cina itu tiada pegawai SPRM bersama mereka," katanya.

Seterusnya, saksi ke-23 itu berkata beliau sekali lagi ternampak Teoh sedang baring seorang diri di atas sofa di depan bilik penolong kanan penguasa SPRM Selangor Mohd Nadzri Ibrahim semasa beliau ingin meninggalkan pejabat kira-kira pukul 6 pagi (16 Julai).

Kepada soalan Hock Chuan sama ada beliau terlibat dalam siasatan dakwaan penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri Selangor oleh majikan Teoh, Yong, Raymond berkata beliau hanya terlibat pada peringkat permulaan kerana perlu mengendalikan dua kes lain yang dibicarakan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dan Klang.

Ketika disoal Koroner Azmil Muntapha Abas, yang mengendalikan inkues, sama ada beliau ada ternampak sesiapa melalui pejabatnya sepanjang berada di pejabat SPRM Selangor, Raymond berkata beliau ada melihat Mohd Nadzri, pemangku Penguasa Kanan SPRM Selangor Mohd Anuar Ismail dan Timbalan Pengarah SPRM Selangor Hishamuddin Hashim lalu di depan pejabatnya kira-kira pukul 5.45 pagi (16 Julai) tetapi tidak mengingati mereka menghala ke arah mana.

Prosiding inkues bersambung 29 Sept. BERNAMA
Posted by administrator at 12:00 AM 0 comments
Inkues Teoh ingin lihat foto saksi didera SPRM

Sep 11, 09 12:44pm

Inkues bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock ditangguh ke Khamis depan bagi membolehkan mahkamah mendapatkan laporan perubatan dan gambar asal kecederaan seorang saksi yang mendakwa didera oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Koroner Azmil Muntapha Abas menetapkan tarikh itu setelah membenarkan permohonan SPRM untuk menangguhkan prosiding bagi mendapatkan kedua-dua dokumen berkenaan, sebelum meneruskan sesi soal balas terhadap saksi terbabit, T Sivanesan.

"Setakat ini saya hanya dibekalkan laporan polis dan salinan bercetak gambar yang menunjukkan kecederaan yang didakwa. Saya perlukan bantuan dan pandangan pakar mengenai gambar itu.

"Gambar asal tidak diterima. Saya perlu tentukan sama ada warna pada badan saksi dalam gambar ini ialah warna sebenar akibat kecederaan atau warna ubat yang digunakan di hospital," kata peguam Datuk Abdul Razak Musa bagi pihak SPRM.

Azmil berkata beliau membenarkan permohonan penangguhan itu kerana gambar asal perlu dikemukakan, bukan sahaja bagi kepentingan SPRM tetapi semua pihak dalam inkues berkenaan.

Berhubung perkara itu, peguam Gobind Singh Deo, bagi keluarga Teoh, menjelaskan gambar tersebut ialah salinan fotokopi berwarna daripada gambar asal, dan berkata beliau akan cuba mendapatkan gambar asal kecederaan itu untuk dikemukakan kepada mahkamah minggu depan.

Rabu lalu, Sivanesan, pembantu pengurus di sebuah syarikat swasta di Kuantan memberi keterangan bahawa dia telah disepak, ditampar dan dipukul dengan batang besi oleh lebih 10 pegawai SPRM semasa disoal siasat di pejabat SPRM tahun lepas.

Satu laporan polis mengenai dakwaan itu telah dibuat oleh Sivanesan pada 11 Sept 2008. Awal minggu ini, lima pegawai SPRM membuat laporan polis terhadap Sivanesan bagi menyangkal tuduhannya itu.

Pada prosiding itu juga, SPRM mengemukakan permohonan ke Mahkamah Tinggi untuk memadamkan kenyataan saksi itu atas alasan tidak relevan, tetapi ditolak Mahkamah Tinggi semalam.

Dalam prosiding hari ini, Abdul Razak memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan notis rayuan dan sijil perakuan segera di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada ahli dewan undangan negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di bangunan itu. BERNAMA