Sunday, January 10, 2010

AG: Jangan keliru fungsi inkuiri dan s'jaya diraja

Jul 24, 09 9:45pm

Inkuiri oleh majistret untuk mengetahui punca kematian Teoh Beng Hock mengikut Kanun Prosedur Jenayah (CPC) adalah cara yang memadai dan venue yang sesuai bagi kes sebegitu, kata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini.

Katanya, dengan CPC sebagai undang-undang spesifik yang mempunyai peruntukan bagi inkuiri kematian, dengan itu sewajarnya mahkamah yang menentukan punca kematian dan perkara yang berkaitan berbanding suruhanjaya diraja.

"Mengadakan siasatan serupa oleh suruhanjaya diraja akan mewujudkan pertindihan dalam perkara ini," katanya dalam kenyataan tiga muka surat yang dikeluarkan hari ini bertajuk "Inkuiri Kematian Mengikut CPC berhubung kematian Teoh Beng Hock."

Awal hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata di Bangi bahawa peguam negara akan mengeluarkan kenyataan dan penjelasan terperinci mengenai perkara itu, lapor Bernama.

Najib berkata demikian selepas ditanya oleh pemberita mengenai gesaan beberapa kumpulan bagi ditubuhkan suruhanjaya diraja untuk mengkaji prosedur berkaitan soal siasat yang diguna pakai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga untuk menentukan punca kematian Teoh.

Mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja, Abdul Gani berkata setakat ini, kerajaan telah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja, antara lain, berhubung tragedi di Terminal Feri Pulau Pinang dan di kilang mercun Bright Sparklers Fireworks.

"Ini merupakan tragedi dan bencana di mana banyak nyawa terkorban akibat kecuaian dan tidak mematuhi prosedur operasi oleh pihak berkuasa relevan. Tidak satu pun menyentuh mengenai punca kematian bagi satu orang," katanya.

Abdul Gani berkata beliau telah bertindak mengikut Seksyen 339 (1) CPC untuk mengarahkan seorang majistret mengadakan inkuiri mengenai kematian Teoh, dan Majistret itu wajib mengadakan inkuiri.

Rabu lalu, kabinet mengarahkan diadakan inkues pada minggu depan untuk menentukan punca kematian Teoh, yang mayatnya ditemui pada 16 Julai di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, yang turut menempatkan pejabat SPRM di tingkat 14.

Ia juga mengarahkan ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja untuk meneliti prosedur standard operasi SPRM dalam menyoal siasat saksi.

Mesti patuh undang-undang

Kematian Teoh, 30, setiausaha politik Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, mendapat kritikan hebat berikutan Teoh ditemui mati selepas disoal siasat oleh SPRM berhubung penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri oleh wakil rakyat di Selangor.

Abdul Gani juga berkata orang ramai tidak harus terkeliru mengenai fungsi Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan oleh kerajaan dengan inkuiri mengikut CPC.

Beliau berkata Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 jelas merujuk kepada penyiasatan terhadap tatalaku dan pengurusan pegawai dan jabatan kerajaan atau bagi kebajikan awam.

"Oleh itu, ia tidak boleh diperluaskan untuk meliputi inkuiri bagi kematian sebegini, di mana inkuiri oleh Majistret mengikut Kanun Acara Jenayah adalah lebih sesuai dan disokong oleh undang-undang," katanya.

Katanya penubuhan Suruhanjaya Diraja adalah betul dan mengikut undang-undang bagi tujuan menyiasat terhadap aspek prosedur SPRM dalam menjalankan penyiasatan.

"Apa yang penting ialah kami mesti mematuhi undang-undang negara ini. Demi keadilan, perlu diselesaikan bagi kepentingan bersama di pihak kerajaan dan awam.

"Inkuiri mengikut Kanun Acara Jenayah dibenarkan oleh undang-undang dan penyiasatan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 adalah mekanisme untuk mengetahui kebenaran secara adil dan saksama.

"Ia juga akan menyelesaikan semua kebimbangan yang dibangkitkan oleh pihak kerajaan dan orang ramai," kata Abdul Gani.

No comments:

Post a Comment