Okt 30, 09 6:44pm
Mahkamah Koroner di Shah Alam hari ini menetapkan Rabu depan bagi mendengar permohonan menggali semula mayat Teoh Beng Hock bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan oleh pakar patoloji Thailand, Dr Porntip Rojanasunan.
Ketika dihubungi Bernama, peguam keluarga mendiang, Gobind Singh Deo, mengesahkan tarikh pendengaran permohonan tersebut.
Pada Selasa lepas, abang mendiang, Teoh Meng Kee memfailkan satu permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam supaya mayat adiknya dikeluarkan semula daripada tanah perkuburan untuk tujuan bedah siasat kedua dan mendapatkan pandangan kedua daripada Dr Porntip.
Sebelum ini, Dr Porntip memberitahu inkues bahawa ada 80 peratus kemungkinan setiausaha politik kepada anggota exco Selangor, Ean Yong Hian Wah itu mati dibunuh dan kesan-kesan kecederaan dialami semasa mangsa masih hidup.
Pada 16 Julai lalu, Beng Hock ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di bangunan yang sama.
Mayatnya telah dikebumikan empat hari kemudian di Nirwana Memorial Park, Semenyih, Selangor. BERNAMA
Posted by administrator at 12:09 AM 0 comments
Keluarga mohon gali mayat Teoh
Okt 27, 09 6:34pm
Keluarga Teoh Beng Hock hari ini mengemukakan permohonan ke Mahkamah Majistret Shah Alam bagi mendapatkan perintah membenarkan mayat pembantu politik itu dikeluarkan dari perkuburan untuk pemeriksaan bedah siasat kedua.
Permohonan itu, yang turut disertakan dengan afidavit bersumpah oleh abang mendiang, Teoh Meng Kee, dibuat melalui peguam mereka Gobind Singh Deo pada pukul 3.45 petang tadi.
Dalam afidavit itu, Meng Kee, 33, menyatakan bahawa keterangan pakar forensik Thailand, Dr Porntip Rojanasunand di mahkamah minggu lalu yang mendedahkan kemungkinan Beng Hock mati akibat dicekik dan didera perlu dibuktikan dengan melakukan pemeriksaan ke atas mayat itu sekali lagi.
"Saksi ini telah memberitahu bahawa, pemeriksaan yang beliau jalankan melalui gambar-gambar bedah siasat menunjukkan terdapat kesan tekanan di bahagian kiri leher si mati dan kesan hematoma di bawah permukaan kulit bahagian itu yang konsisten dengan 'kesan cekik secara manual' pada si mati.
"Juga kecederaan di bahagian dubur si mati tidak konsisten dengan kecederaan daripada jatuh dari tempat tinggi dan kelihatan terdapat cedera akibat penembusan di bahagian itu," katanya dalam afidavit itu.
Ini berbeza dengan keterangan pakar bedah dan forensik Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant Naresh Samberkar yang melakukan bedah siasat ke atas mayat Beng Hock, yang merumuskan kematian mendiang adalah kerana jatuh dari tempat tinggi.
"Kedua-dua saksi ini telah memberikan keterangan pendapat bahawa kemungkinan besar si mati telah membunuh diri. Walau bagaimanapun Dr Khairul ada menyatakan kemungkinan yang si mati telah dicederakan sebelum jatuh," kata Meng Kee.
Beliau berkata Dr Porntip, melalui keterangannya di mahkamah, telah merumuskan bahawa Beng Hock tidak meninggal dunia kerana bunuh diri, sebaliknya mati dibunuh.
Oleh itu Dr Porntip perlu diberikan peluang sepenuhnya untuk mengendalikan pemeriksaan ke atas mayat Beng Hock bagi menentusahkan keputusan dan pendapat beliau, menurut afidavit itu lagi.
Dr Porntip, 54, merupakan ketua pengarah Institut Sains Forensik Sentral, Kementerian Kehakiman Thailand dan telah dipanggil oleh kerajaan negeri Selangor untuk memberikan keterangan dalam prosiding inkues bagi membantu menyiasat punca
kematian Beng Hock.
Pada 16 Julai, Beng Hock, setiausaha politik kepada anggota exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salahguna peruntukan kerajaan negeri Selangor di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bangunan yang sama.
Mayatnya telah dikebumikan empat hari kemudian di Nirwana Memorial Park, Semenyih, Selangor.
Di luar mahkamah, Gobind memberitahu media beliau berharap permohonan itu akan didengar di mahkamah secepat mungkin, dan berkata jika permohonan itu dibenarkan, pemeriksaan ke atas mayat Beng Hock akan dilakukan oleh Dr Porntip pada awal bulan depan. BERNAMA
Posted by administrator at 12:09 AM 0 comments
Keluarga Teoh mahu Dr Pornthip buat bedah siasat baru
Wong Teck Chi
Okt 25, 09
4:27pm
Keluarga mendiang Teo Beng Hock berkata mereka akan memohon supaya bedah siasat baru dilakukan oleh pakar patologis Thai, Dr Pornthip Rojanasunan.
Adik perempuan Teoh - Lee Lan - memberitahu Malaysiakini bahawa keluarganya berharap bedah siasat baru itu akan dapat "mendedahkan kebenaran" di sebalik kematian abangnya itu.
Beliau berkata, keluarganya telah memikirkan perkara itu sejak bermulanya inkues kematian Teoh, dan pendedahan Dr Pornthip (foto) bahawa "80 peratus" kematian Teoh mungkin homisid, membuat keluarga mahu pakar dari Thailand itu membuat bedah siasat baru.
Katanya, ini juga kerana ada ada pihak yang tidak setuju dengan pendedahan Pornthip dengan alasan beliau tidak melakukan sendiri bedah siasat ke atas mayat Teoh.
Lee juga berkata, pada mulanya, keluarganya menolak bedah siasat kedua dilakukan sejurus selepas kematian Teoh kerana urusan untuk pengkebumiannya telah diatur.
"Kita juga tidak memeriksa secara terperinci kecederaannya pada masa itu, jadi kita tidak pernah terfikir untuk menjalankan siatan lanjut," katanya.
"Isu bedah siasat kali kedua ini tidak boleh dibiarkan berlarutan lama. Kerana Dr Pornthip berkata, jika mayat digali cepat, beliau boleh mendapatkan lebih banyak maklumat," tambahnya.
Berikutan itu, Lee berkata, keluarganya berharap pihak koroner akan membuat keputusan segera terhadap permohonan mereka supaya dibuat bedah siasat baru itu.
Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh, berkata beliau akan memfailkan permohonan terhadap kepada koroner esok
Posted by administrator at 12:08 AM 0 comments
Keluarga Teoh timbang buat bedah siasat baru
Wong Teck Chi
Okt 21, 09
6:15pm
Keluarga Teoh Beng Hock hari ini berkata mereka sedang menimbang kemungkinan untuk menggali semula mayat Teoh untuk membolehkan pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand melakukan bedah siasat baru.
Mereka berkata, mereka akan meminta pandangan peguam mereka, Gobind Singh Deo mengenai perkara itu sebelum membuat keputusan muktamad mengenainya.
Gobind menjadi peguam pemerhati bagi pihak keluarga Teoh dalam inkues kematian Teoh yang sedang berjalan sekarang.
Awal hari ini, Pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand memberitahu mahkamah koroner di Shah Alam bahawa terdapat 80 peratus kemungkinan homisid dan 20 peratus kemungkinan bunuh diri dalam kes kematian Teoh.
Bagaimanapun, kesimpulan beliau adalah berdasarkan kepada laporan bedah siasat yang dibuat oleh orang lain.
Posted by administrator at 12:07 AM 0 comments
Kematian Teoh: Pakar kata 80% kemungkinan homisid
Okt 21, 09 11:43am
Seorang pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand membuat pendedahan yang mengejutkan dalam inkeus kematian Teoh Beng Hock pagi ini dengan menyatakan bahawa setiausaha politik itu mungkin telah dicekik sebelum jatuh dari tingkat 14 Plaza Masalam.
Katanya, terdapat tanda bulat pada leher Teoh yang menunjukkan dia 'dicekik'.
Menurutnya lagi, retakan pada tengkorak Teoh bukan satu kecederaan akibat terjatuh.
Manakala kecederaan pada lubang dubur Teoh, katanya, boleh disebabkan dicucuk dengan objek sebelum dia jatuh.
Ini, katanya, berdasarkan kepada gambar-gambar yang diambil di tempat Teoh ditemui jatuh.
Dr Pornthip membuat kesimpulan bahawa terdapat 80 peratus kemungkinan homisid dan 20 peratus kemungkinan bunuh diri.
Beliau juga tidak bersetuju dengan pandangan pakar-pakar forensik bahawa Teoh "jatuh dalam keadaan sedar" tetapi sebaliknya menegaskan bahawa mangsa mungkin tidak sedar.
Beliau memberi tiga sebab dalam membuat kesimpulan tersebut, iaitu:
1) Laporan bedah siasat menyatakan mangsa masih hidup ketika jatuh di tanah, tetapi beliau (Dr Pornthip) tidak menemui kecederaan untuk melindungi diri.
2) Beliau menemui luka-luka yang kelihatan berlaku sebelum mangsa jatuh.
3) Kecederaan pada bahagian dada adalah akibat impak awalan.
Beliau memberi keterangan sebagai saksi pakar di inkues tersebut yang diadakan untuk menentukan punca kematian Teoh.
Dr Pornthip adalah pengarah dan pengasas bersama Institut Pusat Sains Forensik Kementerian Keadilan Thailanad dan dianggap pakar dalam siasatan kes-kes pembunuhan yang rumit.
Teoh - setiausaha politik kepada exco Selangor, Ean Yong Hian Wah - ditemui mati selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 Plaza Masalam berhubung dakwaan salahguna wang negeri pada 15 Julai lalu. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan, Dr Porntip mempunyai 27 tahun pengalaman dalam bidang sains forensik.
Pakar Thai itu tiba di mahkamah pada jam 8.50 pagi. Beliau turut mengadakan tayangan slaid bagi membantu mahkamah memahami keterangannya.
"Dari gambar post-mortem, saya dapati ada kesan lebam di bahagian kanan leher, yang kami (pakar patologi) panggil 'handle bruise', dan kecederaan ini selaras dengan kecederaan disebabkan cekekan," kata Dr Porntip yang telah mengendali lebih 10,000 bedah siasat.
Beliau berkata kecederaan itu tidak dinyatakan dalam laporan autopsi disediakan oleh Dr Khairul Azman dan Dr Prashant, yang telah diberikan kepadanya untuk diperiksa.
"Saya juga dapati kecederaan tusukan di bahagian dubur yang boleh disebabkan perbuatan memasukkan objek dalam bahagian berkenaan. Saya tidak pernah melihat kecederaan seumpama itu dalam kes jatuh dari tempat tinggi," kata beliau, sambil menunjuk kepada gambar-gambar bedah siasat yang dipaparkan pada slaid.
Dr Pornthip berkata beliau juga mendapati kesan melelas di paha bahagian atas Teoh yang mungkin disebabkan disebat.
"Satu lagi kecederaan yang saya temui ialah keretakan tempurung kepala, yang mungkin disebabkan oleh hentakan tumpul yang tepat kepada tempurung kepala sebelum jatuh," kata Dr Porntip, saksi ke-30 di inkues itu.
Beliau berkata kemungkinan Teoh tidak sedarkan diri bila ia jatuh dari tingkat lima, berdasarkan tiadanya kecederaan reaksi pada badan, dan menambah luka-luka kelihatan seperti kecederaan sebelum jatuh, dan kecederaan dada yang teruk adalah akibat impak primari di lantai.
Ditanya oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar, bagi pihak kerajaan Selangor, tentang kes melelas di bahagian bawah kasut Teoh, pakar itu berkata: "Kelihatan seperti badannya telah diheret.
"Dalam kes-kes jatuh biasa dari tempat tinggi, kasut tidak meninggalkan kesan melelas seperti ini," jelas beliau.
Ditanya oleh koroner Azmil Muntapha Abas sama ada permukaaan lantai mungkin menyebabkan kesan heretan, Dr Porntip menjawab: "Permukaan keras dan kasar".
"Bagaimanapun, pasukan forensik saya tidak menemui sesuatu yang boleh menyebabkan kesan ini bila mereka memeriksa tingkat 14 (pejabat MACC) pada kali terakhir," katanya.
Posted by administrator at 12:07 AM 0 comments
Keluarga Teoh tunda temubual psikiatri
Okt 19, 09 5:43pm
Anggota keluarga mendiang Teoh Beng Hock membuat keputusan untuk menunda temubual psikiatri yang dijadualkan hari ini berikutan peguam keluarga itu tidak dibenarkan turut sama menemani mereka dalam sesi itu.
Peguam yang mewakili keluarga mendiang, Lim Lip Eng berkata temubual yang sepatutnya dilakukan di Hospital Selayang pada pukul 11 pagi tadi, bagaimanapun terpaksa ditunda ekoran pihak hospital enggan membenarkan beliau turut serta menemani keluarga mendiang Teoh.
"Saya tidak dibenarkan untuk menemani keluarga ini semasa temubual, jadi pihak keluarga telah memutuskan untuk menunda temubual itu pada satu tarikh yang akan ditetapkan nanti," katanya kepada pemberita di Hospital Selayang.
Beliau berkata keluarga mendiang Teoh telah menerima surat arahan daripada polis bagi menghadiri sesi temubual itu untuk menentukan tahap mental mendiang Teoh, Rabu lepas.
"Surat itu telah mengarahkan ahli keluarga mendiang yang terdiri daripada bapanya Teoh Leong Hwee, ibunya Teng Shuw Hoi, abangnya Teoh Meng Kee dan tunang Teoh, Soh Cher Wei menjalani sesi temubual berkenaan.
"Namun keluarga ini meminta agar saya turut menemani mereka supaya tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku," katanya.
Pada 2 Okt lepas, Koroner Azmil Muntapha Abas yang mengendalikan inkues kematian Teoh Beng Hock membenarkan anggota keluarga serta beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditemubual oleh dua pakar psikiatri.
Azmil berkata temu bual itu akan dapat membantu siasatan apabila pakar perunding forensik psikiatri Hospital Permai Johor, Dr Bada'iah Yahya dan pakar perunding psikiatri Kementerian Kesihatan Dr Nor Hayati Ali selesai membuat laporan mengenainya.
Teoh, setiausaha politik kepada ahli dewan undangan negeri kawasan Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai lalu, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan yang sama. BERNAMA
Posted by administrator at 12:06 AM 0 comments
Kenapa teman serumah Teoh tidak hadir?
Okt 16, 09 7:09pm
Peguam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mempersoalkan mengapa wanita yang tinggal serumah dan berkemungkinan menjalin hubungan istimewa dengan Teoh Beng Hock, tidak dipanggil memberi keterangan dalam prosiding inkues bagi menyiasat kematian setiausaha politik itu.
Datuk Abdul Razak Musa mendakwa wanita itu, Esther Lew Swee Yoong, mungkin mempunyai hubungan rapat dengan Teoh dan keterangannya dapat membantu mahkamah bagi menentukan keadaan mental Teoh, yang meninggal dunia sebelum melangsungkan perkahwinannya dengan tunang beliau, Soh Cher Wei.
Abdul Razak membangkitkan perkara itu setelah koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan supaya Esther, yang sepatutnya memberikan keterangannya hari ini, tidak dipanggil ke mahkamah kerana berpendapat keterangan beliau adalah tidak relevan kepada prosiding itu.
"Saya cuma pentingkan faktor Teoh mungkin mengalami kerunsingan sebelum dia meninggal dunia. Mungkin kerunsingannya disebabkan dia ada hubungan dengan wanita lain (Esther). Ini hanya teori saya," katanya.
Teoh, setiausaha politik kepada ahli dewan undangan negeri kawasan Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai lalu, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan yang sama.
"Saya tertanya-tanya, kenapa Teoh tinggal serumah dengan wanita ini, sedangkan abangnya yang bujang juga menetap di Shah Alam di mana Teoh bekerja.
"Jadi terpulanglah kepada mahkamah menentukan relevan atau tidak bahawa Teoh mungkin mempunyai teman wanita lain dan perkara ini mungkin menjadi perkara yang merunsingkannya," kata Abdul Razak lagi.
Peguam Gobind Singh Deo, bagi pihak keluarga Teoh, bangun dan memberitahu mahkamah kenyataan Abdul Razak itu adalah tidak adil kepada Esther dan meminta peguam itu untuk menarik balik dakwaannya bahawa Teoh mungkin menjalin hubungan istimewa dengan wanita lain.
Koroner Azmil Muntapha Abas kemudian menjelaskan Esther tidak perlu dipanggil sebagai saksi kerana keterangannya tidak relevan dan hanya akan menjadi keterangan sebelah pihak sahaja.
"Beliau hanyalah rakan si mati semasa belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia dan telah menyewakan sebuah bilik dalam rumahnya kepada Teoh.
"Menurut kenyataan percakapan Esther, kali terakhir beliau melihat Teoh ialah pukul 7 pagi 15 Julai dan hanya menghubungi Teoh pukul 5 petang hari yang sama, dan Teoh memaklumkan dia dalam perjalanan ke pejabat SPRM.
"Bagi saya keterangannya tidak membantu jika hendak membuktikan keadaan mental si mati. Oleh itu mahkamah akan mendengar keterangan pakar psikiatri yang telah menemubual pelbagai pihak bagi mendapatkan pandangan tentang isu keadaan mental Teoh," tegas koroner.
Pada 2 Okt lalu, koroner telah membenarkan pakar psikiatri dari Hospital Permai Johor, Dr Bada'iah Yahya dan pakar perunding psikiatri Kementerian Kesihatan Dr Nor Hayati Ali untuk menemubual anggota keluarga serta beberapa pegawai SPRM bagi menentukan tahap mental Teoh.
Dalam prosiding hari ini, penolong penguasa SPRM Arman Alias, dipanggil memberi keterangan dan memberitahu mahkamah bahawa tiada sebarang bentuk paksaan, tekanan mahupun kekerasan digunakan terhadap Teoh bagi mendapatkan pengakuannya ketika proses penyemakan dokumen dan fail dilakukan di pejabat SPRM pukul 10.30 malam, 15 Julai lalu.
Arman, 34, yang ditugaskan untuk menyemak empat fail berhubung tuntutan peruntukan ahli dewan undangan negeri Selangor Ean, juga menafikan bahawa Teoh telah didesak dan dipaksa secara berterusan selama dua jam bagi mencari maklumat dalam fail-fail tersebut.
"Saya cuma minta dia tunjukkan samada empat dokumen sebutharga yang dicetak dari komputer ribanya itu berada dalam fail berkaitan tuntutan peruntukan ahli DUN Seri Kembangan.
"Tetapi dia tidak menemui dokumen itu dalam fail tersebut. Teoh kemudian membelek-belek dokumen itu berulang kali seolah-olah cuba mengingati bagaimana dokumen sebutharga itu boleh berada dalam komputer ribanya," jelas Arman yang memberi keterangan sebagai saksi ke-29 hari ini.
Arman juga berkata Teoh memberikan kerjasama kepada pegawai SPRM sepanjang proses itu dan tidak ada membuat sebarang aduan ataupun meminta untuk pulang ke rumah.
Prosiding bersambung Rabu depan. BERNAMA
Wednesday, January 13, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment