Friday, January 15, 2010

Mahkamah kecoh isu persenda Karpal Singh (16/1/10)

SHAH ALAM: Prosiding inkues Teoh Beng Hock di Mahkamah Koroner di sini semalam, menjadi tegang apabila Ketua Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa hampir dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mempersendakan ketidakupayaan fizikal peguam Karpal Singh, yang berkerusi roda.

Abdul Razak yang sebelum itu beberapa kali diminta Karpal supaya duduk ketika ingin mengemukakan bantahan, secara spontan berkata: “Saya boleh duduk tetapi kamu tidak boleh berdiri.”

Kenyataan Abdul Razak itu menyebabkan pertikaman lidah serta menimbulkan kemarahan Karpal dan anaknya, Gobind Singh yang mendesak mahkamah mengeluarkan perintah menghina mahkamah terhadap Abdul Razak.



Abdul Razak membuat komen itu selepas Karpal, yang mewakili abang Teoh, Meng Kee, menghalangnya daripada membuat bantahan terhadap kenyataan Karpal yang mendakwa Teoh mati dibunuh dan ada kemungkinan pegawai SPRM turut terbabit.

Gobind berkata: “Jangan kurang ajar! Kamu patut rasa malu kerana menghina orang kurang upaya. Saya mahu kamu tarik balik kata-kata kamu dan minta maaf.”

Abdul Razak bagaimanapun menjelaskan: “Saya sudah membuat bantahan dua kali tetapi saya disuruh duduk. Saya minta maaf jika ia menyentuh perasaan Karpal.”

Koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan Abdul Razak tidak perlu dikenakan tindakan menghina mahkamah selepas menerima permohonan maaf peguam itu, selain memberi amaran kepadanya supaya tidak mengulanginya.

No comments:

Post a Comment