Wednesday, January 13, 2010

Tim pengarah: Kematian Teoh bukan tanggungjawab SPRM

Okt 14, 09 8:58pm

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor memberitahu prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock bahawa SPRM tidak bertanggungjawab terhadap kematiannya kerana Teoh bukan lagi berada di bawah kawalan agensi itu.

Hishamuddin Hashim dalam keterangannya berkata Teoh telahpun dibenarkan pulang ke rumah selepas selesai memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor di tingkat 14 Plaza Masalam di Shaha Alam sebelum ditemui mati di tingkat 5 bangunan yang sama pada 16 Julai lalu.

"Kematian berlaku di luar pejabat SPRM dan kita pun tak tahu secara terperinci tentang punca kematiannya, malah kita telahpun membenarkan Teoh pulang selepas dia selesai memberi keterangan.

"Oleh itu pada pandangan saya, kematian Teoh bukanlah di bawah kawalan SPRM Selangor. Jika ia (kematian itu) berlaku di pejabat SPRM, saya sendiri yang akan membuat laporan polis," katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi ke-27 dalam inkues itu yang masuk hari ke-25 hari ini.

Teoh, setiausaha politik ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati selepas memberi keterangan kepada SPRM Selangor sebagai saksi dalam siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri itu.

Hishamuddin, yang berkata beliau berada di ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk menghadiri mesyuarat pada hari kejadian memberitahu mahkamah, beliau telah dihubungi oleh pegawai penyiasat, Mohd Anuar Ismail, pada jam 2 petang untuk memaklumkan mengenai kematian Teoh.

"Saya telah mengarahkan Mohd Anuar dan pemangku penolong pesuruhjaya Khairul Ilham Hamzah supaya menemui saya di ibupejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi penjelasan berhubung kejadian ini.

"Bagaimanapun kemudian saya mengarahkan mereka berpatah balik ke pejabat SPRM Selangor dan berjumpa saya di sana dan supaya mereka memberikan kerjasama kepada pihak polis," kata Hishamuddin yang juga mengetuai siasatan penyelewengan tuntutan ADUN Negeri Selangor.

Beliau mengakui telah mengarahkan pegawainya itu supaya tidak membuat laporan polis berhubung kematian Teoh dengan alasan kejadian itu berlaku di luar kawalan SPRM.

Hishamuddin berkata beliau tidak melihat sendiri mayat Teoh kerana merasakan tidak perlu baginya untuk berbuat demikian.

Beliau juga mengakui tidak menyoal semua pegawai dan anggota SPRM terlibat bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung insiden itu, sebaliknya berkata segala maklumat mengenai punca kematian Teoh hanya diperoleh daripada Mohd Anuar dan Khairul Ilham.

Kepada soalan Gobind Singh Deo, peguam yang mewakili keluarga Teoh, bahawa beliau tidak mengambil berat untuk menemubual semua pegawai untuk menyiasat perkara itu kerana beliau tahu kematian Teoh disebabkan oleh pegawai-pegawai SPRM, saksi itu menjawab : "Tidak setuju."

Terdahulu Hishamuddin berkata bahawa pada malam 15 Julai, beliau tidak melihat Teoh berada di pejabat SPRM dan tidak mengetahui apa sebenarnya yang telah terjadi kepadanya.

Beliau mengakui tidak mempunyai pengetahuan peribadi jika sebarang bentuk kekerasan atau paksaan digunakan terhadap Teoh sepanjang saksi itu berada di pejabat SPRM untuk memberi keterangan.

Khairul Ilham dalam keterangannya hari ini pula berkata bahawa pada pukul 8 pagi 16 Julai, Mohd Anuar telah menemuinya di pejabat SPRM Selangor dan memberitahu bahawa beg serta telefon bimbit Teoh masih berada di pejabat itu.

"Kami buat rondaan dalam pejabat SPRM untuk mencari Teoh tetapi tidak jumpa," katanya.

Khairul Ilham berkata beliau telah dimaklumkan mengenai kematian Teoh oleh Mohd Anuar pada jam 2 petang hari kejadian.

"Saya jadi 'blank' dan panik, tidak tahu apa yang perlu dilakukan," katanya saksi itu sambil menjelaskan bahawa itulah kali pertama beliau berdepan situasi di mana seorang saksi hilang dari pejabat dan kemudian ditemui mati di luar pejabat SPRM.

Khairul Ilham juga menafikan penglibatan pegawai SPRM dalam kematian Teoh dan menegaskan pihak SPRM tidak pernah merahsiakan sebarang maklumat berhubung kejadian itu daripada pengetahuan polis mahupun mahkamah.

Prosiding di hadapan koroner Azmil Muntapha Abas disambung Jumaat ini.

- Bernama
Posted by administrator at 12:04 AM 0 comments
Inkues Teoh: Pemilik DNA sudah meninggal dunia

Okt 2, 09 10:57am

Inkues kematian Teoh Beng Hock diberitahu hari ini bahawa DNA yang dikesan pada blazer dan talipinggang Teoh adalah milik M Gopala.

DNA tersebut dikenalpasti oleh ahli kimia, Dr Dr Seah Lay Hong milik Gopala yang telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.

Dr Seah yang dipanggil semula memberi keterangan dalam inkues tersebut berkata pemindahan DNA itu mungkin berlaku ketika bedahsiasat ke atas Teoh dilakukan di Hospital Klang dalam keadaan yang sesak.

Gopala mati dalam satu kemalangan jalan raya dan DNAnya ditemui pada blazer Teoh.

Bagaimanapun, terdapat satu lagi kesan DNA yang ditemui pada talipinggang Teoh tetapi belum dapat dikenalpasti.

Dr Seah memberitahu mahkamah bahawa beliau diminta menjalankan bedahsiasat ke atas dua mayat, sebelum mayat Teoh, pada hari tersebut di hospital berkenaan.

Seorang lagi adalah L Jeganathan, yang juga mati akibat cedera parah di bahagian kepala akibat kemalangan jalan raya.

Tetapi Dr Seah berkata, ujian menunjukan DNAnya tidak sama dengan DNA yang ditemui pada bahagian talipinggang Teoh yang terkoyak.

Menurutnya, mungkin berlaku pencemaran kerana meja autopsi tidak dinyahkuman dengan sempurna.

DNA Gopala dikenalpasti selepas Dr Seah melakukan siasatan kali ketiga kerana dua siasatan sebelum itu, gagal mengenal pasti pemilik DNA berkenaan pada talipinggang dan blazer tersebut.

Dalam siasatannya itu, Dr Seah menganalisa profail DNA 157 individu sebagai perbandingan, dan mereka terdiri daripada 14 pegawai dari Jabatan Patologi Forensik di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Kuala Lumpur.

Turut diuji ialah 49 pegawai polis, 81 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua pekerja pencuci, lapan kakitangan penyelenggaran dan seorang anggota keselamatan, serta tiga saksi.

Dua siasatan pertama gagal mengesan pemilik DNA dan dia ditanda sebagai 'Lelaki 1'.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Dr K Saravanan yang turut dipanggil memberi keterangan memberitahu bahawa beliau melakukan bedah siasat ke atas Gopala pada jam 8.30 pagi dan Jeganathan ada jam 10 pagi 17 Julai lalu, dan kedua-dua mereka merupakan mangsa emalangan.

Sementara mayat Teoh pula dibedah pada jam 12 tengah hari dan pada masa itu beliau turut sama berada di situ bagi mengambil gambar bedah siasat tersebut.

Ditanya oleh Gobind apakah yang menjadi amalan dalam membersih meja bedah (meja autopsi), Saravanan berkata bagi mayat yang meninggal dunia secara normal ia hanya dibersihkan menggunakan air biasa tetapi bagi mayat yang mempunyai penyakit seperti HIV dan tibi, meja itu akan dibersih menggunakan pembasmi kuman setiap kali selepas pembedahan oleh atendan hospital.

Saravanan bersetuju dengan cadangan Koroner Azmil Muntapha Abas bahawa meja autopsi yang tidak dicuci dengan pembasmi kuman boleh meninggalkan sisa DNA di atasnya.

Sementara itu, Koroner Azmil Muntapha Abas memberi kebenaran untuk pakar psikiatrik mewancara anggota keluarga dan rakan-rakan Teoh mengenai latarbelakangnya bagi membolehkan ditentukan keadaan Teoh sebelum kematiannya.

Antara yang akan diwawancara ialah bekas bos Teoh yang juga exco kerajan Selangor, Ean Yong Hian Wah.
Posted by administrator at 12:03 AM 0 comments
Inkues Teoh: Pemilik DNA misteri akan diketahui esok

Okt 1, 09 8:07pm

Pemilik DNA lelaki misteri yang dikesan pada tali pinggang dan blazer Teoh Beng Hock akan diketahui esok berikutan adanya penemuan terbaru ahli Kimia.

Peguam Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan Malaysia memaklumkan perkara tersebut dalam inkues kematian setiausaha politik itu di Mahkamah Koroner di Shah Alam hari ini dan beliau turut memberitahu bahawa ahli kimia, Dr Seah Lay Hong akan dipanggil semula untuk memberi keterangan berkaitan perkara itu.

Katanya, seorang lagi ahli kimia akan dipanggil untuk memberi pandangan terhadap hasil siasatan Dr Seah itu dan beliau juga akan dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan hasil siasatan, lapor Bernama.

Laporan terbaru ini merupakan hasil siasatan kali ketiga Dr Seah berkaitan perkara sama yang mana hasil sisatan sebelum ini gagal menemui lelaki misteri yang mempunyai kesan DNA pada kedua-dua tempat itu.

Dalam siasatan kedua, Dr Seah telah menganalisis profil DNA bagi 157 individu untuk perbandingan, dan mereka terdiri daripada 14 pegawai dari jabatan patologi forensik di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Kuala Lumpur, 49 pegawai polis, 81 pegawai SPRM, dua tukang cuci, lapan kakitangan penyelenggaraan dan keselamatan dan tiga saksi individu.

Manakala pada siasatan pertama hanya melibatkan 102 tetapi kedua-duanya gagal menemui pemilik DNA misteri ini dan ia hanya dinamakan 'male 1'.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada anggota exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati, 16 Julai lepas di koridor tingkat lima Bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, kira-kira 10 jam selepas memberi keterangan kepada SPRM dalam siasatan dakwaan salahguna wang oleh ahli majlis exco negeri.

Sementara itu abang Teoh, Beng Kee, 33, yang dipanggil memberi keterangan sebagai saksi ke-24, memberitahu adiknya itu tidak mempunyai sebarang masalah kewangan walaupun menerima gaji bersih RM1,500 sahaja.

Malah katanya, adiknya itu juga tidak pernah mengadu mengenai sebarang masalah sebaliknya beliau adalah seorang yang penyayang serta suka membantu.

Beng Kee berkata, sekiranya Teoh mempunyai masalah beliau selalunya akan memberitahu kepada ahli keluarga.

Sebelum itu, Peguam Datuk Abdul Razak Musa yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bertanya tentang tindakan Teoh yang ingin menyegerakan perkahwianan dengan teman wanitanya Soh Cher Wei kerana wanita itu telah mengandung, Beng Kee berkata: "Setuju".

Bagaimanapun Beng Kee tidak bersetuju bahawa Teoh mempunyai masalah kewangan ekoran majlis yang tergesa-gesa itu kerana Teoh mempunyai wang simpanan.

Majlis perkahwinan Teoh sepatutnya berlansung Sabtu ini (3 Oktober) dan pada 18 Julai (dua hari selepas kejadian) Teoh dan Soh perlu mendaftarkan perkahwinan mereka serta menghadiri majlis fotografi.

Selain itu Beng Kee yang merupakan anak kedua daripada empat beradik mengakui tidak begitu rapat dengan Teoh dan jarang berhubung antara satu sama lain.

Beng Kee turut memberitahu bahawa Teoh tidak mempunyai masalah kesihatan dan tidak pernah menerima apa-apa rawatan.

Ketika ditanya peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarganya sama ada Teoh mempunyai sebab untuk membunuh diri, Beng Kee berkata: "Tiada."

Bakal pengapit di hari perkahwinan Teoh, Woo Chuan Sing, 30, yang memberi keterangan selepas Beng Kee turut memberitahu, bahawa rakannya itu tidak pernah bercerita tentang sebarang masalah kepadanya.

Katanya, Teoh yang dikenalinya ketika sama-sama belajar di universiti dahulu telah menghubunginya sehari sebelum kejadian (15 Julai), pada pukul 8.36 pagi, untuk mendapatkan jawapan mengenai undangan ke majlis perkahwinannya dan Woo berkata beliau hanya menjawab "akan hadir."

Tetapi sebelum itu Woo berkata Teoh telah menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) pada pukul 7 pagi untuk memaklumkan mengenai perkahwinan itu dan meminta beliau menjadi pengapitnya tetapi SMS itu tidak dibalas kerana masih tidur.

Selain perbualan itu, Woo berkata tiada lagi sebarang perbualan lain. Prosiding di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas disambung esok.
Posted by administrator at 12:03 AM 0 comments
SMS minta saksi jumpa pakar psikiatrik cetus pertelingkahan

Sep 29, 09 3:46pm

Satu SMS yang dihantar kepada ahli keluarga Teoh Beng Hock supaya mereka hadir untuk pemeriksaan mental, mencetuskan pertikaman lidah antara peguam dan pihak yang membantu siasatan inkues kematian Teoh.

SMS yang dihantar Jumaat lalu, meminta tunang Teoh, Soh Cher Wei - selain rakan yang sepatutnya menjadi pengapit di hari pernikahan mereka, Woo Chuan Sing, ibu bapa dan dua adik beradik Teoh hadir di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Selayang, dan berjumpa dengan seorang doktor di sana.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh, menyatakan perkara itu (berjumpa pakar psikiatri) tidak sepatutnya berlaku dan pihak yang menghantar SMS berkenaan sepatutnya menyatakan mengapa saksi dipanggil untuk ditemuduga dan sama ada ia sebagai satu cara untuk menyatakan Teoh membunuh diri.

"Saya rasa tidak elok sebarang permintaan untuk hadir membantu siasatan dihantar hanya melalui SMS sahaja. Permohonan perlu dihantar mengikut undang-undang. Kita tidak tahu siapa penghantar SMS. Perkara sebegini bukannya perkara main-main," katanya.

Dalam prosiding tidak dinyatakan siapakah pengirim SMS itu yang hanya menyatakan: "Selamat petang puan (ditujukan kepada tunang Teoh), inkues kematian Teoh, diminta hadir di Unit Mekar, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, aras 2, Hospital Selayang untuk ditemuduga oleh Dr Yati pada 28 Sept 2009, pukul 2 petang. Kerjasama puan amat diperlukan, sebarang pertanyaan sila hubungi ...".

(... itu disebabkan tiada nama dinyatakan ketika prosiding).

Peguam mewakili kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar, turut membantah perjumpaan dengan pakar psikiatri itu dengan alasan ia tidak relevan dengan kes.

Status doktor

Katanya pihak yang membantu Koroner Azmil Muntapha Abas mengendalikan kes ini sepatutnya menyatakan dahulu apa yang perlu ditanya dan tidak diketahui status doktor yang akan menemubual.

Peguam Tan Hock Chuan, yang mewakili kerajaan Malaysia pada awalnya kelihatan berang dengan hujah Gobind dan Malik kerana beliau telahpun menegaskan bahawa SMS yang dihantar itu hanyalah untuk menemubual saksi berkaitan latar belakang Teoh dan tiada kaitan langsung dengan peribadi saksi.

Katanya temubual itu bukan hanya akan melibatkan keluarga Teoh tetapi juga saksi lain yang berjumpa Teoh semasa hari kejadian.

"Saya rasa Gobind telah membuat kesimpulan terlalu cepat. Telah saya katakan bahawa kehadiran pakar psikiatri adalah hanya untuk membantu inkues ini, untuk bertanya tentang latar belakang Teoh. Jika ditanya saya sekarang apa soalan yang akan diajukan kepada saksi, saya sendiri tidak tahu, doktor itu yang akan tentukan," katasnya.

Setelah keadaan agak tegang hampir 20 minit, ia ditenteramkan dengan penerangan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abazafree Mohd Abbas, yang turut membantu prosiding itu.

Abazafree berkata, bukan seorang sahaja pakar psikiatri yang akan menemubual saksi tetapi ada dua orang doktor dan mereka akan merangka soalan yang akan diajukan.

Pakar forensik psikiatri

"Pakar psikiatri ini bukannya pakar biasa tetapi mereka pakar forensik psikiatri. Seorang bertugas di Selayang dan seorang lagi di Hospital Permai, Johor Baharu. Mereka telah memberitahu polis bahawa mereka akan menemuduga secara bebas saksi yang bersama Teoh dan keluarga bagi mendapatkan maklumat tentang tahap mental Teoh.

"SMS bukan dari Dr Yati dan saya diberitahu mereka bukan untuk menyiasat tahap mental saksi tetapi ia untuk mendapatkan maklumat sebelum membuat kesimpulan.

"Kitapun tidak tahu apa bentuk kesimpulan itu. Tetapi sekiranya Malik berkata keadaan ini terlalu awal, lebih baik kita dapatkan skop soalan untuk temuduga dahulu," katanya.

Koroner Azmil kemudian membuat keputusan supaya soalan yang bakal diajukan dikemukakan di mahkamah Jumaat ini dan pihak-pihak terbabit boleh berhujah sama ada ia relevan atau tidak.

Di awal prosiding Azmil, berkata beliau berhasrat meneruskan kes dengan memanggil saksi selain T Sivanesan tetapi Tan memberitahu tiada saksi yang hadir hari ini kerana pihaknya menghadapi masalah disebabkan pegawai penyiasat kes itu, ASP Ahmad Nazri Zainal, mengalami kemalangan.

Katanya, sebelum ini Ahmad Nazri bertanggungjawab memanggil saksi-saksi.

"Oleh kerana terdapat rayuan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Rayuan, keterangan Sivanesan perlu ditangguhkan dahulu dan saksi lain akan dipanggil," kata Azmil.

Saksi dakwa didera

Pada 9 September lalu Sivanesan, yang merupakan saksi yang dikemukakan oleh Gobind Singh, memberitahu mahkamah bahawa beliau telah didera oleh pegawai SPRM tetapi keterangannya ditangguhkan atas permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Razak Musa, yang mewakili SPRM.

Abdul Razak kemudian memfailkan permohonan semakan terhadap perintah Azmil yang membenarkan Sivanesan, yang pernah disoal siasat SPRM Selangor lebih setahun lalu, memberi keterangan tetapi pada keesokannya (10 September), Pesuruhjaya Kehakiman Datin Yeoh Wee Siam memutuskan Azmil tidak terkhilaf dalam membuat keputusan itu.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan dakwaan salah guna wang.

Inkues disambung Khamis ini dan abang Teoh, Beng Kee serta sahabatnya Woo Chuan Sing akan memberi keterangan.

- Bernama
Posted by administrator at 12:01 AM 0 comments
Mahkamah Rayuan arah inkues Teoh diteruskan

Hafiz Yatim
Sep 28, 09
10:48am

Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan supaya inkues kematian Teoh Beng Hock diteruskan seperti yang dijadualkan, dengan memanggil saksi-saksi lain untuk memberi keterangan.

Dalam keputusan sebulat suara, panel hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Low Hop Bing berkata permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menangguhkan inkues tersebut, akan didengar bersama dengan kes rayuan.

Low juga mengarahkan pendaftar Mahkamah Rayuan supaya menulis kepada pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi Petaling Jaya supaya menyegerakan penghakiman bertulis dan juga menetapkan tarikh awal bagi mendengar rayuan dan permohonan penangguhan inkues tersebut.

Dua lagi hakim yang mendengar kes tersebut ialah Datuk KN Segara dan Datuk Ramly Ali.

Pada 10 September lalu, Mahkamah Tinggi Petaling Jaya menolak permohonan SPRM untuk menyemak keputusan koroner inkues kematian Teoh berhubung kebenaran memanggil saksi bagi mendedahkan dakwaan penderaan pegawai suruhanjaya itu.

Pada 9 September, T Sivanesan seorang saksi yang dikemukakan oleh peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, memberi keterangan dalam inkues Teoh, dengan mendakwa dia pernah didera oleh SPRM semasa disoal siasat.

Mahkamah juga menolak permohonan peguam SPRM yang ingin mendapatkan perintah menangguhkan inkues sementara menunggu rayuan terhadap semakan itu di Mahkamah Rayuan.
Posted by administrator at 12:01 AM 0 comments
Saksi: Tan marah Teoh di tandas

Sep 17, 09 4:09pm

dikemaskini Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock bahawa beliau terdengar ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah memarahi Teoh dengan suara yang kuat dan tinggi di dalam tandas pejabat SPRM Selangor, beberapa jam sebelum Teoh ditemui mati.

Penolong Penguasa SPRM Putrajaya, Bulkani Paharuddin berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi ketika beliau mengiringi Tan ke tandas.

"Sewaktu Tan masuk ke dalam tandas, saya berdiri di luar pintu tandas dan tidak lama selepas itu seorang lelaki Cina yang berseluar putih dan berbaju gelap (Teoh) datang dari arah bertentangan saya dan terus memasuki tandas yang sama.

"Ketika saya pusing nak berjalan semula ke arah pantry saya terdengar suara Tan memarahi lelaki berbaju gelap dan berseluar putih dalam bahasa Mandarin dengan menyebut 'ni lor' iaitu 'awaklah' dalam nada kuat dan tinggi.

"Bagaimanapun saya tidak mendengar respons atau jawapan daripada seorang lagi lelaki itu (Teoh)," katanya.

Bulkani kemudian menjelaskan beliau memahami bahasa Mandarin kerana pernah mendapat pendidikan di sekolah Cina dari darjah satu sehingga darjah enam.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lepas di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Kepada soalan peguam Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan Malaysia berapa lama insiden itu berlaku, saksi itu berkata beliau hanya berada di luar tandas kira-kira dua minit sebelum berjalan ke pantri untuk menghabiskan makanan yang ditinggalkannya ketika mengiringi Tan ke tandas.

Seterusnya saksi ke-22 itu berkata kira-kira lima minit selepas insiden itu, beliau melihat Tan berjalan melepasi pantri dan beliau tidak bertanyakan apa-apa (mengenai insiden dalam tandas) kepada ahli majlis itu.

Ketika ditanya Hock Chuan bagaimana beliau boleh mengetahui bahawa lelaki berseluar putih dan berbaju gelap itu adalah Teoh, Bulkani berkata beliau dapat mengecam Teoh setelah beberapa kali melihat gambar Teoh disiarkan di televisyen ekoran penemuan mayat mangsa di tingkat lima bangunan Plaza Masalam.

"Selepas beberapa hari televisyen tunjuk gambar Teoh, kemudian baru saya teringat dialah lelaki yang saya terjumpa di tandas yang memakai seluar putih dan berbaju hitam," katanya, sambil menambah selepas insiden di tandas itu beliau tidak lagi berjumpa Teoh sehinggalah mangsa ditemui mati pada hari yang sama.

Terdahulu, Bulkani berkata beliau dan dua lagi pegawai SPRM ditugaskan untuk mengiringi Tan dari rumahnya di Balakong ke pejabat SPRM Selangor bagi tujuan membantu satu siasatan.

Ketika disoal peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, sama ada beliau mengetahui berapa ramai yang keluar atau masuk tandas ketika insiden itu berlaku, Bulkani berkata beliau tidak tahu kerana tidak masuk ke dalam tandas dan tidak menunggu lama di luar tandas.

"Jadi kamu tidak lihat siapa yang bersuara kerana kamu tidak masuk dan berada lama di luar tandas?" soal Gobind dan Bulkani menjawab: "Ya, tetapi saya anggap itu suara Tan, suara lain saya tidak dengar."

Gobind: Tan menafikan mengenai insiden itu dan saya cadangkan kamu tidak tahu siapa sebenarnya yang bersuara kepada lelaki berseluar putih dan berbaju gelap itu (Teoh).

Bulkani: "Saya yang bawa Tan ke tandas."

Kepada soalan Gobind sama ada beliau terlibat dalam kumpulan yang menyoal siasat Tan pada malam 15 Julai, Bulkani berkata beliau tidak terlibat, cuma ada bertanyakan beberapa soalan kepada Tan di bilik ping-pong bersama seorang lagi pegawai SPRM.

Gobind: Saya cadangkan yang segala kenyataan kamu tentang insiden di tandas itu adalah penipuan semata-mata.

Bulkani: "Saya tidak tipu".

Sementara itu, penolong kanan penguasa SPRM Selangor Raymond Nion John Timban dalam keterangannya pada prosiding hari ke-21, berkata beliau ada ternampak Teoh bersama seorang lelaki Cina di ruang tamu bahagian pendidikan masyarakat di pejabat SPRM Selangor, kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 16 Julai lepas.

"Masa itu saya tidak tahu siapa lelaki Cina itu kerana dia adalah orang luar dan semasa saya nampak Teoh bersama lelaki Cina itu tiada pegawai SPRM bersama mereka," katanya.

Seterusnya, saksi ke-23 itu berkata beliau sekali lagi ternampak Teoh sedang baring seorang diri di atas sofa di depan bilik penolong kanan penguasa SPRM Selangor Mohd Nadzri Ibrahim semasa beliau ingin meninggalkan pejabat kira-kira pukul 6 pagi (16 Julai).

Kepada soalan Hock Chuan sama ada beliau terlibat dalam siasatan dakwaan penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri Selangor oleh majikan Teoh, Yong, Raymond berkata beliau hanya terlibat pada peringkat permulaan kerana perlu mengendalikan dua kes lain yang dibicarakan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dan Klang.

Ketika disoal Koroner Azmil Muntapha Abas, yang mengendalikan inkues, sama ada beliau ada ternampak sesiapa melalui pejabatnya sepanjang berada di pejabat SPRM Selangor, Raymond berkata beliau ada melihat Mohd Nadzri, pemangku Penguasa Kanan SPRM Selangor Mohd Anuar Ismail dan Timbalan Pengarah SPRM Selangor Hishamuddin Hashim lalu di depan pejabatnya kira-kira pukul 5.45 pagi (16 Julai) tetapi tidak mengingati mereka menghala ke arah mana.

Prosiding inkues bersambung 29 Sept. BERNAMA
Posted by administrator at 12:00 AM 0 comments
Inkues Teoh ingin lihat foto saksi didera SPRM

Sep 11, 09 12:44pm

Inkues bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock ditangguh ke Khamis depan bagi membolehkan mahkamah mendapatkan laporan perubatan dan gambar asal kecederaan seorang saksi yang mendakwa didera oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Koroner Azmil Muntapha Abas menetapkan tarikh itu setelah membenarkan permohonan SPRM untuk menangguhkan prosiding bagi mendapatkan kedua-dua dokumen berkenaan, sebelum meneruskan sesi soal balas terhadap saksi terbabit, T Sivanesan.

"Setakat ini saya hanya dibekalkan laporan polis dan salinan bercetak gambar yang menunjukkan kecederaan yang didakwa. Saya perlukan bantuan dan pandangan pakar mengenai gambar itu.

"Gambar asal tidak diterima. Saya perlu tentukan sama ada warna pada badan saksi dalam gambar ini ialah warna sebenar akibat kecederaan atau warna ubat yang digunakan di hospital," kata peguam Datuk Abdul Razak Musa bagi pihak SPRM.

Azmil berkata beliau membenarkan permohonan penangguhan itu kerana gambar asal perlu dikemukakan, bukan sahaja bagi kepentingan SPRM tetapi semua pihak dalam inkues berkenaan.

Berhubung perkara itu, peguam Gobind Singh Deo, bagi keluarga Teoh, menjelaskan gambar tersebut ialah salinan fotokopi berwarna daripada gambar asal, dan berkata beliau akan cuba mendapatkan gambar asal kecederaan itu untuk dikemukakan kepada mahkamah minggu depan.

Rabu lalu, Sivanesan, pembantu pengurus di sebuah syarikat swasta di Kuantan memberi keterangan bahawa dia telah disepak, ditampar dan dipukul dengan batang besi oleh lebih 10 pegawai SPRM semasa disoal siasat di pejabat SPRM tahun lepas.

Satu laporan polis mengenai dakwaan itu telah dibuat oleh Sivanesan pada 11 Sept 2008. Awal minggu ini, lima pegawai SPRM membuat laporan polis terhadap Sivanesan bagi menyangkal tuduhannya itu.

Pada prosiding itu juga, SPRM mengemukakan permohonan ke Mahkamah Tinggi untuk memadamkan kenyataan saksi itu atas alasan tidak relevan, tetapi ditolak Mahkamah Tinggi semalam.

Dalam prosiding hari ini, Abdul Razak memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan notis rayuan dan sijil perakuan segera di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada ahli dewan undangan negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di bangunan itu. BERNAMA

No comments:

Post a Comment