Ogos 28, 09 1:40pm
Koroner Azmil Muntapha Abas, yang mengendalikan prosiding inkues berkaitan kematian setiausaha politik Teoh Beng Hock hari ini menasihati semua pihak supaya membuat ulasan berdasarkan kebenaran dan fakta.
Azmil berkata apa yang berlaku di luar mahkamah bukan bidang kuasanya dan beliau tidak boleh menyekat sesiapa termasuk media daripada membuat ulasan tetapi beliau berharap ulasan itu dibuat berdasarkan apa yang didengar di dalam mahkamah sahaja.
"Semua percakapan dan soalan yang dikemukakan terhadap saksi telah direkodkan. Orang ramai boleh tengok. Mahkamah tidak boleh halang orang membuat komen begitu juga dengan wartawan tetapi pada saya keterangan di dalam mahkamah ini akan diambil kira.
"Apa yang terjadi di luar itu (luar mahkamah) bukan kewalan kita tetapi yang membuat komen biarlah berdasarkan fakta," katanya pada prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Teoh yang masuk hari ke-17, di Mahkamah Koroner di Shah Alam.
Azmil membuat teguran itu apabila peguam pemerhati Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa memohon supaya mahkamah tidak membenarkan ahli-ahli politik mensensasikan kes itu dengan membuat sidang media di luar mahkamah.
Abdul Razak berkata pada Rabu lepas, ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah menghadiri mahkamah untuk mengikuti prosiding itu dan selepas itu, mengadakan sidang media di pejabatnya.
"Saya rasa kes ini telah dipolitikkan. Dua hari lepas, Ean masuk mahkamah dan selepas itu beliau membuat sidang media. Saya pohon apa yang tidak berlaku di dalam mahkamah supaya tidak dicakap di luar.
"Dalam sidang media itu diceritakan seolah-olah apa yang dibuat SPRM adalah tidak betul. Sebab itu saya tidak mahu ahli politik masuk.
"Saya cakap ini sebab saya nampak Lim Kit Siang pulak masuk. Saya harap beliau tidak membuat komen di luar," katanya sambil menunjuk ke arah Lim yang berada di galeri awam.
Bagaimanapun peguam Salim Bashir yang mewakili Yong memberitahu komen anak guamnya pada hari itu berlaku disebabkan timbulnya pertanyaan oleh beberapa wartawan yang mengunjungi pejabat beliau.
Katanya, Yong hanya memberi ulasan apa yang berlaku di mahkamah dan apa yang diberitahu saksi dan apa yang diperkatakan Yong hanya sekadar pendapatnya tanpa sebarang prejudis.
Sejak hari pertama inkues itu, ruang mahkamah sentiasa penuh dengan kehadiran wartawan serta ahli politik dan penulis blog.
Teoh, 30, setiausaha politik kepada Yong yang juga pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, ditemui mati di Tingkat Lima, Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai lepas, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan dakwaan salah guna wang peruntukan kerajaan negeri kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.
Prosiding bersambung pada 8 Sept. BERNAMA
Tuesday, January 12, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment