Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com.my
SHAH ALAM: Peguam Negara tidak akan mendakwa pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand berhubung tuduhan membocorkan maklumat laporan bedah siasat kedua Teoh Beng Hock kepada akhbar Suara Keadilan, kerana tiada bukti menyokong dakwaan itu.
Perkara itu dimaklumkan Peguam Tan Hock Chuan yang mewakili Kerajaan Malaysia dalam prosiding inkues bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock di Mahkamah Koroner di sini, semalam.
Tan berkata, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sudah meneliti kertas siasatan yang diserahkan polis tengah hari kelmarin, dan mendapati tiada asas dan bukti kukuh menunjukkan Dr Pornthip mendedahkan laporan itu.
Katanya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberi jaminan pihaknya tidak akan menahan atau mengganggu Dr Pornthip, dan bebas datang ke mahkamah untuk memberi keterangan berhubung laporan bedah siasat itu.
Tan memaklumkan perkara itu sebelum mahkamah mendengar prosiding permohonan tindakan menghina mahkamah terhadap pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raub Ghani, 41, yang membuat laporan polis terhadap Pornthip pada 1 Januari lalu.
Raub bersama Hisyam Mohd Yusoff, 30, membuat laporan polis berhubung artikel bertajuk: ‘Pornthip sahkan Beng Hock dibunuh’ yang disiarkan Suara Keadilan pada 29 Disember 2009.
Pada 5 Januari lalu, abang Teoh, Meng Kee melalui peguamnya Karpal Singh, memfailkan notis usul supaya Raub dikenakan tindakan menghina mahkamah dan semalam, ditetapkan untuk mendengar hujahan berhubungnya.
Koroner Azmil Muntapha Abas menyarankan prosiding menghina mahkamah tidak diteruskan selepas Peguam Negara dan Ketua Polis Negara memberi jaminan, tidak akan menahan Dr Pornthip.
Karpal bagaimanapun mengemukakan bantahan atas alasan Raub perlu dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana pegawai itu dengan sengaja membuat laporan polis yang tidak berasas dan palsu.
“Peguam Negara sendiri menyatakan tiada bukti menyokong dakwaan terhadap Dr Pornthip, ini jelas menunjukkan pegawai SPRM itu tidak bertanggungjawab dan sengaja membuat laporan polis palsu,” katanya.
“Ia satu kesalahan serius dan kami mahu dia dikenakan tindakan menghina mahkamah, disabitkan dan dihukum penjara,” katanya.
Azmil menetapkan 22 Februari ini untuk mendengar hujahan sama ada prosiding menghina mahkamah perlu diteruskan, sebelum prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Teoh yang terhenti sejak November lalu, diteruskan semula.
Friday, January 15, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment