Ogos 13, 09 5:39pm
Seorang saksi dari Jabatan Forensik yang memberi keterangan dalam prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini memberitahu tiada sebarang kesan pergelutan dijumpai pada tingkap yang dipercayai Teoh terjatuh.
DSP Sharul Othman Mansor,47, berkata beliau juga gagal menemui sebarang kesan di bahagian dinding berhampiran tingkap itu untuk dikaitkan dengan kematian Teoh.
Sharul, yang bertugas di Makmal Forensik PDRM Cheras turut memberitahu tingkap di tingkat 14 pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia itu juga tidak berkunci kerana penguncinya telah patah.
"Saya dapati tingkap itu tidak berkunci kerana penguncinya telah patah, yang tinggal hanya tapak pengunci. Terdapat kesan skru yang baru patah," katanya ketika disoal peguam yang mewakili kerajaan Malaysia Tan Hock Chuan.
Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.
Ditanya Tan adakah beliau mengambil kesan cap jari pada bahagian tingkap tersebut, Sharul berkata: "Tidak kerana ia telah diambil oleh bahagian forensik Selagor."
Menjelaskan tindakannya yang tidak melakukan siasatan cap jari itu, Sharul berkata beliau hadir ke tempat kejadian pada 19 Ogos iaitu tiga hari selepas kejadian dan beliau yakin telah berlaku pencemaran di kawasan tersebut.
Mengenai kesan tapak kasut di bahagian bawah tingkap tersebut, Sharul menjelaskan tapak kasut itu berukuran 9 inci tetapi tidak jelas kelihatan.
Selain itu, Sharul turut memberitahu ketika berada di pejabat SPRM, beliau juga melakukan pemeriksaan di dalam bilik mesyuarat utama yang digunakan untuk
menyoal Teoh.
Bilik untuk merakam percakapan Teoh turut disiasat tetapi tidak menemui sebarang bukti di dalam kedua-dua bilik itu.
Katanya, kaedah polilight digunakan untuk mengesan cap jari di kedua-dua bilik itu.
Beliau yang merupakan saksi ke-13 memberitahu mahkamah tiada bukti ditemui pada tingkap, dinding, dalam bilik dan juga kereta jenis Avanza milik Teoh.
Prosiding di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas disambung esok dan berkemungkinan Dr Khairul Azman Ibrahim, pakar patologi, akan memberi keterangan. BERNAMA
Monday, January 11, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment