Thursday, February 17, 2011

Suruhanjaya arah Pornthip, Vanezis dipanggil

KUALA LUMPUR 17 Feb. 2011 – Suruhanjaya Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock hari ini memerintahkan supaya pakar patologi Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand dan pakar forensik Britain, Profesor Dr. Peter Vanezis dipanggil memberi keterangan walaupun mereka tidak tersenarai sebagai saksi.

Nama kedua-duanya tidak tercatat dalam senarai 36 saksi yang dijadualkan memberi keterangan sepanjang prosiding tersebut.

Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen berkata, ahli panel sebulat suara berpendapat, keterangan kedua-dua pakar bedah itu amat penting bagi membantu siasatan.

Pornthip pernah enggan hadir untuk memberi keterangan kali kedua pada prosiding inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam, Selangor selepas bimbang keselamatannya di negara ini.

Pakar bedah itu yang dilantik oleh kerajaan Selangor bagaimanapun bersetuju hadir selepas diberi jaminan keselamatan oleh kerajaan.

Pornthip dalam keterangannya berpendapat, Beng Hock mati dibunuh berdasarkan kesan lebam yang ditemui pada leher menyebabkan kuburnya digali dan mayatnya dibedah siasat untuk kali kedua oleh pakar patologi berbeza pada 22 November tahun lalu.

Dalam bedah siasat kedua itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghantar Vanezis yang kemudian memberi keterangan bahawa kecederaan Beng Hock menunjukkan lelaki itu sedar sepenuhnya pada masa kejadian.

Sehubungan itu, Cheng Yuen yang merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan mengarahkan pegawai pengendali dari Jabatan Peguam Negara (AGC) mengambil langkah tertentu bagi memastikan kehadiran kedua-dua saksi berkenaan.

“Selepas melawat tempat kejadian, kami sepakat agar kedua-dua pakar bedah tersebut dipanggil membantu prosiding siasatan kerana keterangan mereka amat material,” ujar beliau.

Cheng Yuen menyatakan demikian sejurus sebelum suruhanjaya itu mula mendengar keterangan saksi pertama pada hari ketiga sidang yang berlangsung di Bilik Mahkamah Sivil Baharu (NCvC) 3, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini

No comments:

Post a Comment