Monday, February 28, 2011

Tiada had masa soal siasat saksi

Tiada had masa soal siasat saksi
Oleh Norhashimah Mohd Radzali

2011/03/01
Kebiasaan bagi pegawai penyiasat SPRM ada di pejabat dari malam hingga pagi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Kematian Teoh Beng Hock di sini semalam, diberitahu tiada had masa untuk pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyoal siasat saksi dan sudah menjadi amalan biasa siasatan dijalankan sehingga lewat pagi.

Pemangku Penguasa Kanan SPRM, Azian Omar, 31, berkata tiada garis panduan mengenai had masa ditetapkan untuk menyoal saksi dan mengakui mereka juga bertugas selama 24 jam seperti polis. Azian berkata, sudah menjadi kebiasaan pegawai penyiasat menyoal saksi pada waktu malam hingga awal pagi di pejabat mereka dan jika membabitkan suspek, ia dijalankan waktu siang kerana suspek perlu dihantar ke lokap polis sebelum jam 6 petang. “Tiada lokap di pejabat SPRM, oleh itu suspek perlu dihantar ke lokap di balai polis. Bagi saksi pula, mereka disoal tanpa mengira waktu kerana ada yang memilih untuk tidak memaklumkan majikan bagi mendapat pelepasan waktu kerja.
“Kebanyakan saksi akan datang ke pejabat SPRM pada waktu malam kerana mereka tidak mahu memberitahu majikan bahawa mereka dipanggil SPRM,” katanya.

Azian berkata, kebanyakan saksi memilih menghabiskan rakaman percakapan mereka pada hari yang sama supaya tidak perlu datang berulang kali ke pejabat SPRM, namun bagi kes tertentu ada saksi tidak digalakkan pulang awal bagi mengelakkannya mereka cerita apabila dipanggil hadir bagi kali kedua.

Katanya, tugas pegawai SPRM berbeza dengan polis kerana ia membabitkan banyak dokumen yang perlu diteliti selain mengambil masa yang lama.
Disoal berhubung tindakan saksi berehat di pejabat SPRM dan tidak pulang walaupun sudah diberi kebenaran, beliau berkata ia perkara biasa malah pernah melihat saksi tidur di sofa pejabatnya.

Azian berkata, ketika kejadian pegawai penyiasat SPRM yang menjalankan siasatan berhubung salah guna wang peruntukan negeri Selangor, Mohd Anuar Ismail, adalah pegawai atasannya dan mengakui yang menyerahkan salinan kad pengenalan Beng Hock kepada polis selepas diarah berbuat demikian.

Sementara itu, Suruhanjaya mengesahkan pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, akan hadir memberikan keterangannya di hadapan suruhanjaya pada 16 dan 17 Mac ini, manakala pakar forensik British, Dr Peter Venezis, pada 29 dan 30 Mac ini.

Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen, berkata suruhanjaya juga sudah menyerahkan surat dipercayai nota bunuh diri ditulis Beng Hock kepada penyiasat bebas warga British, Michael Leslie Squires, yang dilantik suruhanjaya pada 24 Februari lalu.

Katanya, Leslie Squires akan memaklumkan hasil siasatannya tidak lama lagi. Prosiding bersambung hari ini.

No comments:

Post a Comment