Suruhanjaya arah selidik, periksa semula barang Beng Hock
2011/02/23
KUALA LUMPUR: Siasatan kematian Teoh Beng Hock yang hari ini masuk hari kelapan diperluaskan dengan menyelidik dan memeriksa semula beberapa barang milik setiausaha politik itu.
Suruhanjaya Siasatan juga mengarahkan Pegawai Penyiasat Ahmad Nazri Zainal meneliti dan memeriksa semula beberapa kawasan di tempat kejadian yang tidakdiberi perhatian sepenuhnya dalam inkues lalu. Pengerusi Suruhanjaya Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng
Yuen, berkata barang milik Teoh seperti kamera video, cakera padat (CD),
thumbdrive dan cakera padat digital (DVD) akan diserah kepada penyiasat
persendirian bagi mendapatkan maklumat di dalamnya.
Kelima-lima anggota suruhanjaya pada awalnya kelihatan terkejut apabila
diberitahu Ahmad Nazri bahawa beliau tidak pernah mengarahkan sebarang siasatan dibuat ke atas barang terbabit kecuali kamera video.
"Saya ada lihat sendiri kamera video itu tetapi ia hanya tunjuk Teoh sedang
bekerja," katanya ketika disoal pegawai pengendali Amarjeet Singh pada prosiding
siasatan bagi mengenal pasti punca kematian Teoh.
Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah,
ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah
Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.
Mengenai pemeriksaan semula di tempat kejadian, arahan itu dibuat berikutan
kegagalan Ahmad Nazri mengesan kepala jam tangan (bahagian permukaan yang
menunjukkan jarum dan waktu) milik Teoh di tingkat lima Plaza Masalam.
Ketika itu Ahmad Nazri hanya menjumpai tali jam tangan.
Fokus utama pencarian baru itu ialah di dalam satu lubang berhampiran mayat
Teoh ditemui terbaring kerana Ahmad Nazri pernah mencuba mencari di dalamnya
tetapi gagal memasukkan tangan kerana itu lubang terlalu kecil.
Hakim Foong memerintahkan pegawai penyiasat itu pergi ke tempat itu sekali
lagi petang ini dan cuba mengoreknya menggunakan peralatan yang sepatutnya
dengan dihadiri wakil Majlis Peguam dan SPRM.
Isu pemeriksaan semula itu timbul setelah Pakar Perunding Patologi Forensik,
Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh
menyatakan terdapat kemungkinan kepala jam terbabit jatuh ke dalam lubang itu.
Suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk
Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan,
dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej
Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.
Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak pada 26 Jan lepas, antara lain bagi menyiasat punca kematian Teoh selepas
Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka' berhubung kes itu.
Sementara itu, Ahmad Nazri ketika ditanya anggota suruhanjaya kenapa beliau
tidak mencatat segala penemuan barang Teoh ketika kali pertama melihatnya,
berkata, pada masa itu beliau perlu menumpukan pada mayat mangsa kerana timbul
kekecohan berikutan pihak media dan ahli politik yang cuba memasuki tempat
kejadian.
Bagaimanapun kenyataan Ahmad Nazri itu dipersoalkan Abdul Kadir yang berpendapat beliau sepatutnya meminta bantuan daripada anggota yang lain bagi
menyelesaikan kekecohan itu dan memberi perhatian ke atas beg itu.
Ahmad Nazri kemudiannya berkata, beliau menyelidik beg itu (peringkat awal)
hanya untuk mengetahui pemilik dan kehadiran Teoh di tingkat 14 (pejabat SPRM)
dan ia dibuat secara kasar sahaja tanpa mencatatnya.
Katanya, beliau memeriksa semula kandungan itu di pejabatnya pada jam 12
malam, 17 Julai 2009 tetapi tidak mencatat kesemua barang yang berada di
dalamnya kerana dianggap kecil nilainya.
Beliau membuat pemeriksaan sekali lagi pada 7 Oktober 2009 dan ketika itulah
menemui beberapa nota tulisan tangan dalam rumi dan Mandarin.
Pada inkues sebelum ini Ahmad Nazri mendedahkan bahawa ada di antara tulisan
tangan itu mengandungi tulisan Teoh yang tercatat 'selamat tinggal'.
Pada awal prosiding, pegawai penyiasat itu memberitahu bahawa kakitangan di
pejabat SPRM enggan memberi kerjasama dengan hanya berdiam diri ketika disoal
pada hari kejadian (16 Julai 2009) manakala kebanyakan pegawai lelaki diarahkan ke Putrajaya.
"Ada pegawai SPRM tetapi tidak pasti dengan jumlah bilangan dalam pejabat
itu. Tiada yang ke tempat itu (di tepi tingkap yang dipercayai digunakan
mangsa)."
Dalam prosiding hari ini juga, Hakim Foong memberitahu bahawa suruhanjaya
menolak permohonan Majlis Peguam dan SPRM untuk menempatkan dua pakar psikiatri
ketika perbicaraan tetapi membenarkan pakar itu menemu bual saksi dalam sesi berasingan dan hasil laporannya diserahkan kepada suruhanjaya.
Suruhanjaya juga memutuskan meneruskan penayangan prosiding secara langsung
di luar mahkamah.
Prosiding disambung esok. - BERNAMA
Wednesday, February 23, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment