KUALA LUMPUR 21 Feb. 2011 - Suruhanjaya Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock hari ini mengarahkan supaya telefon bimbit dan kad SIM milik Setiausaha Politik Exco Selangor itu diserahkan kepada penyiasat bebas untuk dianalisis semula.
Pengerusinya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen memutuskan demikian selepas dimaklumkan terdapat beberapa data tidak dapat dikesan selain tiada terjemahan bagi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang ditulis dalam bahasa Cina.
"Ia adalah perkataan bahasa Cina yang mudah. Ia boleh memberi manfaat sekiranya diterjemah.
"Kita serahkan kepada penyiasat persendirian untuk siasat telefon bimbit ini. Pastikan kad SIM disimpan dengan baik," katanya.
Terdahulu, pegawai penyiasat dari Seksyen Jenayah Komputer, Makmal Forensik Cheras, Inspektor Mohd. Zaidi Abu Hassan, 29, berkata, satu unit telefon bimbit, kad SIM, kad memori dan bateri telefon bimbit milik Beng Hock diserahkan kepadanya untuk dianalisis pada 21 Julai 2009.
Beliau yang memberi keterangan turut mengemukakan laporan analisis telefon bimbit yang mengandungi pelbagai maklumat termasuk panggilan, SMS dan nombor telefon yang disimpan.
Saksi itu bagaimanapun mengakui bahawa sistem atau peralatan yang digunakan di makmal tidak mampu mengesan kesemua data termasuk maklumat-maklumat yang telah dipadamkan.
Berikutan itu, Cheng Yuen memberitahu bahawa suruhanjaya memerlukan kesemua maklumat yang terdapat dalam telefon bimbit itu secara terperinci.
Beliau turut terkejut apabila pegawai pengendali suruhanjaya, Kwan Li Sa memaklumkan bahawa kesemua SMS yang ditulis dalam bahasa Cina itu tidak pernah diterjemah kerana tiada sebarang arahan atau permintaan untuk berbuat demikian.
Peguam yang mewakili Badan Peguam Malaysia, Christopher Leong pula mempersoalkan tentang rekod menunjukkan terdapat SMS dibuka pada 16 Julai 2009 iaitu pada hari Beng Hock ditemui mati tanpa masa yang tepat.
Katanya, rekod tersebut juga menunjukkan seseorang mungkin bertindak mematikan telefon bimbit itu pada keesokan hari kerana terdapat SMS yang belum dibuka atau dibaca.
Telefon bimbit itu dijumpai di atas sofa di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran beg sandang milik Beng Hock sebelum ia diserahkan kepada pegawai penyiasat kes itu.
Sementara itu, Deputi Supritendan Sharul Othman Mansor yang mengetuai siasatan di tempat kejadian pada 19 Julai 2009 memberitahu, satu kesan tapak kasut dijumpai pada bingkai bawah tingkap di pejabat SPRM di tingkat 14 Plaza Masalam, Shah Alam.
Beliau yang merupakan pegawai penyiasat tempat kejadian jenayah dari Makmal Forensik Cheras berkata, kesan sepanjang 22.8 sentimeter (sm) di atas bingkai tingkap selebar 6.3 sm itu dijumpai semasa beliau menggunakan lampu forensik di bahagian tersebut.
"Saya tidak ambil kesan tapak kaki itu kerana ia tidak penuh tetapi saya ada ukur dan ambil gambar.
"Saya rasa ukuran sembilan inci (22.8sm) bukan ukuran tepat bagi kasut sebenar. Malah saya tidak boleh tentukan bahagian belakang atau depan kasut tersebut," katanya.
Shahrul yang diarah untuk menjalankan siasatan kedua, iaitu tiga hari selepas pasukan forensik yang diketuai oleh Cif Inspektor Mazli Jusoh @ Che Kob membuat pemeriksaan turut mengukur kasut milik Beng Hock dalam prosiding hari ini dan mengesahkan ia berukuran 27.9sm.
Beliau yang beranggapan kemungkinan pihak atasan tidak berpuas hati dengan siasatan pertama bagaimanapun mengaku tidak dapat melaksanakan tugas dengan sempurna kerana tempat kejadian tidak dikawal dan dikhuatiri telah diusik.
Berikutan permintaan peguam yang mewakili keluarga Beng Hock, beliau sekali lagi mengetuai pasukan forensik untuk melakukan siasatan di tempat kejadian pada 10 Ogos 2009.
Lawatan yang turut disertai oleh semua pihak termasuk wakil dari Thailand, kerajaan negeri Selangor dan pakar asid deoksiribonukleik (DNA) itu bagaimanapun gagal menemui sebarang kesan darah seperti yang didakwa terdapat pada dinding serta tangga antara tingkat 14 dan 15 di plaza itu.
Pada prosiding hari ini, Mazli yang menyambung keterangan bersetuju dengan cadangan Christopher bahawa seseorang yang ingin keluar ikut tingkap akan memegang bingkai atau duduk di birainya serta meninggalkan kesan.
Namun beliau tidak menafikan kemungkinan seseorang boleh hanya melangkah keluar dari tingkap di tingkat 14, kerana ketinggiannya hanya satu meter dari lantai.
Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai 2009 lalu selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, Plaza Masalam.
Inkues bagi menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock bermula pada 29 Julai 2009 ekoran kematiannya menimbulkan tanda tanya kerana beberapa jam sebelum itu dia dipanggil ke SPRM untuk disoal berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri Selangor.
Mahkamah Koroner di Shah Alam pada 5 Januari lalu bagaimanapun memutuskan hasil inkues itu sebagai keputusan terbuka sebelum mahkamah memutuskan untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan.
Prosiding bersambung esok.
Monday, February 21, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment